Video lama pesta belon Myanmar dikongsi dalam konteks palsu tentang 'tragedi Tahun Baru 2022'

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Khamis 17/02/2022 pukul 11:46
  • Dikemas kini pada hari Sabtu 19/02/2022 pukul 07:47
  • Durasi bacaan 4 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
 

Dua video beredar di Facebook dengan dakwaan bahawa ia menunjukkan kemalangan belon udara panas yang berlaku semasa sambutan Tahun Baharu 2022 di Myanmar. Dakwaan itu tak benar. Kedua-dua klip itu sudah beredar selama beberapa tahun dalam catatan media sosial mengenai kemalangan di pesta belon api Myanmar yang diadakan setiap bulan November. 

Video pertama telah ditonton melebihi 1,300 kali selepas ia dimuat naikkan pada 3 Januari 2022 di Facebook di sini.

Rakaman video itu menunjukkan belon udara panas berwarna kuning air gagal berlepas dan meledak ke arah para hadirin.

Kapsyen catatan itu dan teks yang tertindih di bahagian atas video menyatakan: “Tragedi Di ambang Tahun Baru 2022”. 

Sarikata tindih di bahagian bawah video berbunyi: "Apabila party jadi tragedi.. sambutan tahun baru di Myanmar.. ledakan mercun jatuh di tengah2 ribuan penonton..."

Rakaman itu turut dikongsi dengan dakwaan serupa di sini, di mana ia telah ditonton lebih daripada 5,200 kali. 

Image
Tangkapan skrin hantaran Facebook mengelirukan pertama, diambil pada 11 Februari 2022

Video kedua dimuat naikkan dengan dakwaan yang serupa pada 1 Januari 2022 di Facebook di sini

Rakaman video itu, yang menunjukkan belon udara panas berwarna merah terhempas ke tanah, telah ditonton lebih daripada 9,200 kali.

Kapsyen catatan itu menyatakan "MERIAH... HAPPY NEW YEARRRR", sementara sarikata tindih pada klip itu berbunyi: "Kembang api Myanmar, Meledak diantara penonton."

Klip berserta dakwaan yang sama juga beredar di Facebook, seperti di sini dan sini.

Image
Tangkapan skrin hantaran Facebook mengelirukan kedua, diambil pada 11 Februari 2022

Namun begitu, video-video tersebut telahpun beredar dalam catatan-catatan lama mengenai kemalangan belon di Myanmar dan bukan dirakam semasa sambutan Tahun Baharu 2022, seperti yang didakwa oleh catatan-catatan mengelirukan tersebut.

Video pertama 

Carian imej terbalik dan carian kata kunci selanjutnya mendapati video yang lebih panjang yang dimuat naikkan di YouTube di sini pada 8 April 2011.

Diterjemahkan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, tajuknya berbunyi: "Belon terhempas semasa festival di Myanmar".

Kapsyennya berbunyi: "Festival Belon kertas udara panas di Taungyi, Myanmar (Burma)."

Ketika dihubungi AFP, pengguna YouTube Kaspars Ulsts mengesahkan dia yang membuat rakaman video itu dan video tersebut tidak menunjukkan "tahun baru 2022".

Teks bahasa Burma yang tertera pada belon itu menyatakan: "Festival Tazaungdaing" dan "1372", tahun Burma yang sepadan dengan tahun 2010 dalam kalendar Gregorian.

Visual yang serupa boleh dilihat dalam foto ini yang diambil di pesta belon edisi 2010.

Perayaan belon api Myanmar, yang diadakan setiap bulan November di Taunggyi, ibu negeri Shan, merupakan acara kemuncak perayaan cahaya Tazaungdaing yang menandakan penghujung musim tengkujuh, lapor AFP di sini.

Semasa pesta yang berlangsung selama beberapa hari itu, belon udara panas besar buatan sendiri membawa bunga api dan lilin dinyalakan di atas orang ramai yang sedang bersuka ria.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan mengelirukan pertama (kiri), video YouTube asal (tengah) dan foto dari tahun 2010 (kanan), dengan ciri-ciri yang sama ditandakan oleh AFP: 

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan mengelirukan pertama (kiri), video YouTube asal (tengah) dan foto dari tahun 2010 (kanan)

Video kedua  

Carian imej terbalik dan carian kata kunci selanjutnya mendapati video kedua pada dengan video ini yang dimuat naikkan di YouTube pada 15 November 2018, dengan tajuk: "Belon Terhempas di Festival Belon Api Taunggyi."

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan mengelirukan kedua (kiri) dan video asli tahun 2018 (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan mengelirukan kedua (kiri) dan video YouTube yang diterbitkan pada 2018 (kanan)

Kejadian tersebut turut dirakam dari sudut berbeza dalam video YouTube lain, yang dimuat naikkan di sini oleh pengguna bernama Kyaw Kyaw Win pada tarikh yang sama.

Video itu bertajuk: "Kemalangan belon udara panas Taunggyi", dan kapsyennya mengatakan klip itu diambil oleh Kyaw Kyaw Win. 

Sari kata berbahasa Burma dalam video itu termasuk ayat ini: "Kemalangan itu berlaku pada 14 November 2018, dan ia ialah belon bernama 'Dat Khae Mee'."

Sekurang-kurangnya dua orang cedera parah apabila bingkai yang membawa 50 kg bunga api jatuh dari belon api milik pasukan Dat Khae ke atas para penonton pada hari itu, seperti yang dilaporkan media serantau The Irawaddy di sini.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan mengelirukan kedua (kiri), video YouTube asal tahun 2018 (tengah) dan klip kedua dari tahun 2018 (kanan), dengan ciri-ciri yang sama ditandakan oleh AFP:

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan mengelirukan kedua (kiri), video YouTube asal tahun 2018 (tengah) dan klip kedua dari tahun 2018 (kanan)

 

 

 

 

 

 

 

 

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami