Pelarian Rohingya, yang yang mendarat di pantai utara yang terpencil berhampiran sempadan Malaysia-Thailand, berkumpul dalam kumpulan di Kangar pada 1 Mac 2019, berikutan penahanan mereka oleh pihak berkuasa imigresen Malaysia. (AFP / Ismael Kamaldin)

Misinformasi beredar mengenai bantuan kewangan untuk pelarian Rohingya di Malaysia

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Satu teks yang dikongsikan ratusan kali di Facebook dan Twitter mendakwa bahawa Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) memberi elaun harian sebanyak 35 Ringgit kepada pelarian Rohingya yang berdaftar dengan agensi tersebut. Dakwaan itu mengelirukan. Agensi UN itu berkata ia memberi bantuan kewangan “dalam keadaan luar biasa kepada pelarian atau keluarga pelarian dengan keperluan khas” untuk “masa yang terhad”, dan jumlah wang yang diberikan berbeza mengikut “dasar satu kes ke satu kes”.

Posting Facebook ini, termasuk tiga gambar lelaki yang duduk di jalan, telah diterbitkan pada 28 April 2020. Ia telah dikongsi melebihi 200 kali.

Kapsyennya, diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, berbunyi: “Kongsikan!

“Adakah anda semua tahu bahawa pelarian Rohingya yang mendaftar di bawah UNCHR diberi elaun harian RM35 sehari setiap hari! Itulah sebabnya mereka berada di sini! Dibayar kerana tidak melakukan apa-apa dan dapatkan bayaran kerana bekerja secara haram di sini!

“Semuanya percuma untuk mereka! TIDAK perlu membayar cukai!

“Oleh kerana banyak rakyat Malaysia tidak tahu tentang faedah ini oleh UNCHR yang merupakan pelarian berdaftar dan di Malaysia sebilangan besar rakyat Malaysia yang kehilangan tempat tinggal dan mereka yang tidak bekerja tidak mendapat satu sen pun!

“Bayaran BR1M hanya sekali setahun RM1200 sahaja untuk mereka yang memenuhi syarat dan pelarian Rohingya menerima RM1050 sebulan (RM35 x 30 hari = RM1050)!

“Singapura bijak tidak menerima pelarian Rohingya ini.”  

Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

Rohingya merujuk kepada “komuniti umat Islam yang secara amnya tertumpu di negeri Rakhine (Arakan) di Myanmar (Burma)”. 

BR1M merujuk kepada program Bantuan Rakyat 1Malaysia yang telah diperkenalkan oleh Najib Razak, perdana menteri ketika itu, pada 2012 untuk membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat. Selanjutnya, ia digantikan dengan program Bantuan Sara Hidup (BSH) pada 2019.

Dakwaan itu juga dikongsikan melebihi 780 kali selepas ia diterbitkan di Facebook di sini, sini dan sini, dan di Twitter di sini.

Dakwaan itu mengelirukan. UNHCR berkata ia tidak menawarkan pembayaran harian tetap kepada semua pelarian Rohingya di Malaysia.

Keadaan luar biasa

Dalam jawapannya kepada persoalan AFP, seorang jurucakap UNHCR di Kuala Lumpur memberitahu AFP melalui emel pada 14 Mei 2020 bahawa ia hanya menawarkan bantuan kewangan kepada pelarian “dalam keadaan yang luar biasa” dan bahawa “jumlahnya akan berbeza mengikut beberapa kriteria”.

“Pertama sekali, ia penting untuk diperhatikan bahawa bantuan kewangan diberikan dalam keadaan luar biasa kepada pelarian atau keluarga pelarian dengan keperluan khas,” katanya. “Penilaian individu dibuat berdasarkan satu kes ke satu kes untuk untuk menentukan sama ada seseorang memerlukan bantuan kewangan, bantuan perubatan, atau jenis sokongan yang lain, atau gabungannya.

“Sekiranya bantuan kewangan diberikan, ia akan merangkumi masa yang terhad, dan jumlahnya akan berbeza mengikut beberapa kriteria, termasuk saiz keluarga, keperluan dan cabaran tertentu yang dihadapi keluarga tersebut, keadaan sosio-ekonomi dan perbelanjaan bulanan, modal sosial dan sokongan, dan adakah sokongan kewangan diperkuatkan dengan jenis sokongan lain seperti yang disebutkan.”

Mesej teks tak benar

UNHCR Malaysia juga mengeluarkan kenyataan rasmi di sini pada 29 April 2020 untuk menafikan dakwaan itu.

Sebahagian kenyataan itu menyatakan: “UNHCR, Agensi Pelarian UN, menafikan teks mesej tak benar yang telah beredar di Malaysia beberapa hari ini, yang mendakwa bahawa agensi ini memberikan bantuan wang tunai setiap hari kepada semua pelarian di Malaysia.

“Agensi ini juga menafikan bahawa pelarian tersebut mendapat manfaat daripada bantuan Kerajaan seperti kebajikan awam dan subsidi kesihatan ...

“Untuk pelarian yang sangat rentan, UNHCR memberi kewangan masa terhad. Pelarian yang sangat rentan boleh termasuk pelarian dengan penyakit yang mengancam nyawa yang tidak dapat menyara keluarga mereka, wanita bujang ketua isi rumah tanpa pendapatan, orang tua yang tidak mempunyai keluarga, pelarian yang kurang upaya, dan lain-lain.  

“Penilaian dibuat berdasarkan satu kes ke satu kes oleh pekerja sosial yang terlatih untuk menentukan sama ada seseorang itu memerlukan bantuan kewangan, bantuan perubatan, atau jenis sokongan yang lain.

“Sayangnya, kerana peruntukan belanjawan yang sangat terhad, sokongan seperti itu hanya dapat diberikan kepada sesetengah keluarga.” 

Di bahagian lain laman sesawangnya, UNHCR Malaysia juga menyatakan bahawa sehingga Mac 2020, ia telah mendaftarkan 179,520 pelarian dan pencari suaka di Malaysia, dengan lebih daripada 101,000 dari jumlah itu warga Rohingya.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia berkata dalam kenyataan ini di Facebook pada 30 April 2020 bahawa ia tidak mengiktiraf status pelarian sebarang kumpulan.

Sebahagian kenyataan itu menyatakan: “Dalam hal ini, KDN ingin menegaskan bahawa Malaysia adalah bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967 sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini.

“4. Oleh yang demikian, Kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian dan telah mengklasifikasikan mereka sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang memegang kad UNHCR.

“Namun begitu, atas dasar kemanusiaan, Kerajaan telah membenarkan PATI yang memegang kad UNHCR untuk tinggal sementara di negara ini sebelum ditempatkan di negara ketiga oleh UNHCR menerusi dasar “satu kes ke satu kes.” 

Gambar-gambar tidak berkaitan

Carian imej terbalik di Google mendapati tiga gambar yang telah dimuat naikkan di dalam posting yang mengelirukan telah muncul sebelum ini di laporan media Malaysia mengenai golongan gelandangan di Kuala Lumpur dan di laman gambar stok. Tiada di kalangan mereka menyebut mengenai pelarian Rohingya.

Gambar yang pertama diterbitkan oleh Malay Mail pada 8 Julai 2014, di sini, dengan kapsyen: “Arinburagan tidur di padang Dataran Merdeka pada waktu pagi kerana dia bekerja sebagai petugas tempat letak kereta pada waktu malam, dan ia adalah terlalu mahal untuk berulang-alik ke tempat perlindungan di kuil Hindu di Puchong.”

Gambar kedua muncul di laporan Free Malaysia Today bertarikh 22 Mei 2019 ini dengan kapsyen yang menyatakan: “Syed Omar Syed Agil bersembang dengan seorang gelandangan yang fasih berbahasa Inggeris tetapi tidak boleh dapat pekerjaan.” 

Gambar ketiga boleh dijejak kepada gambar iStock ini, yang mempunyai keterangan: “Kota Kinabalu, Malaysia - 3 Januari 2015: Gadis muda memberi wang kepada pengemis di jalan Kota Kinabalu di Borneo, Malaysia.”