Botol dan tin Coca-Cola yang dijual di Malaysia mengandungi cap halal. ( AFP / Syafique Shuib)

Catatan palsu yang mendakwa 'Coca-Cola mengandungi alkohol' tersebar di Malaysia

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Beberapa catatan Facebook yang dikongsi berkali-kali mendakwa Coca-Cola itu haram kerana ia mengandungi alkohol. Tetapi baik Coca-Cola mahupun Jakim telah secara berasingan mengatakan ini adalah palsu. Siaran itu berkongsi tangkapan skrin artikel akhbar yang dikatakan menunjukkan resipi lama minuman ringan itu yang tidak dapat pengesahan Coca-Cola.

Siaran itu telah dikongsi di sini di Facebook pada 6 Mei 2022.

Kapsyen catatan itu bertulis: "Alkohol... haram tu!!"

Tangkapan skrin siaran mengelirukan, ditangkap pada 26 Mei 2022

Siaran itu mengandungi tangkapan skrin yang dikatakan sebuah laporan berita.

Tajuk berbahasa Inggeris itu bertulis: "Selepas 125 tahun, formula rahsia Coke telah dikeluarkan."

Artikel itu dikreditkan kepada Times News Network, sebuah portal berita yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

AFP belum dapat mengesahkan jika artikel itu benar diterbitkan.

Artikel itu mendakwa bahawa resipi lama untuk Coca-Cola yang mengandungi alkohol telah didedahkan oleh podcast popular This American Life, berikutan penemuan laporan berusia 40 tahun oleh Atlanta Journal-Constitution, surat khabar di Amerika Syarikat.

Resipi itu dikatakan tidak disahkan oleh Coca-Cola, the Guardian, surat akhbar di UK, melaporkan pada 2011.

Tangkapan skrin akhbar itu dikongsi bersama tuntutan serupa di Facebook di sini, di sini dan di sini.

Tetapi dakwaan itu adalah palsu, menurut Coca-Cola dan pihak berkuasa Malaysia.

Minuman tanpa alkohol

Jurucakap Coca-Cola Malaysia memberitahu AFP bahawa walaupun resipi Coca-Cola kekal sebagai "rahsia yang dijaga rapi", alkohol bukanlah salah satu ramuan.

"Alkohol bukan bahan tambahan Coca-Cola dan tiada proses penapaian berlaku apabila Coca-Cola dibuat.

"Ramuan dan proses pembuatan kami dikawal ketat, dan pihak berkuasa di seluruh dunia secara konsisten mengiktiraf Coca Cola sebagai minuman tanpa alkohol," kata jurucakap itu.

Di Malaysia, pensijilan halal boleh diperoleh daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Di bawah ialah tangkapan skrin daripada Portal Rasmi Halal Malaysia, yang menunjukkan bahawa Coca-Cola Bottlers (Malaysia) Sdn Bhd mempunyai pensijilan halal yang sah:

Tangkapan skrin Portal Rasmi Halal Malaysia menunjukkan Coca-Cola Bottlers (Malaysia) Sdn Bhd mempunyai pensijilan halal yang sah

Laman web yang sama juga menunjukkan produk-produk keluaran Coca-Cola di Malaysia yang telah mendapat pensijilan halal.

Di bawah ialah tangkapan skrin empat belas jenis minuman Coca-Cola dan Coke Zero yang disahkan halal:

Tangkapan skrin minuman Coca-Cola dan Coke Zero yang mempunyai pensijilan halal yang sah di Malaysia

Coca-Cola mengeluarkan 86 minuman di Malaysia -- termasuk Sprite dan Minute Maid -- yang juga telah disahkan halal.

Di bawah ialah gambar AFP yang menunjukkan logo halal yang digunakan di Malaysia:

Logo halal yang digunakan di Malaysia. ( AFP / Tengku Bahar)