Perkataan "sugar" (gula) ditulis dalam butiran gula di Paris. ( AFP / Joel Saget)

Diet tanpa gula, pengambilan air lemon panas dan minyak kelapa bukanlah penawar kanser

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Pelbagai catatan Facebook yang telah dikongsikan puluhan ribu kali mendakwa bahawa pengamalan diet tanpa gula akan menyebabkan sel-sel kanser mati secara semula jadi. Catatan itu turut mendakwa air lemon panas dan minyak kelapa menyembuhkan kanser. Dakwaan-dakwaan itu tidak benar. Tetapi semua dakwaan itu tidak benar. Para pakar kesihatan mengatakan bahawa makan diet tanpa gula, minum air lemon panas dan mengambil beberapa sudu minyak kelapa bukanlah penawar kanser.

Catatan itu diterbitkan di Facebook di sini pada 8 Jun 2022.

Sebahagian kandungan catatan yang panjang tersebut menyatakan:

"(1). Langkah pertama ialah menghentikan semua pengambilan gula, tanpa gula di dalam badan anda, sel kanser akan mati dengan kematian semulajadi.

"(2). Langkah kedua adalah untuk menggabungkan buah lemon dengan secawan air panas dan minum selama 1-3 bulan sebelum makanan dan kanser akan hilang, kata penyelidikan oleh Maryland College of Medicine, 1000 kali lebih baik daripada kemoterapi.

"(3). Langkah ketiga adalah minum 3 sudu minyak kelapa organik, pagi dan malam dan kanser akan hilang, anda boleh memilih salah satu daripada dua terapi ini selepas mengelakkan gula."

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 14 Jun 2022

Dakwaan itu telah dikongsikan lebih daripada 98,000 kali selepas dimuat naikkan di sinisini, sini dan sini.

Dakwaan yang serupa tentang kebolehan diet tanpa gula untuk membunuh kanser, serta faedah minum air panas dengan lemon dan minyak kelapa bagi menghilangkan kanser, juga beredar dalam bahasa Thai dan dalam bahasa Inggeris, dari Amerika Syarikat (AS) ke Kenya.

Diet tanpa gula

Pakar kesihatan memberitahu AFP bahawa dakwaan yang diet tanpa gula menyebabkan "sel kanser akan mati (secara) semula jadi" adalah palsu. Kajian saintifik juga menunjukkan bahawa sel-sel yang normal dan sihat memerlukan gula untuk tenaga.

Dr Punlert Tanyakul, pakar onkologi di Hospital Phyathai di Bangkok, memberi amaran terhadap diet tanpa gula.

"Sudah tentu tidak baik untuk mengurangkan gula daripada diet anda kerana gula diperlukan untuk setiap badan manusia. Jika anda tidak mempunyai sebarang gula dalam badan anda, sel-sel badan tidak akan dapat bertahan dan tidak akan dapat berfungsi," kata Dr Punlert kepada AFP. 

Tetapi dia menambah bahawa "mengambil terlalu banyak gula boleh meningkatkan risiko kanser".

Pengurangan gula daripada diet seseorang boleh menyebabkannya berisiko mengalami kekurangan nutrisi, mengikut garis panduan ini dari laman web kesihatan dari kerajaan Australia.

Artikel ini, yang diterbitkan oleh Cancer Research UK, badan amal kanser yang berpusat di United Kingdom, menyatakan tidak ada bukti bahawa diet tanpa gula boleh mengurangkan risiko mendapat kanser atau meningkatkan peluang untuk terus hidup selepas diberi diagnosis.

"Di sinilah di mana mitos bahawa gula menyebabkan kanser dilahirkan: jika sel-sel kanser memerlukan banyak glukosa, maka memotong gula daripada diet kita mesti membantu menghentikan pertumbuhan kanser, dan bahkan boleh menghentikannya berkembang terlebih dahulu. Malangnya, ia tidak semudah itu. Semua sel yang sihat kita juga memerlukan glukosa, dan tidak ada cara untuk memberitahu badan kita untuk membiarkan sel-sel yang sihat menggunakan glukosa yang mereka perlukan, tetapi tidak memberikannya kepada sel-sel kanser," tulis artikel itu.

"Tiada bukti bahawa mengikuti diet 'tanpa gula' mengurangkan risiko mendapat kanser, atau meningkatkan peluang untuk terus hidup jika anda diberi diagnosis."

Organisasi yang sama juga menerbitkan video ini di YouTube yang bertajuk: "Adakah Gula Memberi Makanan kepada Kanser", di mana ia menjawab bahawa “mengeluarkan gula yang diproses tidak akan membunuh sel kanser".

Air lemon

Pakar kesihatan menolak dakwaan bahawa minum air lemon panas boleh menyembuhkan kanser.

"Tidak ada sesiapa yang boleh mengatakan air lemon panas atau makanan tertentu yang lain boleh menyembuhkan kanser dan dakwaan-dakwaan sebegitu tidak mempunyai asas saintifik. Terdapat pelbagai jenis kanser dan kebanyakan daripadanya mempunyai cara-cara rawatan mereka tersendiri tetapi minum air lemon panas pasti bukan antaranya," Prof Dr Golam Mohiuddin Faruque, pakar kanser dan pengarah projek di Hospital Persatuan Kanser Bangladesh, berkata kepada AFP.

"Buah-buahan sitrus termasuk lemon kadangkala boleh memberi impak positif dalam mencegah sesetengah kanser tertentu tetapi itu bukannya rawatan."

Profesor Nicolas Boissel, pakar kanser darah di hospital Saint-Louis di Paris, memberitahu AFP: "Baik air panas, mahupun lemon, mahupun diet tanpa gula telah membuktikan tindakan anti-kanser. Derivatif lemon (seperti banyak tumbuh-tumbuhan lain dalam hal yang sama) ada menunjukkan aktiviti anti-kanser. Ini mungkin menjelaskan kekeliruan tersebut."

Minyak kelapa

Catatan yang mengelirukan itu juga mendakwa faedah mengambil minyak kelapa organik yang boleh menghilangkan kanser.

Terdapat beberapa bukti bahawa asid laurik, yang terdapat dalam minyak kelapa, boleh menghalang pertumbuhan sel kanser, menurut kajian ini yang diterbitkan oleh Perpustakaan Perubatan Negara di AS pada 2017.

Tetapi kajian itu memberi amaran bahawa "kajian tambahan adalah wajar untuk menguatkan lagi kegunaan (asid laurik) dalam pendekatan terapeutik yang lebih komprehensif."

Pakar onkologi Dr Punlert memberitahu AFP bahawa dakwaan bahawa mengambil beberapa sudu minyak kelapa organik akan menyebabkan kanser hilang adalah tidak betul. 

"Tuntutan itu palsu. Kami tidak melihat sebarang bukti atau maklumat mengenai rawatan kanser yang berkaitan dengan minyak kelapa dalam tubuh manusia."

Sumber penyelidikan yang dipetik

Menerusi carian kata kunci yang lain, AFP mendapati dakwaan mengelirukan menyebutkan nama institusi akademik yang tidak lagi wujud.

Maryland College of Medicine, yang didirikan pada 1807, telah berubah nama menjadi University of Maryland, Baltimore pada 1812.