Budak lelaki berpakaian kuning bukan Jack Ma ketika beliau masih kecil

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Satu gambar telah dikongsi ratusan kali dalam pelbagai bahasa bersama-sama dakwaan budak lelaki berbaju kuning ialah jutawan China Jack Ma ketika beliau masih kecil. Dakwaan itu tak benar. Gambar itu telah tersebar di dalam laporan media China sejak tahun 2016 mengenai seorang budak lelaki berusia 8 tahun dari wilayah Jiangxi di bahagian timur China  yang tidak berkaitan dengan Ma.

Gambar itu diterbitkan pada 18 September 2018 di sini, di Twitter, di mana ia telah diulang ciap melebihi 800 kali.  

Tangkapan skrin ciapan yang mengelirukan, diambil pada 17 September 2020

Gambar tersebut menunjukkan seorang budak lelaki berpakaian baju kuning bergambar dengan tiga orang lain.

Ciapan itu, sebahagian daripada satu bebenang, menyatakan: “Jack Ma semasa kecil (berbaju kuning). 

“Miskin, terbantut, dipandang rendah, selalu gagal dalam pelajaran – rendah, menengah & kolej. 

“Namun, satu kelebihan istimewa – tidak pernah putus asa, gagah, tabah, tak peduli apa orang kata & yakin diri.”

Jack Ma merupakan pengasas and bekas pengerusi eksekutif Kumpulan Alibaba, salah satu perniagaan e-dagang terbesar di dunia. Majalah perniagaan Amerika Syarikat (AS) Forbes menamakannya sebagai orang terkaya di China, dengan nilai bersih lebih daripada $52 bilion. 

Beliau dilahirkan pada 10 September 1964. 

Gambar tersebut juga muncul di dalam catatan Facebook di sini, sini dan sini dengan dakwaan yang serupa.

Gambar yang sama juga dikongsikan dengan dakwaan serupa dalam bahasa Indonesiabahasa Burma dan bahasa Inggeris

Dakwaan tersebut tak benar.

Carian imej terbalik di Google mendapati gambar yang sama diterbitkan di sini dalam laporan bertarikh 14 November 2016 oleh China Daily, sebuah surat khabar berbahasa Inggeris yang dimiliki kerajaan China. 

Tangkapan skrin laporan China Daily bertarikh 14 November 2016

Laporan berbahasa Inggeris itu bertajuk: “Pengasas Alibaba sokong ‘Jack Ma mini’ sehingga tamat pengajian di universiti.”

Sebahagian laporannya menyatakan: “Seorang budak mirip Jack Ma telah memenangi hati pengasas Kumpulan Alibaba, Jack Ma yang sebenarnya. 

“Fan Xiaoqin atau “Jack Ma mini’ berusia 8 tahun dan tinggal di daerah Yongfeng, wilayah Jiangxi di timur China. Keadaan keluarganya malang kerana ibunya menghidap poliomielitis, ayahnya kehilangan kaki dan neneknya penghidap penyakit Alzheimer, lapor jxnews.com.cn pada 13 November.

“‘Jack Ma mini’ menjadi terkenal setelah seorang penduduk kampung menyiarkan video mengenainya dalam talian pada tahun 2015. Internet meletup dengan komen mengenai bagaimana budak lelaki itu kelihatan seperti Jack Ma.”

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin foto di dalam ciapan yang mengelirukan (kiri) dan foto dari laporan China Daily (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin foto di dalam ciapan yang mengelirukan (kiri) dan foto dari laporan China Daily (kanan)

Gambar tersebut juga diterbitkan oleh media antarabangsa yang lain pada tahun 2016, termasuk The Straits Times, yang berpusat di Singapura, di sini dan The Hindu dari India di sini, dalam laporan-laporan mengenai niat Ma untuk memberi sokongan kewangan kepada budak itu. 

Walau bagaimanapun, laporan BBC yang diterbitkan pada November 2016 menyatakan bahawa Kumpulan Alibaba menafikan dakwaan mengenai sumbangan Ma untuk pendidikan budak itu. Syarikat itu menyatakan: “Semua berita mengenai Jack Ma Mini tidak patut diambil sebagai gurauan... Untuk membiayai pendidikan seorang anak adalah mudah, tetapi untuk menolong jutaan kanak-kanak miskin, lebih banyak sumber perlu digunakan.”