Ini video kesesakan lalu lintas sebelum Ramadan 2022 di Indonesia, bukan semasa cuti Aidilfitri di Malaysia

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Selasa 17/05/2022 pukul 12:51
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
   

Satu video telah ditonton puluhan ribu kali selepas dikongsikan dalam pelbagai catatan di Facebook dan Twitter bersama-sama dakwaan bahawa ia menunjukkan kesesakan lalu lintas besar-besaran di Malaysia semasa cuti Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2022. Dakwaan itu tidak benar: video itu dirakam di Indonesia pada Mac 2022, sebelum bulan puasa Ramadan. 

Video berdurasi 30 saat itu menunjukkan kesesakan lalu lintas yang panjang di lebuh raya dan dimuat naikkan di Facebook di sini pada 30 April 2022.

Keterangan itu berbunyi: "TRAFIK LEBUHRAYA UTARA SELATAN SESAK". 

Image
Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 17 Mei 2022

Keterangan itu juga mengandungi pautan ke sebuah artikel Berita Harian tentang kesesakan lalu lintas di sejumlah lebuh raya utama menjelang Hari Raya Aidilfitri. 

Video itu tersebar ketika orang ramai balik ke kampung halaman mereka sempena Hari Raya, yang jatuh pada 2 Mei 2022

PLUS Malaysia berkata pihaknya menjangkakan lebih daripada dua juta kenderaan akan melakukan perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan semasa cuti perayaan Aidilfitri.

Video itu telah ditonton lebih 185,000 kali selepas ia dikongsi dengan dakwaan serupa di Facebook di sini dan di Twitter di sini.

Ia juga beredar dengan dakwaan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Cina

Dakwaan itu tidak benar.

Wanita di sebalik kamera boleh didengari bercakap dalam bahasa Indonesia.

Diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia, dia berkata: "Ia lebih teruk kerana sekarang waktu petang... mashallah... kesian orang yang terperangkap dalam kesesakan trafik, kawan-kawan... sangat teruk, luar biasa. .... bolehkah hujung minggu seram macam ini?"

Gabungan carian imej terbalik dan carian kata kunci mendapati video tersebut telah dikongsi berulang kali di sini, sini dan sini oleh @princess.all.shop, akaun TikTok dari Indonesia, antara 24 April dan 26 April 2022. 

Dalam catatan itu, dia berkata bahawa dia mengambil video itu dan itu adalah suaranya dalam video itu.

Dia juga berkata rakaman itu diambil semasa kesesakan lalu lintas di jalan tol Sentul, sebuah bandar di daerah Bogor, yang berhampiran ibu bandar Jakarta, pada 27 Mac 2022.

Pengguna yang sama turut memuat naik video ini pada 25 April 2022, untuk menunjukkan jalan tol yang sama yang dilihat dari kediamannya pada waktu siang dan menggesa orang ramai supaya tidak menggunakan videonya untuk menyebarkan penipuan. 

Teks yang ditindih di atas video itu mengatakan bahawa rakaman asal "diambil pada minggu terakhir sebelum Ramadan".

Di Indonesia, bulan Ramadan bermula pada 3 April 2022 -- sama seperti di Malaysia.

Adlina Alin, ahli perniagaan dan pemilik akaun TikTok itu, memberitahu AFP pada 12 Mei 2022 bahawa video itu pernah dimuat naikkan di Instagram Story dan WhatsApp Story tetapi kemudiannya "diambil orang".

AFP mendapati bahawa bangunan yang diperhatikan dalam beberapa saat pertama video sepadan dengan bangunan dalam imej Sentul di Google Maps di sini.  

Berikut perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan mengelirukan (gambar atas) dan imej Google Maps (gambar bawah): 

Image
Perbandingan tangkapan skrin video di catatan mengelirukan (gambar atas) dan imej Google Maps (gambar bawah)

Jalan tol di Sentul adalah sebahagian daripada tol Jagorawi, yang menghubungkan Jakarta dengan daerah yang berhampiran, Bogor dan Ciawi.

Kesesakan lalu lintas besar-besaran di tol Jagorawi pada 27 Mac 2022 disebabkan oleh para penduduk Jakarta yang pulang dari perjalanan hujung minggu, lapor media Indonesia di sini dan sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami