Video dan imej lama dikongsi sebagai 'banjir pada Mei 2022' di Kuala Lumpur

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Selasa 31/05/2022 pukul 12:06
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Sebuah video dan gambar banjir di Kuala Lumpur telah tersebar dalam pelbagai catatan di Facebook, TikTok dan Twitter bersama dakwaan bahawa kedua-duanya diambil apabila jalan-jalan di sekitar ibu negara dilanda banjir kilat pada 25 Mei 2022. Dakwaan ini adalah palsu: video dan foto itu dirakam sebelum bulan Mei 2022.

Video berdurasi 16 saat itu dikongsi di sini di Facebook pada 25 Mei 2022 oleh Sinar Harian.

Rakaman yang menunjukkan kereta terkandas di tempat letak kereta yang ditenggelami air dan lobi bangunan yang juga ditenggelami air telah ditonton lebih 53,000 kali.

Kapsyen itu bertulis: "Banjir kilat di Wisma UOA. Kejadian banjir kilat dipercayai berlaku di Wisma UOA, Kuala Lumpur, hari ini."

Wisma UOA terletak di Kuala Lumpur.

Image
Tangkapan skrin siaran Facebook mengelirukan, diambil pada 30 Mei 2022

Pada 25 Mei 2022, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyiarkan senarai jalan raya di Kuala Lumpur yang terjejas akibat banjir, berikutan amaran ribut petir yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia hari sebelumnya di sini dan di sini.

Video itu telah ditonton lebih daripada 975,000 kali setelah dikongsi bersama tuntutan serupa di akaun TikTok Sinar Harian di sini .

Ia turut dikongsi bersama dakwaan serupa di Facebook di sini, di sini dan di sini.

Sebuah gambar yang menunjukkan puluhan kereta ditenggelami air banjir dikongsi di Twitter di sini pada 25 Mei 2022.

Ciapan itu menyatakan: "KL tiba2 banjir. Mohon #DBKL #dbkl2u cedok air dari / KL masuk Sepang sekian".

Image
Tangkapan skrin catatan Twitter yang mengelirukan, diambil pada 30 Mei 2022

Foto itu telah dikongsi lebih daripada 370 kali selepas ia muncul bersama tuntutan serupa di Facebook di sini.

Walau bagaimanapun, kedua-dua video dan foto itu telah dikongsi dalam konteks palsu.

Video banjir

Gabungan carian imej terbalik dan kata kunci mendapati bahawa video yang sama telah dikongsi di TikTok di sini pada 7 Mac 2022.

Kapsyen catatan itu berbunyi: "WISMA UOA KUALA LUMPUR".

Adegan yang sama juga muncul dalam video berbeza yang menunjukkan banjir di Wisma UOA dan Kuala Lumpur City Centre (KLCC), seperti di sini, di sini dan di sini -- semuanya dimuat naikkan pada 7 Mac 2022.

The Star dan Malay Mail juga melaporkan mengenai banjir kilat pada hari yang sama.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran yang mengelirukan (kiri) dan video asli di TikTok (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran yang mengelirukan (kiri) dan video asli di TikTok (kanan)

Gambar tempat letak kereta

Hasil carian imej terbalik mendapati bahawa gambar kereta yang terbenam banjir telah tersebar dalam talian sejak sekurang-kurangnya tahun 2014.

Ia diterbitkan oleh Hype MY di sini pada 2 Oktober 2014.

Diterjemahkan dari bahasa Inggeris, tajuk laporan itu berbunyi: "Hujan Lebat 90 Minit Menyebabkan Malapetaka Di KL."

Foto itu turut diterbitkan bersama dengan berita tentang banjir di Kuala pada hari yang sama di The Star di sini.

Diterjemahkan dari bahasa Inggeris, keterangan foto itu berbunyi: "Terkandas: Pemandangan udara kereta yang ditenggelami air di tempat letak kereta di Wisma UOA, Jalan Pinang."

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin foto dalam siaran yang mengelirukan (kiri) dan foto di artikel dari tahun 2014 (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin foto dalam siaran yang mengelirukan (kiri) dan artikel dari tahun 2014 (kanan)

AFP meletakkan geolokasi gambar dan video itu yang berhampiran Wisma UOA dan KLCC di sini, seperti yang ditunjukkan oleh Google Street View di bawah:

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami