Video tahun 2015 ini menunjukkan Putin merasmikan masjid di Moscow, yang dibina di tapak sama dengan masjid lama

Satu video telah ditonton ratusan ribu kali dalam pelbagai catatan media sosial bersama-sama dakwaan bahawa ia menunjukkan Presiden Rusia Vladimir Putin merasmikan masjid yang ditukarkan dari sebuah gereja. Video itu telah tersebar di kalangan umat Islam sejak tahun 2015. Dakwaan itu tidak benar. Video itu sebenarnya menunjukkan Putin membuka masjid di Moscow pada tahun 2015. Bangunan itu dibina di tapak yang sama dengan masjid berusia satu abad yang dirobohkan.

Video yang menunjukkan Presiden Rusia Vladimir Putin bersama seorang ulama Islam mendedahkan plak itu dimuat naikkan pada 26 September 2015 di Facebook di sini, di mana ia telah ditonton lebih daripada 1,500 kali.

Kapsyennya berbunyi: "Alhamdulillah , Putin merasmikan peralihan sebuah gereja menjadi masjid di Moskow, dan merupakan Masjid terbesar di Europe sempena Aidil adha."

Image
Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan, diambil pada 25 Februari 2022



Video itu juga dikongsikan dengan dakwaan serupa di sini, sini dan sini.

Rakaman video itu telah ditonton lebih daripada 500,000 kali setelah beredar dengan dakwaan dalam bahasa Inggeris, bahasa Indonesia dan bahasa Arab.

Walau bagaimanapun, dakwaan itu tidak benar.

Carian kata kunci mendapati video yang sama disiarkan di Facebook di sini pada 23 September 2015 oleh Euronews, saluran berita televisyen Eropah yang berpusat di Perancis.

Diterjemahkan dari bahasa Perancis, keterangan video itu berbunyi: "[Berlaku Sekarang] Presiden Rusia Vladimir Putin merasmikan Masjid Katedral Moscow."

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan mengelirukan (kiri) dan video Euronews (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan mengelirukan (kiri) dan video Euronews (kanan)

Acara penuh disiarkan oleh media negara Rusia Ruptly di sini pada hari yang sama.

Laporan Ruptly ini, mengenai acara yang sama, mengenal pasti lelaki yang merasmikan masjid bersama dengan Putin sebagai mufti besar Rusia, Rawil Gaynetdin.

AFP turut membuat liputan mengenai pembukaan masjid itu — salah satu yang terbesar di Eropah — yang menelan belanja $170 juta (150 juta euro) dan mengambil masa sedekad untuk disiapkan.

Masjid Katedral Moscow dibina di tapak yang sama dengan masjid yang dirobohkan sebelum itu di Moscow, ibu negara Rusia, menurut laporan itu.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Palestin Mahmud Abbas turut menghadiri perasmian itu, lapor AFP.

Menurut laman web Pentadbiran Rohani Umat Islam Persekutuan Rusia (DUMRF), masjid asal dibina pada tahun 1904 dan merupakan salah satu daripada beberapa masjid yang tidak dimusnahkan atau ditutup semasa era Soviet.

Masjid lama itu telah dirobohkan pada 2011 untuk memberi laluan kepada masjid sekarang, yang pada masa itu dibentangkan sebagai masjid terbesar di Rusia dengan kapasiti untuk 10,000 ahli jemaah.

Akhbar Rusia Izvestia melaporkan tentang reaksi yang bercanggah di kalangan umat Islam negara itu mengenai keputusan merobohkan bangunan lama tersebut.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami