Video protes perubahan iklim Austria disalahgunakan dalam catatan tidak sahih tentang konflik di Ukraine

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Satu video telah ditonton puluhan ribu kali dalam hantaran media sosial yang mendakwa ia menunjukkan seorang wartawan Ukraine secara tidak sengaja mendedahkan korban perang palsu dalam satu siaran langsung. Dakwaan ini tak benar. Video tersebut menunjukkan protes perubahan iklim di Austria yang diadakan beberapa minggu sebelum Rusia menyerang Ukraine pada 24 Februari 2022. Audio dalam video itu telah dimanipulasi dengan memasukkan suara seorang wartawan dari laporan media Amerika tentang Ukraine.

Video itu telah dimuat naikkan di Facebook di sini pada 9 Mac 2022, di mana ia telah ditonton melebihi 3,900 kali.

Kapsyennya berbunyi: “Korang pernah tengok mayat hidup.?

"Orang Ukraine kena belajar dari Yahudi Israel macam mana nak menipu..”

Klip berdurasi 30 saat itu menunjukkan seorang wartawan bertutur dalam bahasa Inggeris di hadapan apa yang kelihatan seperti beberapa deretan beg mayat.

Teks bahasa Inggeris tertindih di bahagian bawah skrin klip tersebut berbunyi: "Kementerian Kesihatan Ukraine: 57 maut, 169 cedera di seluruh Ukraine ketika Rusia melancarkan serangan."

Semasa seorang wartawan lelaki bercakap dalam bahasa Inggeris, salah seorang yang terlantar di tanah boleh dilihat bergerak-gerak di dalam beg mayat yang terletak di atasnya sebelum seorang wanita bergegas untuk membetulkan beg orang itu semula.

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 21 Mac 2022

Lebih daripada 1,100 orang awam telah terbunuh dan jutaan orang telah melarikan diri dari Ukraine sejak pencerobohan Rusia bermula, menurut data terkini dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Rakaman video itu telah ditonton lebih daripada 24,000 kali setelah turut dikongsikan bersama dakwaan serupa di Facebook di sini, sini dan sini; di YouTube di sini dan sini; dan di Telegram di sini.

Video itu juga beredar dengan dakwaan dalam bahasa Indonesia, bahasa Cina, bahasa Romania, bahasa Portugis dan bahasa Belanda.

Walau bagaimanapun, video itu tidak berkaitan dengan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Video tunjuk perasaan di Austria

Carian imej terbalik menemui video ini, yang dimuat naikkan di saluran YouTube milik media Austria Oe24 pada 4 Februari 2022.

Wartawan dalam rakaman itu bercakap dalam bahasa Jerman, dan pada skrin rakaman itu terpapar teks berbahasa Jerman yang bererti: "Vienna: Protes menentang dasar iklim."

Video itu juga muncul dalam laporan Oe24 ini yang diterbitkan pada hari yang sama.

Laporan itu menyatakan: "Jumaat (4 Februari 2022) akan menandakan 400 hari Austria tidak mempunyai sasaran pengurangan gas rumah hijau.

"Platform Fridays For Future memberi amaran bahawa ini membawa maut, bahawa dengan setiap tan CO2, krisis iklim bertambah buruk.

"Pada waktu petang, para aktivis menyampaikan 49 'beg badan iklim' di hadapan Canselori Persekutuan di Vienna."

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video asal dalam laporan Oe24 (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video asli di laporan Oe24 (kanan)

Protes itu "mengenai krisis iklim", Verena Matlschweiger, jurucakap Fridays For Future Austria dan penganjur bersama acara itu, memberitahu AFP.

"Mayat-mayat itu dimaksudkan sebagai simbol, dan tidak mempunyai niat untuk menunjukkan mayat sebenar," kata Matlschweiger.

Fridays For Future juga berkongsi foto-foto yang sama dari protes itu di Twitter dan Facebook.

"Ketika tindakan oleh Fridays For Future hari ini, para aktivis berbaring 'mati' di hadapan [bangunan] Canselori. Mereka melambangkan orang yang akan mati akibat kegagalan dasar iklim Austria," kata ciapan organisasi itu pada 4 Februari 2022.

Protes itu dilaporkan oleh Agensi Akhbar Austria dan akhbar tempatan Der Standard.

Marvin Bergauer, wartawan dalam rakaman Oe24 itu, membuat catatan Instagram ini pada 8 Mac 2022 yang menjelaskan bahawa laporannya telah "dimanipulasi" dan digunakan sebagai "propaganda untuk mewajarkan perang kejam [Rusia] terhadap Ukraine".

Audio dalam bahasa Inggeris

Carian kata kunci mendapati audio dalam bahasa Inggeris yang digunakan dalam versi video dalam catatan yang mengelirukan berasal daripada laporan ini, yang disiarkan pada 25 Februari 2022 di saluran YouTube dan laman web NBC News, saluran TV Amerika Syarikat (AS), di sini.

Bermula dari saat ke-20, wartawan Cal Perry bercakap tentang hal yang sama seperti yang boleh didengar dalam video yang mengelirukan: "Lihat, anda tahu kami akan menggunakan 'sekurang-kurangnya'. Sekurang-kurang 59 orang yang terbunuh, sekurang-kurang 149 orang yang cedera, angka itu akan meningkat tidak ada persoalan tentang itu, anda mempunyai pertempuran sengit di beberapa lokasi di seluruh negara itu.

"Anda menyebut Chernobyl. Tentera Rusia dengan cepatnya menguasai kawasan itu, kami faham mereka masih mengawal tempat itu. Satu perkara lain yang berlaku hari ini yang sangat penting ialah pasukan payung terjun Rusia masuk ke lapangan terbang 15 batu di luar Kyiv dan untuk suatu tempoh masa yang singkat petang tadi mereka..."

Tajuk video dalam siaran yang mengelirukan juga menggunakan tajuk yang sama dari video asal NBC News.

AFP sebelum ini pernah membongkar di sini hantaran tidak sahih yang mendakwa video yang sama menunjukkan korban kematian Covid-19 palsu.

Konflik Ukraine