Video ini menunjukkan sekawan burung hitam di Texas pada tahun 2016

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Satu video telah ditonton ribuan kali setelah dikongsikan di Facebook dan YouTube pada Mei 2020, semasa wabak koronavirus, bersama-sama dakwaan bahawa ia menunjukkan burung gagak di Amerika Syarikat. Dakwaan itu tak benar. Video tersebut menunjukkan burung hitam berkerumun di negeri Texas, Amerika Syarikat (AS), pada Disember 2016 dan audio di dalam video telah dimanipulasikan.

Video berdurasi satu minit dan 56 saat itu, dimuat naikkan di sini di Facebook pada 13 Mei 2020. Ia telah ditonton melebihi 6,000 kali dan dikongsi lebih daripada 500 kali.

Video itu menunjukkan burung-burung hitam berkerumun di tempat letak kereta dengan audio orang ramai yang cemas kedengaran. Kapsyennya berbunyi: “Beribu ribu gagak hitam d Amerika Syarikat…”

Di ruangan komen posting Facebook yang mengelirukan itu, ada pengguna yang mengaitkan kehadiran burung-burung tersebut dengan pandemik COVID-19. 

Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

Video yang sama juga telah dikongsi di Facebook di sini, sini dan sini dan di YouTube di sini dan sini bersama-sama dakwaan serupa.

Video tersebut juga dikongsi di di sini dengan dakwaan dalam bahasa Indonesia bahawa “ribuan burung gagak” berkerumun di Texas, AS, “setelah menyerang kota Wuhan, China”. Di dalam video itu, kedengaran suara seorang wanita menjelaskan situasi tersebut semasa merakam dari dalam keretanya. Logo untuk MailOnline, laman sesawang untuk surat khabar UK The Daily Mail kelihatan pada hujung video itu.

Lebih daripada 1.7 juta orang di AS telah dijangkiti novel koronavirus dan jumlah kematian telah mencecah lebih 105,000, menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 3 Jun 2020.

Dakwaan itu tak benar. Video tersebut menunjukkan kawanan burung hitam berkerumun di negeri Texas, AS, pada Disember 2016, beberapa tahun sebelum pandemik COVID-19. Audio di dalam video memaparkan suara orang ramai yang panik juga telah dimanipulasikan.

Carian kata kunci menjumpai video The Daily Mail ini yang disiarkan di laman Facebooknya pada 18 April 2020. Ia, diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, berjudul: “Ribuan burung menyerang sebuah tempat letak kereta.”

Rakaman asal telah disiarkan oleh syarikat pelesenan video ViralHog di YouTube di sini sehari sebelum laporan The Daily Mail.

Kapsyen video itu, diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, berbunyi: “Berlaku pada 6 Disember 2016 / Carrollton, Texas, AS

“‘Saya meninggalkan H-Mart dan sedang pulang ke kereta saya dengan barang runcit. Saya perasan burung-burung itu sangat bising semasa saya sedang pergi, tetapi langit tidak dipenuhi dengannya seteruk seperti yang dipaparkan di dalam video. Saya menuju ke kereta saya manakala orang lain sedang menanti di pintu masuk ke bangunan sambil memerhati. Mereka bijak kerana menunggu sebab pada minit seterusnya, kereta saya teruk dijatuhi najis burung. Seperti yang kamu boleh lihat, kawasan ini dipenuhi burung-burung tersebut dengan sangat cepat. Rupa-rupanya, mereka adalah burung hitam dan mereka berkumpul ketika matahari terbenam. Saya tidak tahu sebab saintifik yang tepat untuknya, tetapi ada sebabnya dan ia sering berlaku. Saya ingat saya sering melihat kawanan burung macam ini ketika saya masih muda, tetapi tidak pernah sebanyak ini!’”

Audio di dalam rakaman ViralHog dan The Daily Mail termasuk suara wanita yang sama yang kedengaran di dalam klip yang mengelirukan dari Indonesia.

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin adegan dari video yang mengelirukan (kiri) dan video ViralHog (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin adegan dari video yang mengelirukan (kiri) dan video ViralHog (kanan)

Google Street View H Mart di Carrollton, Texas, boleh dilihat di sini dan padan dengan bangunan yang kelihatan di dalam rakaman.

Kejadian serupa telah dirakam di dalam video YouTube ini pada Februari 2017 dan rakaman ViralHog ini dari Februari 2018.

Dakwaan yang mengelirukan mengenai burung gagak berkerumun di bandar Wuhan, China, semasa penularan wabak koronavirus telah disebarkan luas di media sosial pada Februari 2020. Namun begitu, burung gagak tersebut telah dilihat di Xining, sebuah bandar terletak kira-kira 1,600 km dari Wuhan. AFP telah membongkar dakwaan yang mengelirukan itu di sini.

KORONAVIRUS