Klip simulator penerbangan disalahgunakan sebagai 'rakaman nahas pesawat China'

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.
 

Sebuah telah ditonton ribuan kali di pelbagai platform media sosial setelah dikongsikan dengan dakwaan bahawa ia menunjukkan saat-saat terakhir sebelum pesawat China Eastern Airlines menjunam di China. Namun, dakwaan itu tak benar. Video itu sebenarnya adalah simulasi yang dijana komputer bagi kemalangan Ethiopian Airlines yang dimuat naikkan pada tahun 2019. 

Video berdurasi tujuh saat yang menunjukkan keadaan seperti pesawat jatuh dari langit disiarkan di sini di Facebook pada 21 Mac 2022, di mana ia ditonton melebihi 1,700 kali.

Keterangan catatan yang mengelirukan itu berbunyi: “Rakaman pesawat 737 bawa 133 orang terhempas di China…”

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 28 Mac 2022

Rakaman itu telah ditonton lebih daripada 5,300 kali setelah turut dikongsi di Facebook di sini dan sini

Video itu juga beredar dengan dakwaan serupa dalam bahasa Inggeris dan bahasa Indonesia.

Klip itu tersebar sejurus selepas nahas pesawat Boeing 737-800 China Eastern Airlines yang membawa 132 orang di wilayah Guangxi, China.

Simulator penerbangan 

Carian imej terbalik mendapati bahawa logo yang dipaparkan pada sayap pesawat dalam video itu adalah untuk Ethiopian Airlines, dan bukan China Eastern Airlines.

Tangkapan skrin sayap pesawat dari video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan logo Ethiopian Airlines (kanan)

 

Carian kata kunci selanjutnya di YouTube menemui rakaman simulasi penerbangan ini yang dimuat naikkan pada 10 Mac 2019, di mana adegan-adegan yang sama dalam video itu boleh diperhatikan mulai tanda minit 9:34.

Video itu bertajuk: "Nahas Pesawat Ethiopia, Ethiopia Airlines B737 MAX Terhempas Selepas Berlepas, Lapangan Terbang Addis Ababa [XP11]." 

Sebahagian keterangan video itu menyatakan: "INI BUKAN SEBENARNYA APA YANG BERLAKU, INI HANYA SIMULASI UNTUK NAHAS ETHIOPIAN AIRLINES PENERBANGAN ET302."  

XP11 ialah perisian simulator penerbangan.

Seperti yang dilaporkan oleh AFP di sini, penerbangan Ethiopian Airlines ET 302 terhempas berhampiran Addis Ababa, ibu negara Ethiopia, pada 10 Mac 2019, membunuh kesemua 157 orang — dan mencetuskan penggantungan global pesawat Boeing 737-Max — model yang berbeza daripada 737-800 yang terhempas di China.

Apabila dihubungi AFP, pemilik saluran YouTube itu mengesahkan bahawa video itu tiada kaitan dengan nahas pesawat China Eastern Airlines. 

"Sedih mendengar video saya disalahgunakan oleh orang lain," katanya. 

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan video asal di YouTube (kanan): 

Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan video asal di YouTube (kanan)

AFP membongkar catatan mengelirukan yang lain di sini yang mendakwa secara tidak sahih video kebakaran lereng bukit menunjukkan lokasi nahas pesawat China Eastern Airlines.