Seorang jururawat memegang picagari dos vaksin AstraZeneca COVID-19 di pusat vaksinasi, di Guadalajara, negeri Jalisco, Mexico, pada 6 April 2022. ( AFP / ULISES RUIZ)

Catatan mengelirukan mengaitkan suntikan vaksin Covid-19 AstraZeneca kepada kes cacar monyet

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Catatan media sosial yang dikongsi di seluruh dunia mendakwa bahawa kes cacar monyet di luar negara baru-baru ini yang endemik memiliki kaitan dengan vaksin Covid-19 AstraZeneca yang menggunakan vektor adenovirus cimpanzi. Dakwaan ini mengelirukan. Pakar kesihatan memberitahu AFP bahawa virus yang menyebabkan cacar monyet berbeza daripada vektor adenovirus AstraZeneca, yang tidak menyebabkan penyakit pada manusia. Pakar juga mengatakan adenovirus cimpanzi yang digunakan vaksin AstraZeneca telah dilemahkan dan telah diubah supaya ia tidak menjangkiti manusia maupun bereplikasi.

Catatan itu dikongsi di Facebook di sini pada 7 June 2022.

Sebahagian kandungan catatan yang panjang tersebut menyatakan: "Begitu juga dengan cacar monyet yang mula dikesan di UK, kononnya berasal dari benua Afrika, sedangkan negara UK antara yang pertama menerima vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca...

"Malangnya, terdapat sekumpulan manusia yang mengaku sebagai saintis atau virologis dengan mudah mengambil bakteria dari monyet untuk dijadikan vaksin kepada penyakit dari monyet itu sendiri...

"Natijahnya, muncul pula berbagai penyakit seperti cacar monyet, setelah vaksin menurunkan kadar imunisasi manusia, membuatkan manusia mudah terkena penyakit dari vaksin itu sendiri..."

Tangkapan skrin siaran mengelirukan, diambil pada 18 Jun 2022

Vaksin Covid-19 yang dibangunkan oleh AstraZeneca dan Universiti Oxford menggunakan vektor vaksin adenovirus cimpanzi sebagai kenderaan untuk mengangkut arahan genetik kepada badan untuk mencetuskan penghasilan spike protein yang serupa dengan virus SARS-CoV-2.

Ini mencetuskan tindak balas imun dalam badan supaya ia bersedia untuk melawan virus sekiranya berlaku jangkitan sebenar.

Lebih seribu kes positif cacar monyet telah dilaporkan di 29 negara di mana penyakit itu bukan endemik, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 8 Jun 2022.

Cacar monyet, yang merupakan penyakit yang kurang teruk daripada cacar, adalah penyakit endemik di 11 negara di Afrika Barat dan Tengah.

Ia merebak melalui kontak rapat dengan orang atau haiwan yang dijangkiti, atau dengan benda yang telah terkontaminasi dengan virus.

Gejala awal termasuk demam panas, diikuti dengan munculnya ruam seperti cacar air pada tangan dan muka orang yang dijangkiti.

Dakwaan serupa turut dikongsi di Facebook di sini dan di Twitter di sini.

Dakwaan yang mengaitkan kes cacar monyet dengan vaksin Covid-19 AstraZeneca diedarkan secara global dalam pelbagai bahasa, seperti bahasa Inggeris, bahasa Korea, bahasa Indonesia, bahasa Jerman, bahasa Perancis, bahasa Sepanyol dan bahasa Portugis.

Bagaimanapun, pakar kesihatan berkata siaran itu mengelirukan.

Virus 'sangat berbeza'

"Virus cacar monyet dan adenovirus cimpanzi yang digunakan dalam vaksin AstraZeneca adalah virus yang sama sekali berbeza, dan tidak boleh dikelirukan antara satu sama lain," Profesor Yoo Jin-hong, ahli epidemiologi di Universiti Katolik Korea, memberitahu AFP pada 26 Mei 2022.

Beliau berkata dakwaan yang mengelirukan itu "nampaknya berpunca daripada idea bahawa cimpanzi secara umum dirujuk sebagai monyet, tetapi ini adalah khabar angin yang sangat jahil tanpa asas sebenarnya".

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, virus cacar monyet tergolong dalam kumpulan yang dipanggil “Orthopoxvirus” yang juga termasuk virus yang menyebabkan cacar dan cacar lembu.

Sementara itu, adenovirus menyebabkan pelbagai jenis penyakit daripada selesema biasa atau gejala seperti selesema kepada keradangan perut, kata agensi itu.

Vaksin yang selamat

Vektor adenovirus dalam vaksin Covid-19 AstraZeneca tidak menyebabkan penyakit pada manusia, jelas Yoo.

"Adenovirus cimpanzi yang digunakan dalam vaksin telah diubah suai untuk mengelakkan virus itu daripada mereplikasi, dan oleh itu tidak boleh membahayakan manusia," katanya.

Vaksin itu "tidak boleh menjana virus baharu dalam manusia dan menyebabkan sesuatu seperti cacar monyet," Profesor Eom Jung-shik, pakar penyakit berjangkit di Gachon University Gil Medical Center, di Korea Selatan, berkata kepada AFP pada 25 Mei 2022.

Vaksin Covid-19 kerap disasarkan oleh maklumat yang salah, seperti dakwaan bahawa vaksin AstraZeneca mengandungi sel dari janin yang digugurkan, yang dinafikan AFP di sini.

Pihak berkuasa kesihatan menunjukkan bahawa berbilion-bilion orang di seluruh dunia telah selamat divaksinasi terhadap penyakit Covid-19.

COVID-19 VAKSIN Cacar monyet