Pandangan umum menunjukkan para pesakit sedang disuntik dengan vaksin Covid-19 Pfizer/BioNTech di sebuah pusat vaksinasi di Helix, di kampus Universiti Bandar Dublin, di Dublin, pada 20 Mac 2021. ( AFP / Paul Faith)

Poster palsu sebar dakwaan tak benar tentang kesan sampingan vaksin Covid-19

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Selasa 02/11/2021 pukul 05:48
  • Dikemas kini pada hari Rabu 03/11/2021 pukul 03:01
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Satu imej telah dikongsi berulang kali dalam hantaran media sosial di seluruh dunia yang kononnya menunjukkan satu poster daripada agensi kesihatan Ireland yang menyenaraikan "kesan-kesan sampingan vaksin" termasuk "kematian secara mengejut". Imej itu palsu. Agensi kesihatan Ireland itu berkata ia tidak mengeluarkan poster itu.

Satu gambar yang menunjukkan sebuah poster dikongsi pada 24 Oktober 2021 di Facebook di sini, dengan kapsyen yang menyatakan: "Ini di negara Ireland. Sangat jujur dan telus."

Poster di gambar itu bertajuk: "Amaran Covid-19 Koronavirus".

Selanjutnya, di poster itu tertulis: "Para Penerima Vaksin

"Kepada semua yang telah tampil untuk menerima vaksinasi Covid-19 mereka, terima kasih kerana memainkan peranan anda dalam memastikan komuniti kami selamat. Kesan-kesan sampingan yang jarang berlaku telah mendapat perhatian kami.

"Kesan-kesan sampingan vaksin termasuk
> Sakit kepala
> Haid tidak teratur
> Bell's palsy
> Darah beku
> Serangan Jantung dan Strok
> Kematian secara mengejut

"Sila laporkan sebarang kesan sampingan kepada Pihak Berkuasa Pengawalseliaan Produk Kesihatan - www.hpra.ie dan berunding dengan pengamal perubatan am (GP) anda."

Di sudut kanan bahagian bawah poster, terdapat logo kerajaan Ireland, bersama dengan perkataan dalam bahasa Ireland "Muintir na hEireann" dan terjemahannya dalam bahasa Inggeris, "People of Ireland".



Image
Tangkapan skrin hantaran Facebook mengelirukan, diambil pada 28 Oktober 2021

Foto itu juga muncul di sini, sini dan sini.

Gambar itu turut dikongsikan di Facebook dalam pelbagai bahasa, seperti bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Portugis dan bahasa Thai.

Gambar tersebut boleh juga didapati di Instagram, Twitter, Reddit dan laman web lain seperti di sini.

Ireland menawarkan empat vaksin Covid-19 kepada penduduknya: dua vaksin mRNA (Pfizer/BioNTech dan Moderna) dan dua vaksin vektor virus (AstraZeneca dan Janssen).

Sehingga 28 Oktober 2021, Ireland telah memberi lebih daripada 7 juta dos vaksin Covid-19.

Walau bagaimanapun, poster yang beredar dalam talian adalah penipuan.

"Muintir na hEireann" ialah ungkapan dalam bahasa Ireland yang sering digunakan oleh ahli politik dan pegawai kerajaan untuk memanggil atau merujuk kepada rakyat Ireland, contohnya di sini dan sini.

Nama rasmi kerajaan Ireland ialah "Government of Ireland" atau dalam bahasa Ireland "Rialtas na hEireann".

Pihak Berkuasa Pengawalseliaan Produk Kesihatan Ireland (HPRA) mengawal selia ubat dan peranti untuk manusia dan haiwan.

Siobhan Molloy, seorang jurucakap HPRA, memberitahu AFP pada 28 Oktober 2021 bahawa mereka tidak mengeluarkan poster sedemikian.

"HPRA tidak mengeluarkan poster vaksinasi Covid-19. Mana-mana poster vaksinasi Covid-19 yang diedarkan – sama ada dalam bentuk cetak atau melalui media sosial – yang digambarkan sebagai keluaran HPRA berkemungkinan rekaan dan mengandungi maklumat palsu atau mengelirukan," kata Molloy.

Dia menambah bahawa Eksekutif Perkhidmatan Kesihatan (HSE) menerbitkan maklumat rasmi berkaitan Covid-19 di Ireland, termasuk poster dan sumber.

Berikut ialah contoh poster rasmi yang dikeluarkan oleh HSE:

Image
Contoh poster rasmi yang dikeluarkan oleh HSE

Kesan-kesan sampingan ringan

"Walaupun tidak dialami oleh semua orang, semua vaksin mempunyai beberapa kesan sampingan, yang sebahagian besarnya bersifat ringan hingga sederhana," kata Molloy.

"Mereka yang telah divaksinasi juga berkemungkinan lebih kecil untuk sakit teruk atau perlu pergi ke hospital sekiranya mereka mendapat Covid-19."

HPRA menerbitkan maklumat produk tentang vaksin serta kemas kini keselamatan vaksin.

Kemas kini keselamatan terbarunya yang diterbitkan pada 7 Oktober 2021 menyatakan bahawa sehingga 28 September, terdapat "sebanyak 15,424 laporan mengenai kesan sampingan yang disyaki", di mana "90 laporan telah diterima yang menggambarkan individu yang diketahui telah divaksin dan kemudiannya meninggal dunia" dalam "pesakit berumur lebih daripada 75 tahun dan termasuk kematian yang sering dilihat dalam populasi umum, seperti yang disebabkan oleh punca semula jadi, perkembangan penyakit yang mendasari".

Ia menambah bahawa: "Laporan-laporan yang memerihalkan kematian disemak dengan teliti. Walau bagaimanapun, boleh dijangka bahawa kematian akibat perkembangan penyakit yang mendasari atau punca semula jadi akan terus berlaku, termasuk selepas pemvaksinan. Ini tidak bermakna vaksin menyebabkan kematian tersebut."

Vaksin Covid-19 selamat dan kesan sampingan serius vaksin Pfizer/BioNTech, Moderna, AstraZeneca dan Janssen jarang berlaku, menurut HSE.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan United Kingdom (NHS) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga membuat kesimpulan yang sama.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami