Dua daripada tiga foto kerangka raksasa ini adalah hasil suntingan manakala satu foto lagi adalah karya seni kontemporari

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Tiga gambar yang menunjukkan kerangka dan tengkorak manusia gergasi telah disebarkan di Facebook dengan dakwaan bahawa ketiga-tiganya adalah kerangka manusia raksasa yang ditemui di Arab Saudi. Dakwaan itu tak benar. Dua daripada tiga foto tersebut merupakan hasil suntingan dan satu lagi adalah hasil karya seni kontemporari.

Ketiga-tiga foto itu dimuat naikkan di Facebook di sini pada 27 Oktober 2016.

Posting tersebut memaparkan tiga foto yang menunjukkan kerangka dan tengkorak manusia gergasi.

Sebahagian kapsyen dalam posting itu menyatakan:

“Rangka Manusia yang luar biasa besar ditemukan di Saudi Arabia.

“Tim Explorasi Aramco di tenggara padang pasir Arab telah menemukan rangka manusia yang luar biasa besar.

“Di kawasan Gurun Arab tsb yang disebut kawasan kosong, atau dalam bahasa Arab, Rub-al-Khali.

“Seperti dikatakan dalam al-Quran bahwa Allah telah menjadikan manusia ada yang luar biasa tangguh.

“Kaum Aad dikenal mempunyai tubuh yang tinggi besar dan sangat kuat, mereka mampu mencabut pohon hanya dgn tangannya. Kemudian dalam sejarah kehidupannya, kaum Aad berpaling menentang Allah dan NabiNYA dan juga sangat melampaui batas. sehingga akhirnya Allah membinasakannya.

“Ulama Arab Saudi percaya bahwa penemuan rangka manusia dan tengkorak itu adalah kerangka dan tengkorak dari kaum Aad.” 

Di bawah adalah tangkapan skrin posting yang mengelirukan itu:

Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

“Aramco” merujuk kepada Saudi Aramco, perusahaan national petroleum dan gas asli Saudi Arabia.

“Rub-al-Khali” merujuk kepada Ar Rub’ al Khali, wilayah padang pasir di Semenanjung Arab yang terletak di Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Yemen dan Oman. 

“Kaum Aad” adalah suku bangsa yang disebut dalam Al-Quran memiliki fizikal yang sangat tinggi, sehingga sering difahamkan mereka adalah gergasi.

Gambar-gambar itu juga telah dimuat naikkan di Facebook dengan dakwaan yang serupa di sini dan di sini

Ketiga-tiga gambar itu dimuat naikkan dengan dakwaan serupa dalam bahasa Indonesia di sini, di sini dan di sini.

Gambar-gambar tersebut juga telah dimuat naikkan dengan dakwaan dalam bahasa Inggeris, Portugis dan Sepanyol bahawa ia menunjukkan kerangka dan tengkorak Goliath yang dijumpai di Jerusalem.

Dakwaan itu tak benar. Dua daripada tiga foto tersebut merupakan hasil suntingan dan satu lagi adalah hasil karya seni kontemporari.

Carian imej terbalik di Google diikuti dengan carian kata kunci menemui bahawa foto pertama dan foto kedua merupakan hasil suntingan gambar untuk pertandingan reka bentuk grafik yang diadakan oleh DesignCrowd.

Gambar pertama adalah hasil karya seorang pereka dari Amerika Syarikat, blackbook, yang mereka gambar tengkorak raksasa ini dengan Photoshop sebagai sebahagian daripada pertandingan reka bentuk grafik yang bertema “PS Bonus Contest: Archaeological Anomalies 12” pada 26 Oktober 2008. 

Berikutnya tangkapan skrin hasil reka bentuk blackbook:

Tangkapan skrin hasil reka bentuk blackbook

Berikutnya perbandingan tangkapan skrin antara gambar pertama dari posting yang mengelirukan (kiri) dan hasil reka bentuk blackbook (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan (kiri) dan hasil reka bentuk blackbook (kanan)

Gambar kedua adalah hasil karya seorang pereka dari Amerika Syarikat, Whitmath57, yang mereka gambar tengkorak raksasa di atas tanah ini untuk pertandingan reka bentuk grafik yang bertema “Size Matters 4” pada 14 Ogos 2011.

Berikutnya tangkapan skrin hasil reka bentuk Whitmath57:

Tangkapan skrin hasil reka bentuk Whitmath57

Berikutnya perbandingan tangkapan skrin antara gambar kedua dari posting yang mengelirukan (kiri) dan hasil reka bentuk Whitmath57 (kanan): 

Perbandingan tangkapan skrin antara gambar kedua dari posting yang mengelirukan (kiri) dan hasil reka bentuk Whitmath57 (kanan)

Carian gambar terbalik untuk foto ketiga menjumpai foto dari 8 April 2007 ini yang dimuat naikkan di akaun Flickr seorang lelaki bernama Mauro Pipponzi.

Berikutnya tangkapan skrin foto di laman web Flickr: 

Tangkapan skrin gambar di laman web Flickr

Berikutnya perbandingan tangkapan skrin antara foto ketiga dari posting yang mengelirukan (kiri) dan foto di Flickr (kanan). AFP telah menanda bahagian yang sama dengan bulatan berwarna. 

perbandingan tangkapan skrin antara foto ketiga dari posting yang mengelirukan (kiri) dan foto di Flickr (kanan)

Pipponzi telah mengesahkan kepada AFP pada tahun 2018 bahawa dia telah mengambil foto yang dimuat  naikkan di Flickr dan berkata bahawa foto itu menunjukkan “Calamita Cosmica” atau “Magnet Kosmik”, karya seniman dari Italy Gino De Dominicis.

“Saya (mengambil foto itu) di tahun 2007 ketika ia dipamerkan di Palazzo Reale di Milan,” kata Pipponzi.

Ini adalah artikel mengenai pameran Calamita Cosmica di Palazzo Reale di Milan pada tahun 2007.  

Karya seni itu telah dipamerkan beberapa kali untuk khalayak umum, termasuk di Foligno dan Firenze, kedua-duanya kota di Italy.