Catatan berkongsi dakwaan palsu bahawa foto NASA 'membuktikan bulan pernah terbelah dua'
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Selasa 17/05/2022 pukul 09:09
- Durasi bacaan 5 minit
- Oleh: AFP Indonesia, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Sebuah foto dikongsi di sini di satu laman Facebook yang memiliki lebih dari 977,000 pengikut pada 11 Jun 2013.
Foto itu memperlihatkan garis panjang yang mirip dengan sebuah jalan sempit di atas permukaan bulan.
Kapsyen foto berkenaan bertulis: "SubhanaAllah ! (5 Gambar) Bukti Kebenaran Bulan Pernah Terbelah Dua
"Pihak NASA mengesahkan terdapat kesan jalur di bahagian keliling permukaan bumi. NASA telah menghantar 3 angkasawannya ke bulan untuk kajian yang lebih terperinci. Setelah mereka membuat kajian, bahawa bulan pernah terbelah dua. Setelah hasil kajian ini didedahkan kepada umum, alangkah terkejutnya mereka, apabila diberitahu bahawa kisah bulan terbelah dua ini telah diceritakan oleh Al-Quran kira-kira 1400 tahun yang lalu."
Foto yang sama turut dikongsi dengan dakwaan yang serupa di Facebook di sini, di sini dan di sini.
Foto tersebut juga beredar dengan dakwaan dalam bahasa Indonesia di sini.
Foto tersebut dikongsi dalam satu kolaj yang berkongsi dakwaan yang sama dalam catatan bahasa Inggeris di sini pada 5 Ogos 2019.
Tajuk kolaj foto yang dimuat naik itu bertulis: "KEAJAIBAN NABI MUHAMMAD SAW 'Perpecahan Bulan'".
Diterjemahkan ke bahasa Malaysia, status Facebook itu berbunyi: "Al-Quran berkata...waktu sudah dekat, dan bulan terbelah [dua]....
"Keajaiban itu juga telah dibuktikan oleh NASA.. ".
"Surah 54" pada status Facebook itu merujuk kepada Surah Qamar dalam al-Quran.
Dua imej kolaj itu menunjukkan tiga angkasawan Amerika: Neil Armstrong, Michael Collins dan Edwin "Buzz" Aldrin Jr., kru Apollo 11, misi pertama mendaratkan manusia di bulan pada Julai 1969.
Foto ketiga menunjukkan dua imej bulan separuh bulatan; dan foto terakhir menunjukkan bulan penuh atau purnama.
Walau bagaimanapun, tuntutan dalam semua catatan dimuat naik adalah tidak benar.
Carian imej terbalik di Google menemui sumber asal foto itu di laman web Agensi Angkasa Amerika Syarikat (NASA), yang menyiarkan imej itu di laman webnya pada tahun 2002.
Berikut tangkapan skrin foto asal yang dimuat naik oleh NASA:
Menurut maklumat di laman web NASA, foto bulan yang diambil oleh kru Apollo 10 pada Mei 1969 menunjukkan Rima Ariadaeus -- salah satu rille atau parit di permukaan bulan.
Seperti yang dijelaskan oleh NASA di sini, "rille seperti Rima Ariadaeus dipercayai sesar yang terbentuk akibat aktiviti tektonik. Sesetengah saintis percaya rille yang berbentuk linear mungkin berlaku selepas kejadian besar, manakala yang lain percaya rille terbentuk akibat daripada sistem parit dalam yang berlaku semasa bulan masih aktif secara gunung berapi.
"Para saintis bersetuju bahawa Rima Ariadaeus, yang panjangnya adalah kira-kira 300 km (186.4 batu), adalah sistem sesar seperti yang biasa ditemui di Bumi."
Laman web NASA yang sama turut memuat naik foto Rima Ariadaeus yang lain.
Berikut tangkapan skrin foto Rima Riadaeus dari perspektif lain yang ditangkap oleh NASA:
'Tidak ada bukti ilmiah'
NASA pernah menjawab tuntutan tersebut di sini ketika seorang pengguna internet bertanya pada tahun 2010.
"Saat ini tidak ada bukti ilmiah yang menunjukkan bahawa bulan pernah terbelah menjadi dua (atau lebih) bahagian kemudian menyambung kembali pada satu ketika di masa lampau," tulis Brad Bailey, seorang saintis di Institut Ilmu Bulan NASA, pada masa itu.
"Garisan 'belahan' yang dilihat dalam imej di bawah [dalam catatan yang mengelirukan] memang wujud di bulan, tetapi ia pastinya tidak memanjang di sepanjang bulatan bulan," kata Profesor Paul Groot, ahli astronomi di Universiti Radboud di Belanda.
"Garisan itu mungkin berkaitan dengan kesan yang menyebabkan kawah Tycho terbentuk, iaitu di sebelah kanan bawah garisan apabila dilihat dalam orientasi imej," kata Groot kepada AFP melalui e-mel.
Imej bulan yang lain
Gambar yang menunjukkan dua bulan berbentuk setengah lingkaran di catatan berbahasa Inggeris itu adalah hasil penggabungan dua foto bulan.
Foto aslinya boleh ditemui di laman web agensi foto Getty Images.
Foto pertama, foto bulan di sebelah kiri, diberi kapsyen: "Bulan Suku Terakhir" dan menunjukkan bulan dalam fasa suku terakhirnya.
Foto kedua bertajuk: "Sudut Rendah Bulan Terhadap Langit Cerah Pada Malam Gambar Fail".
Berikut perbandingan tangkapan skrin foto dalam siaran yang mengelirukan (tengah) dan foto asal (kiri dan kanan):
Foto terakhir yang menunjukkan bulan purnama dalam catatan bahasa Inggeris yang mengelirukan boleh dilihat di laman web Universiti Tufts, di Massachusetts.
Hak cipta foto adalah milik Lick Observatory, sebahagian daripada Universiti California.
Berikut ialah perbandingan tangkapan skrin foto dalam siaran yang mengelirukan (kiri) dan yang asal (kanan):
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami