Seorang kanak-kanak menerima satu dos vaksin Covid-19 jenama Pfizer/BioNTech di pusat pemulihan Clemenceau di Strasbourg pada 22 Disember 2021. ( AFP / Sebastien Bozon)

Video penyelidik AS Robert Malone membuat dakwaan tidak sahih bahawa suntikan Covid-19 membahayakan kanak-kanak

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Satu video yang memaparkan penyelidik Amerika Robert Malone telah ditonton ribuan kali dalam talian, di mana dia membuat pelbagai dakwaan mengenai suntikan vaksin Covid-19 yang menggunakan teknologi mRNA yang boleh membahayakan kanak-kanak. Tetapi para pakar berkata bahawa dakwaan-dakwaan itu tidak tepat, dan seorang doktor dari sebuah hospital kanak-kanak terkemuka di Amerika Syarikat memanggil video tersebut "berbahaya dan terlampau salah".

Video berdurasi empat minit dan 32 saat itu dimuat naikkan di Facebook di sini pada 3 Januari 2022 dan telah ditonton hampir 5,000 kali.

Kapsyen catatan Facebook yang mengelirukan itu berbunyi: "AMARAN DR.ROBERT MALONE SEBELUM ANDA VAKSIN ANAK ANDA."

Dalam video itu, Malone menyampaikan pelbagai dakwaan mengenai vaksin Covid-19 yang menggunakan teknologi mRNA yang katanya boleh membahayakan kanak-kanak.

Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan, diambil pada 15 Februari 2021



Malone, seorang penyelidik dari Amerika yang pada akhir 1980-an menyumbang kepada pembangunan vaksin-vaksin mRNA, teknologi yang digunakan dalam suntikan Covid-19 Pfizer-BioNTech dan Moderna, menggambarkan dirinya sebagai "pencipta asal vaksinasi mRNA." Pada hakikatnya, ramai saintis lain telah terlibat dalam proses itu selama beberapa dekad.

Video itu telah ditonton lebih daripada 6,500 kali setelah dimuat naikkan di Facebook di sini, sini dan sini, serta di sini di TikTok.

Video serta dakwaan yang sama telah muncul dalam bahasa Inggeris, bahasa Indonesia, bahasa Cina, bahasa Sepanyol, dan bahasa Perancis dan bahasa Itali.

Malaysia meluluskan vaksin Covid-19 jenama Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun pada 6 Januari 2022, dan kempen vaksinasi bermula pada 3 Februari 2022.

Kerajaan meluluskan vaksin Pfizer-BioNTech untuk remaja berumur 12 hingga 17 tahun pada Julai 2021, manakala kempen vaksinasi bermula pada September 2021.

Suntikan Covid-19 menerima kebenaran penggunaan kecemasan di Amerika Syarikat (AS) untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun pada 29 Oktober 2021 dan untuk remaja berumur 12 hingga 15 tahun pada bulan Mei 2021.

AFP meneliti tiga dakwaan yang dibuat oleh Malone dalam videonya di bawah:

Dakwaan 1: Protein pepaku vaksin Covid-19 menggunakan teknologi mRNA adalah toksik

Dalam video itu, Malone mengenal pasti protein pepaku (spike protein) sebagai berbahaya dan kononnya punca masalah organ.

"Gen virus akan disuntik... Gen ini memaksa badan anak anda membuat protein pepaku yang toksik. Protein ini selalunya menyebabkan kerosakan tetap dalam organ kritikal kanak-kanak," katanya.

"Itu palsu," kata Paul Offit, doktor penyakit berjangkit dan pengarah Pusat Pendidikan Vaksin di Hospital Kanak-kanak Philadelphia.

"Tiada bukti, sama ada dalam eksperimen haiwan ataupun manusia," katanya.

Felow Akademi Pediatrik Amerika Deborah Greenhouse bersetuju. "Tiada bukti langsung bahawa protein pepaku yang dihasilkan sebagai tindak balas kepada vaksin Covid-19 adalah toksik," katanya.

Vaksin asid ribonukleik pengutus (mRNA) berfungsi dengan memperkenalkan "cetak biru" protein pepaku koronavirus, sebahagian daripada virus itu yang boleh dikenali dan dilawan oleh badan jika ia bertembung dengannya kemudian, tanpa mendedahkan badan kepada virus sebenar.

Suntikan Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech dan Moderna merupakan yang pertama menggunakan teknologi termaju. Mereka berbeza daripada vaksin-vaksin tradisional, yang menghadapi sistem imun dengan sebahagian daripada virus dalam bentuk yang lemah atau dinyahaktifkan untuk membina antibodi.

Greenhouse menjelaskan: "Protein pepaku adalah sasaran berguna untuk vaksin kerana ia berbeza daripada protein-protein lain yang boleh dihasilkan oleh manusia. Jadi sistem imun kita dapat mengenalinya sebagai asing dan meningkatkan tindak balas imun terhadapnya. Tiada bukti bahawa protein pepaku kekal di dalam badan lebih lama daripada protein biasa yang lain dan tiada bukti bahawa ia menyebabkan kerosakan yang ketara."

AFP Fact Check pernah membongkar satu lagi dakwaan bahawa protein pepaku berbahaya pada Mei 2021, di mana para pakar mengatakan bahawa protein pepaku dalam vaksin Covid-19 ialah selamat kerana ia hanya kekal dalam otot lengan seseorang untuk tempoh yang singkat.

"Tiada bukti untuk menyokong bahawa protein pepaku yang dihasilkan oleh vaksin Covid-19 menggunakan teknologi mRNA adalah toksik dalam apa cara sekalipun," kata Alexandra Yonts, seorang doktor penyakit berjangkit pediatrik di Hospital Kebangsaan Kanak-kanak di Washington, DC.

Berjuta-juta orang di seluruh dunia kini telah divaksinasi dengan vaksin Covid-19 jenis mRNA, dan susulan keselamatan yang ketat serta pengumpulan data "tidak menunjukkan sebarang bukti ketoksikan pada skala kasar," katanya.

Dakwaan 2: Protein pepaku sering menyebabkan kerosakan tetap dalam organ kritikal kanak-kanak

Malone juga mengatakan bahawa protein pepaku yang dihasilkan melalui vaksin Covid-19 jenis mRNA sering menyebabkan kerosakan yang tidak boleh dipulihkan dalam "otak dan sistem saraf kanak-kanak, jantung dan saluran darah mereka, termasuk pembekuan darah, sistem pembiakan mereka, dan yang paling penting, vaksin ini boleh mencetuskan perubahan asas dalam sistem imun mereka."

Ia sememangnya benar bahawa vaksin mencetuskan perubahan dalam sistem imun, kata Yonts. "Itulah makna literal matlamat vaksinasi."

"Vaksin tersebut akan membawa kepada perubahan dalam sistem imun, kerana ia memberikan sistem imun satu sasaran untuk membangunkan ingatan imun terhadap protein pepaku untuk melindungi orang daripada penyakit," katanya.

Walau bagaimanapun, kenyataan selebih Malone tidak disokong oleh bukti.

"Langsung tiada bukti bahawa protein pepaku boleh menyebabkan kerosakan tetap dalam organ penting kanak-kanak," kata Greenhouse.

Kesan sampingan serius yang jarang berlaku telah dilaporkan berikutan vaksinasi Covid-19 jenis mRNA, termasuklah oleh lelaki yang lebih muda yang mengalami miokarditis atau perikarditis — keradangan pada atau di sekeliling jantung.

Tetapi Yonts dan Offit menjelaskan bahawa kes melibatkan miokarditis adalah bersifat sementara, bukan tetap, seperti yang didakwa Malone.

"Miokarditis jelas merupakan akibat daripada vaksin mRNA. Ia jarang berlaku, tetapi ia benar," kata Offit. Tetapi keadaan tersebut adalah "berjangka pendek, sementara dan dapat diselesaikan sendiri."

Offit dan Yonts menyatakan bahawa data menunjukkan kes-kes miokarditis yang jarang berlaku bukanlah akibat langsung daripada protein pepaku itu sendiri, seperti yang dikatakan Malone.

Para saintis masih mempelajari tentang kes-kes miokarditis ini, tetapi mereka lebih berkemungkinan berkaitan dengan tindak balas imun semula jadi badan, bukan protein pepaku yang khusus dalam suntikan Covid-19, kata Yonts.

Beliau tambah lagi bahawa data menunjukkan jangkitan Covid-19 berpotensi menyebabkan isu-isu yang disenaraikan oleh Malone, tetapi bukan vaksin-vaksin mRNA.

Dakwaan 3: Tiada faedah untuk memberi vaksin terhadap Covid-19 kepada kanak-kanak

Malone berkata: "Secara ringkasnya, tidak ada faedah untuk anak-anak anda atau keluarga anda untuk memberi vaksin kepada anak-anak anda terhadap risiko kecil akibat virus... Analisis risiko-faedah tidak sama langsung dengan vaksin ini untuk kanak-kanak."

Ketiga-tiga doktor yang bercakap dengan AFP secara tegas menolak dakwaan ini.

"Risiko secara teori akibat vaksin-vaksin Covid sama sekali tidak melebihi faedah vaksin tersebut," kata Greenhouse.

"Lebih daripada 1,000 kanak-kanak kini telah meninggal dunia akibat jangkitan Covid. Puluhan ribu telah dimasukkan ke hospital. Salah seorang pesakit saya dimasukkan ke hospital minggu lalu ini disebabkan penyakit serius akibat penyakit Covid," katanya.

"Vaksin itu telah terbukti selamat dan berkesan untuk kanak-kanak berumur lima tahun ke atas," kata Greenhouse, sambil menambah: "Nisbah risiko-faedah berdasarkan data yang tersedia setakat ini jelas memihak kepada pemvaksinan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun."

Yonts juga menekankan bahawa "benar-benar ada manfaat untuk memberi vaksin kepada anak-anak anda terhadap Covid-19."

Walaupun kanak-kanak secara amnya dilindungi daripada mengalami sakit teruk akibat penyakit itu, Covid-19 boleh memberi kesan kepada kanak-kanak dan terdapat kematian berkaitan Covid-19, katanya.

'Mengelirukan dan secara terus terang berbahaya'

Offit mencirikan video Malone sebagai "berbahaya, terlampau tidak betul."

Dia tambah lagi: "Jika sesiapa menganggap lelaki ini serius, maka mereka boleh membahayakan diri mereka sendiri atau anak-anak mereka."

Greenhouse berkata dia mendapati video itu "mengelirukan dan secara terus terang berbahaya", dan merupakan "maklumat salah".

"Orang ramai tanpa latar belakang perubatan akan mempercayai kenyataan-kenyataan dalam video tersebut kerana Malone tampil sebagai 'pakar' yang berpengetahuan. Hasilnya ialah ramai ibu bapa akan memutuskan untuk tidak memberi vaksin kepada anak-anak mereka berdasarkan maklumat yang salah ini. Itulah sebabnya adalah sangat penting bagi kami untuk menyebarkan secara meluas maklumat berasaskan bukti, maklumat bukti kajian," katanya.

Yonts berkata bahawa dia berpendapat secara keseluruhannya tiada rasional di sebaliknya, dan mendapati ianya adalah tidak bertanggungjawab untuk membuat kenyataan sebegitu tanpa apa-apa untuk menyokong dakwaannya.

AFP Fact Check telah membongkar lebih daripada 1,300 dakwaan tidak sahih berkaitan Covid-19 di sini.

COVID-19 VAKSIN