
Tidak cukup bukti bahawa air nanas panas boleh bunuh sel-sel kanser, kata para pakar
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari 17/08/2021 jam 09:14
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Amy SOOD, AFP Indonesia, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Dakwaan tersebut dikongsikan pada 23 Mei 2021 di Facebook di sini.

Kapsyen catatan itu menyatakan: "Air Nanas Panas boleh menyelamatkan Anda seumur hidup" dan pautan yang disertai dengan catatan tersebut membawa kepada sebuah artikel dengan bunyi tajuk yang sama.
Dakwaan itu juga tersebar di Facebook di sini dan sini, dan di Instagram di sini.
Dakwaan serupa muncul dalam bahasa Indonesia di sini dan sini.
Walau bagaimanapun, dakwaan ini mengelirukan dan tidak disokong oleh saintis dan profesional kesihatan.
Tidak cukup bukti
Para saintis berkata bahawa walaupun nanas mengandung sebatian yang mempunyai banyak manfaat kesihatan, tidak ada bukti yang mencukupi untuk menunjukkan bahawa buah itu akan menjadi rawatan kanser yang berkesan untuk manusia.
Profesor Dr Aru Wisaksono Sudoyo, ketua Yayasan Kanser Indonesia, berkata bahawa tidak ada bukti yang menyokong penggunaan nanas sebagai rawatan untuk kanser.
"Seperti buah-buahan lain — termasuk epal dan avokado, antara lain-lain — nanas adalah sihat. Mereka adalah buah-buahan yang dapat menyokong kesihatan umum dan keimunan badan. Tidak lebih daripada itu," katanya kepada AFP pada 6 Ogos 2021.
Walaupun makan nanas dan buah-buahan lain serta sayur-sayuran yang sihat boleh membantu mengurangkan risiko kanser, adalah penting untuk diperhatikan bahawa ini tidak setara dengan rawatan perubatan atau terapi untuk penyakit tersebut, kata beliau lagi.
Bromelain, sekumpulan enzim yang dijumpai dalam nanas, telah diselidik sebagai makanan tambahan dalam kajian tabung uji untuk menyekat pertumbuhan sel kanser.
Walau bagaimanapun, tidak ada penyelidikan berasaskan manusia yang mencukupi untuk membuat sebarang kesimpulan mengenai keberkesanannya.
"Sesuatu yang diperhatikan berfungsi di makmal tidak semestinya berkesan dalam kehidupan sebenar," kata Aru.
Dr Raymond Chang, pakar barah yang berpusat di bandar New York dan pengarang buku Beyond the Magic Bullet: The Anti-Cancer Cocktail, juga berkata bahawa penyelidikan ke atas keberkesanan nanas pada sel-sel kanser adalah berdasarkan kajian tabung uji.
"Kita mesti membezakan eksperimen makmal dan realiti klinikal," kata Chang dalam e-melnya kepada AFP pada 12 Ogos 2021. "Banyak bahan-bahan semula jadi 'membunuh sel-sel kanser' di dalam persekitaran makmal buatan, tetapi mereka tidak berkesan apabila digunakan secara praktikal ke atas seorang manusia."
"Tidak ada makanan mujarab"
Seorang jurucakap Institut Kanser Kebangsaan Perancis pernah memberitahu AFP bahawa tidak ada "makanan mujarab" yang boleh membantu menyembuhkan kanser.
Sebelum ini, AFP juga telah membongkar dakwaan mengelirukan bahawa minuman berasaskan nanas adalah "ubat semulajadi" untuk Covid-19.
Selain itu, AFP juga pernah membongkar dakwaan yang mengatakan bahawa terdapat pelbagai jenis makanan, seperti durian belanda, air lemon panas, biji aprikot, serta akar dan ekstrak tumbuhan dandelion, adalah penawar kanser yang berkesan.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami