Catatan sebar dakwaan palsu bahawa 'Bill Gates telah menyediakan berbilion vaksin cacar monyet'

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Rabu 15/06/2022 pukul 09:05
  • Dikemas kini pada hari Rabu 15/06/2022 pukul 09:07
  • Durasi bacaan 4 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Sebuah video telah ditonton belasan ribu kali di Facebook dan TikTok bersama dakwaan bahawa jutawan Bill Gates telah "siap sedia berbilion dos vaksin cacar monyet" selepas lebih dari seribu jangkitan muncul di pelbagai negara. Bagaimanapun video itu telah dikongsi dalam konteks palsu. Video itu diambil semasa lawatan Gates ke kemudahan penyimpanan vaksin Covid-19 di Abu Dhabi pada Mei 2022. Badan amalnya Yayasan Bill & Melinda Gates berkata kepada AFP bahawa dakwaan itu tidak benar.

Video yang berdurasi 40 saat itu dikongsi di Facebook di sini pada 28 Mei 2022.

Video menunjukkan dermawan terkemuka Amerika Syarikat Bill Gates berjalan di gudang besar dengan rak yang disusun dengan peti, serta imej orang menerima dos vaksin.

Kapsyen catatan berkenaan berbunyi: "Mangkipork baru nk viral sedonia tapi B.G awal lg dah standby siapkan stok badsin untuk korang" -- merujuk kepada cacar monyet (monkeypox) dan huruf pertama nama dermawan terkemuka itu.

Lanjutnya: "Jadi jgn panik la ye.. korang standby tadah bahu je tau
Hok ni kompom takde fatwa sesat gaiss. Jangan ghisau."

Catatan itu mencadangkan bahawa pihak berkuasa Malaysia akan mengeluarkan fatwa dan mewajibkan vaksin cacar monyet seperti yang dilakukan untuk vaksin Covid-19 pada Februari 2021.

Teks pelekat, yang menggunakan campuran bahasa Inggeris dan Malaysia, bertulis: "Jgn risau B.G dah stand by brbillion dose vax monkeyfox..."

Image
Tangkapan skrin siaran mengelirukan, diambil pada 7 Jun 2022

Klip itu juga disertakan tanda pagar #StopTheTreaty -- yang merujuk kepada dakwaan bahawa rencana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk "Perjanjian Pandemik Global" akan berakibat anggota-anggota WHO menyerahkan kedaulatan keputusan penjagaan kesihatan tempatan kepada organisasi PBB itu saat perhimpunan tahunan pada hujung Mei 2022.

Dakwaan itu telah disangkal oleh AFP di sini.

WHO mencatatkan lebih 1,000 kes cacar monyet di 29 negara di mana virus itu bukan endemik, lapor AFP pada 8 Jun 2022.

Malaysia masih belum mengesahkan sebarang kes setakat 14 Jun 2022, tetapi pihak berkuasa kesihatan berkata pelancong dari negara yang mempunyai wabak cacar monyet dikehendaki memantau kesihatan mereka selama 21 hari.

Video itu telah ditonton 18,000 kali setelah ia dikongsi bersama tuntutan serupa di Facebook di sini, di sini dan di sini, dan di TikTok di sini.

Walau bagaimanapun, video itu dikongsi dalam konteks palsu.

Kemudahan penyimpanan vaksin Covid-19

Yayasan Bill & Melinda Gates memberitahu AFP: "Tuntutan ini adalah palsu".

Carian imej terbalik dan kata kunci mendapati versi video yang lebih panjang telah disiarkan ke halaman rasmi Twitter dan YouTube milik Gates pada 18 Mei 2022.

Di YouTube, keterangan video itu bertulis: "Saya dapat melawat sebuah operasi luar biasa HOPE Konsortium di Abu Dhabi untuk melihat cara mereka menyimpan berjuta-juta vaksin COVID-19 untuk diberikan kepada orang ramai di seluruh rantau ini. Ia adalah persediaan yang menakjubkan!"

Video berdurasi satu minit sembilan saat itu menunjukkan Gates melawat gudang HOPE Consortium di Abu Dhabi, yang kini digunakan untuk menyimpan vaksin Covid-19.

Video dimulakan dengan Gates berkata: "Kami berada di Abu Dhabi di UAE, melihat sebuah gudang vaksin yang besar."

Gates kemudiannya menyebut vaksin dalam simpanan adalah untuk Covid-19.

"Sungguh mengagumkan untuk melihat berjuta-juta vaksin COVID semuanya di satu tempat dan fikir kami sedang menyampaikan berbilion-bilion vaksin ini," katanya.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran mengelirukan (kiri) dan video yang disiarkan oleh Gates di media sosial (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran mengelirukan (kiri) dan video yang disiarkan oleh Gates di media sosial (kanan)

The National, portal berita berbahasa Inggeris di Abu Dhabi, memuat naik video yang sama ke laman web Facebook milik mereka pada 19 Mei 2022.

Diterjemahkan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, kapsyen itu berbunyi: "Vlog Bill Gates dari gudang vaksin di Abu Dhabi."

Vaksin cacar monyet

Pakar virologi Universiti Sydney, Edward Holmes berkata dakwaan dalam catatan itu sebagai "tidak masuk akal".

"Saya boleh mengesahkan bahawa vaksin Covid-19 tidak boleh digunakan sebagai vaksin cacar monyet," katanya kepada AFP.

Holmes berkata pada masa ini terdapat satu vaksin untuk melawan cacar dan cacar monyet yang diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) AS, yaitu JYNNEOS, keluaran firma Denmark Bavarian Nordic.

Kedua-dua virus itu berkaitan, tetapi cacar monyet kurang teruk daripada cacar, yang membunuh jutaan orang di seluruh dunia setiap tahun sebelum ia dihapuskan pada tahun 1980.

Amerika Syarikat telah berkata 1,000 dos vaksin JYNNEOS tersedia untuk digunakan negara itu.

Gates sering menjadi sasaran maklumat salah -- AFP telah menafikan dakwaan palsu dan mengelirukan tentang dirinya dan vaksin Covid-19 di sini, di sini, di sini dan di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami