Video telah tersebar sejak Disember 2021 dalam catatan tentang trend media sosial Indonesia, tidak berkaitan dengan tsunami Tonga

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Isnin 28/02/2022 pukul 13:28
  • Dikemas kini pada hari Selasa 01/03/2022 pukul 02:59
  • Durasi bacaan 4 minit
  • Oleh: Wasi MIRZA, AFP Pakistan, AFP Malaysia
Satu video telah beredar secara meluas di media sosial bersama-sama dakwaan ia menunjukkan beberapa orang dihanyutkan oleh gelombang tsunami dan dikaitkan dengan tsunami yang membanjiri beberapa pantai Pasifik berikutan letusan gunung berapi yang dahsyat di Tonga pada bulan Januari 2022. Walau bagaimanapun, video itu telah dikongsi dalam konteks palsu. Ia telah tersebar dalam media sosial sejak bulan Disember 2021 mengenai sekumpulan orang di Indonesia yang merakam aksi demi satu trend media sosial yang tular.

Video itu dikongsikan di sini di Facebook pada 16 Januari 2022.

Catatan yang mengelirukan itu mengongsikan dua video and kapsyennya berbunyi: "Sebenarnya orang sedang bermain tsunami? "

Video pertama berdurasi 50 saat itu menunjukkan seorang lelaki menumbuk pokok berhampiran kawasan air terbuka, sebelum dipukul ombak besar bersama-sama beberapa orang lain.

Video kedua berdurasi 51 saat menunjukkan rakaman sama lelaki tersebut berserta klip berasingan seorang wanita dan lelaki lain sebelum dipukul ombak besar.

Image
Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan, diambil pada 22 Februari 2022



Letusan bawah laut gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai di Tonga pada 15 Januari 2022 telah mencetuskan gelombang tsunami yang membanjiri garis pantai Pasifik dari Jepun ke Amerika Syarikat (AS), seperti yang dilaporkan AFP di sini.

Rakaman video pertama muncul dengan dakwaan serupa di catatan Facebook ini bersama tiga video yang lain.

Video pertama itu beredar dalam bahasa Inggeris di Twitter di sini dan sini dan dalam bahasa Sepanyol di TikTok di sini dan di Facebook di sini oleh stesen TV Republik Dominican, Telenoticias 11.

Walau bagaimanapun, kedua-dua video itu telah dikongsi dalam konteks palsu.

Video pertama

Carian imej terbalik menemui versi video yang lebih panjang yang disiarkan di sini di YouTube pada 6 Disember 2021.

Tajuk video itu berbunyi: "rina rina bono, onex tm, dan saya berkolaborasi antara salam dari binjai dan salam dari bono.amazing."

Dari tanda 50 saat, lelaki yang sama boleh dilihat bercakap kepada kamera dalam bahasa Indonesia sebelum mula menumbuk sebatang pokok pisang berhampirannya.

Lelaki tersebut berkata dia mahu mencontohi aksi viral "Salam dari Binjai", yang dimulakan oleh seorang lelaki di wilayah Sumatera Utara yang merakamkan dirinya menumbuk sebatang pokok pisang sehingga batangnya terbelah separuh.

Dirterjemahkan ke bahasa Malaysia, ia berkata: "Saya akan menumbuk seperti abang 'Salam dari Binjai'. Untuk abang 'Salam dari Binjai', tolong tonton video saya biar kita bekerjasama bersama di Ombak Bono."

"Ombak Bono" ialah fenomena benak di muara sungai Kampar di wilayah Riau, Indonesia.

Saluran YouTube itu sentiasa berkongsi video-video lelaki yang sama dari lokasi yang sama, seperti yang dilihat di sini dan sini.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin bagi rakaman dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video asal (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin bagi rakaman dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video asal (kanan)

Video kedua

Carian kata kunci di YouTube mendapati bahawa video kedua merupakan tiga video berbeza yang disunting bersama.

Adegan dalam video pertama disunting dan ditetapkan masa bersama dengan dua video lain yang dirakam oleh dua YouTuber berbeza: Rina rina bono di sini pada 6 Disember 2021 dan Onex tm di sini pada 7 Disember 2021.

Kedua-dua YouTuber itu juga sering berkongsi video "Ombak Bono", seperti di sini dan sini.

 

 

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin adegan-adegan video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video-video asal di YouTube (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin adegan-adegan video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video-video asal di YouTube (kanan)

Klip-klip lain

Tiga rakaman lain dalam catatan Facebook yang mengelirukan kedua menunjukkan fenomena yang berkaitan dengan tsunami yang menghentam Tonga pada 15 Januari 2022.

Carian kata kunci di YouTube mendapati bahawa video ombak melanda pantai sampai mencecah ke kawasan perumahan dimuat naikkan oleh penduduk Tonga bernama Dr Faka’iloatonga Taumoefolau di akaun Twitternya di sini pada 15 Januari 2022.

Video itu juga muncul dalam laporan Yahoo News Australia di sini.

Video air memasuki gereja dimuat naikkan oleh Johnny Teisi di akaun Twitternya di sini pada hari yang sama, manakala video beberapa kereta berundur dari ombak tsunami dimuat naikkan oleh pengguna Twitter Aki di sini juga pada tarikh yang sama.

Kedua-dua rakaman itu muncul dalam laporan 1News, stesen TV di New Zealand, tentang tsunami di Tonga di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami