Pakar kesihatan telah memberi amaran bahawa diet yang mengandungi banyak pisang yang terlalu masak mungkin tidak sihat ( AFP / Marcos Pin)

Catatan mengelirukan mendakwa 'pisang terlalu masak mengandungi bahan melawan kanser'

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Catatan media sosial yang dikongsikan secara meluas mendakwa makan pisang yang terlalu matang boleh mencegah kanser kerana ia mengandungi "sejenis bahan yang meningkatkan sistem imun". Catatan tersebut nampaknya memetik kajian oleh penyelidik Jepun, tetapi dakwaan itu mengelirukan. Kajian itu tidak menyatakan buah itu mengandungi protein yang meningkatkan imun, dan juga tidak menggalakkan pemakanan pisang yang terlalu masak. Para pakar memberitahu AFP bahawa bahan itu hanya dijumpai dalam mamalia dan bukan tumbuh-tumbuhan.

Dakwaan itu dikongsikan dalam catatan Facebook ini pada 12 Mac 2022, beserta dengan foto pisang matang yang bertompok-tompok hitam. 

Keterangannya menyatakan: "KENAPA ADA BINTIK HITAM PADA PISANG?

"Bintik hitam pada pisang ranum menghasilkan bahan semulajadi dipanggil 'Tumor Necrosis Factor' (TNF) yang membantu memusnahkan tumor barah. Ketika pisang sudah ranum, tahap antioksida meningkat dan membantu menguatkan sistem ketahanan tubuh dan meningkatkan sel darah putih.

"Kandungan TNF itu yang menyebabkan bintik2 hitam pada kulit pisang. Semakin byk bintik hitam maka semakin byk pula kandungan imun TNF yang terkandung dalam pisang.

"Semoga bermanfaat."  

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 30 Mei 2022

"Tumor Necrosis Factor" (TNF) ialah bahan yang dihasilkan oleh sel darah putih mamalia; ia menyebabkan keradangan apabila sistem imun badan dicetuskan oleh jangkitan, menurut National Cancer Institute di Amerika Syarikat. 

Catatan tentang TNF dalam pisang telah tersebar di Facebook sejak sekurang-kurangnya 2013, seperti di sini, dan beberapa tahun kebelakangan ini pada tahun 2021 di sini dan Februari 2022 di sini

Tuntutan serupa juga telah dikongsi dalam bahasa Inggeris di sini serta bahasa Thai di sini.

Tetapi dakwaan itu mengelirukan.

Kajian Jepun

Carian kata kunci mendapati kajian ini, yang diterbitkan dalam jurnal Food Science and Technology Research pada 4 Februari 2009, yang mencadangkan bahawa pisang mempunyai potensi untuk "mencegah penyakit gaya hidup dan karsinogenesis". 

Dalam kajian penelitian rakan sebaya itu, penyelidik Jepun menguji kesan-kesan jus pisang yang disuntik ke dalam sekumpulan tikus terhadap keupayaan mereka untuk menghasilkan tindak balas imun, yang termasuk penghasilan TNF. Mereka mendapati bahawa satu strain pisang menyebabkan tindak balas yang lebih tinggi apabila ia semakin matang. 

Tetapi kajian itu tidak mencadangkan manusia perlu meningkatkan pemakanan pisang yang terlalu matang, mahupun bahawa buah itu boleh mencegah penyakit seperti influenza atau kanser. 

Dan ia tidak menyatakan bahawa pisang mengandungi TNF.

Seorang pensyarah biologi di Universiti Chulalongkorn, di Thailand, memberitahu AFP bahawa TNF tidak ditemui dalam tumbuh-tumbuhan. 

"TNF ialah bahan yang merupakan sebahagian daripada sistem imun mamalia. Ia tidak wujud dalam pisang dan tumbuh-tumbuhan lain," kata Dr Jessada Denduangboripant.

"Ini adalah satu penipuan lama yang tidak benar," katanya kepada AFP pada 11 Mei 2022.

Kandungan gula yang tinggi

Para pakar kesihatan telah memberi amaran bahawa diet yang mengandungi banyak pisang yang terlalu masak mungkin tidak sihat.

"Pisang yang terlalu masak mengandungi kanji dan kandungan gula yang tinggi, yang boleh menyebabkan obesiti," kata Bang-earn Thongmon, pakar pemakanan di Biro Pemakanan, di bawah Kementerian Kesihatan Thailand, kepada AFP pada 10 Mei 2022.

Bang-earn berkata tiada bukti bahawa makan pisang dapat menghindarkan penyakit.

Tetapi beliau menggalakkan orang ramai untuk makan "tidak lebih daripada dua pisang sehari " -- sebaik-baiknya apabila kulit buah telah bertukar menjadi kuning tetapi masih mempunyai sedikit warna hijau.

Jessada juga berkata bahawa "walaupun pisang adalah buah yang berkhasiat, yang terlalu masak mempunyai kandungan gula yang sangat tinggi".

AFP telah membongkarkan maklumat salah lain tentang faedah-faedah kesihatan pisang di sini dan sini.