Video kebakaran lereng bukit disalahgambarkan dalam talian sebagai 'tapak nahas pesawat China Eastern Airlines'

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Selasa 29/03/2022 pukul 10:49
  • Dikemas kini pada hari Isnin 04/04/2022 pukul 03:49
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Hong Kong, AFP Malaysia
Sebuah video tersebar dalam pelbagai laporan berita dan catatan media sosial yang mendakwa ia menunjukkan asap berkepul-kepul dari pesawat China Eastern Airlines yang terhempas ke lereng gunung di wilayah Guangxi, di selatan China, pada 21 Mac 2022. Tetapi video itu dikongsikan dalam konteks yang mengelirukan. Jurucakap kerajaan tempatan berkata video itu sebenarnya menunjukkan kebakaran lereng bukit di daerah Shanghang, di wilayah Fujian, tenggara China, ratusan kilometer dari lokasi nahas, dan berlaku sehari sebelum tragedi jet China Eastern. Seorang lelaki dari daerah Shanghang secara berasingan memberitahu AFP bahawa video itu mengandungi suara orang ramai yang sedang berbincang tentang kebakaran yang disebabkan oleh penyapu kubur yang "cuai", dan berkongsi bukti bahawa ia telah tersebar sebelum nahas jet tersebut.
   

Video itu dimuat naikkan di Facebook di sini pada 21 Mac 2022, di mana ia telah ditonton lebih daripada 243,000 kali. 

Video berdurasi 48 saat itu menunjukkan asap berkepul-kepul akibat kebakaran di lereng bukit.

Keterangan catatan itu berbunyi: “Sebuah Pesawat China yang membawa 133 penumpang dilapor terhempas tengah hari tadi.”

Beberapa orang kedengaran bercakap di latar belakang video tersebut.

Image
Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 29 Mac 2022

Video itu tersebar dalam talian setelah pesawat Boeing 737-800 milik China Eastern Airlines jatuh menjunam ke lereng gunung berhampiran Wuzhou, di wilayah Guangxi, selatan China, pada 21 Mac 2022.

Rakaman video itu telah ditonton lebih daripada 690,000 kali setelah dimuat naikkan dengan dakwaan serupa di sini, sinisini dan sini

Video itu turut dikongsi bersama dakwaan dalam bahasa Cina di Twitter di sini dan dalam bahasa Inggeris oleh penyiar Amerika Syarikat (AS) Fox News.

Namun begitu, video itu telah dikongsi dalam konteks yang mengelirukan.

Kebakaran lereng bukit

Carian kata kunci menemui laporan ini oleh akhbar China Modern Express Post yang menyatakan video itu menunjukkan kebakaran berhampiran Longyan, sebuah bandar di wilayah Fujian, kira-kira 800 kilometer dari lokasi nahas di Wuzhou.

Seorang jurucakap kerajaan bagi daerah Shanghang, di Longyan, memberitahu AFP bahawa video itu menunjukkan kebakaran di lereng bukit di sebuah kampung tempatan pada 20 Mac 2022, sehari sebelum pesawat China Eastern terhempas.

“Video dalam talian itu tidak menunjukkan kejadian nahas pesawat, ia sebenarnya menunjukkan kebakaran bukit pada 20 Mac dari sebuah kampung di perbandaran Guanzhuang Kaum She, daerah Shanghang,” kata jurucakap itu.

Kebakaran tersebut berpunca daripada penyapuan kubur, adat kaum Cina membersihkan kubur nenek moyang yang melibatkan pembakaran colok atau kertas sembahyang, menurut jurucakap kerajaan itu.

AFP juga menemu bual seorang lelaki dengan nama keluarga Lin, yang berkata dia berasal dari sebuah kampung berhampiran dengan lokasi kebakaran di kampung Longpai.

Dia menghantar versi awal video itu bersama-sama dengan tangkapan skrin klip yang dikongsikan dalam kumpulan WeChat komuniti tempatan pada hari Ahad, 20 Mac 2022.

Ia boleh dilihat di bawah dengan cap masa yang ditonjolkan dalam warna merah oleh AFP:

Image
Tangkapan skrin perbualan di WeChat yang diambil pada 23 Mac 2022 oleh Lin

Di bawah adalah dua perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video yang dikongsikan di WeChat (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video yang dikongsikan di WeChat (kanan)

AFP menempatkan kampung itu di sini pada peta Baidu. Ia menunjukkan rupa bumi berbukit yang serupa dengan kawasan yang ditunjukkan dalam video.

Lin memberitahu AFP bahawa orang yang kedengaran bercakap dalam video itu menggunakan bahasa dialek Hakka tempatannya.

Menurut transkrip yang diberikannya kepada AFP, salah seorang penutur dalam video tersebut nampaknya menyalahkan kebakaran itu ke atas seseorang yang "cuai" semasa menyapu kubur.

Dia menterjemahkan komen seorang wanita sebagai: "Apinya sangat kuat! Orang yang pergi ke sana untuk menyapu kubur benar-benar teruk. [Mereka] sangat cuai [menyebabkan kebakaran itu]!"

AFP membongkar catatan mengelirukan yang lain di sini yang mendakwa secara tidak sahih video yang disebarkan menunjukkan saat-saat terakhir jet China Eastern Airlines.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami