Video lama muncul semula dalam catatan yang mendakwa feri ke Langkawi terbakar pada Jun 2022

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.
  

Video feri terbakar telah ditonton ratusan ribu kali dalam catatan media sosial yang mendakwa ia menunjukkan kebakaran di atas kapal dari Perlis ke Langkawi pada Jun 2022. Walau bagaimanapun, video itu dikongsikan dalam konteks mengelirukan. Video tersebut pernah tersebar dalam laporan mengenai insiden kebakaran yang melibatkan sebuah feri dari Langkawi ke Perlis pada tahun 2019.

Video berdurasi 22 saat itu telah disiarkan di sini di TikTok pada 16 Jun 2022, di mana ia telah ditonton lebih daripada 870,000 kali.

Kapsyennya menyatakan: "Semoga semua selamat Aminn."

Video itu kelihatan menunjukkan sebuah feri terbakar dengan kepulan-kepulan asap yang besar keluar daripadanya. Seorang lelaki kedengaran menjerit: "Mana boleh terjun-terjun ya?"

Teks yang ditindih pada video itu berbunyi: "Feri dari Perlis ke Langkawi terbakar, sapa tahu, info di ruang komen???"

Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 20 Jun 2022

Video itu juga telah dikongsi dengan dakwaan serupa di Facebook di sini dan sini, di TikTok di sini dan di YouTube di sini.

Beberapa pengguna media sosial seolah-olah percaya kejadian itu berlaku baru-baru ini. Seorang menulis: "Moga dipermudahkan segla urusan dan penumpang semua selamat..Aamiin3x", manakala seorang lagi mengulas dalam bahasa Cina: "Berdoa semuanya baik-baik sahaja."

Berikut tangkapan skrin komen pengguna Facebook: 

Tangkapan skrin komen pengguna Facebook 

Walau bagaimanapun, video itu telah dikongsi dalam konteks mengelirukan.

Carian kata kunci mendapati klip tersebut sepadan dengan 13 saat pertama video ini yang diciap oleh Bernama pada 25 Februari 2019.

"Sebuah feri yang menuju ke Kuala Perlis terbakar di perairan Langkawi, kira-kira pukul 3 petang tadi," bunyi keterangannya.

Kesemua penumpang berjaya diselamatkan, tambah Bernama, yang juga mengkreditkan video itu kepada Jabatan Bomba.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan mengelirukan (kiri) dan video 2019 yang asli (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan mengelirukan (kiri) dan video 2019 yang asli (kanan)

Pada 25 Februari 2019, Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MMEA) masing-masing berkongsi foto-foto kebakaran tersebut di Facebook, yang sepadan dengan adegan dalam klip yang tular.

Pada hari yang sama, penyiar berita Astro Awani juga membuat liputan mengenai kebakaran pada 25 Februari 2019, yang dimuat naikkan ke YouTube di sini.

Video itu bertajuk: "Feri penumpang Langkawi - Kuala Perlis, terbakar."

Keterangan video itu menyatakan feri itu "dipercayai milik Dragon Star Shipping Sendirian Berhad" terbakar selepas lima minit berlayar dari Jeti Kuah, Langkawi.

Jabatan Laut Malaysia berkata ia "membatalkan semua slot perjalanan feri penumpang" syarikat itu bermula 18 Mac 2019 dan menghalangnya daripada menjalankan perkhidmatan antara Langkawi, Kuala Perlis dan Kuala Kedah.

MMEA mengeluarkan kenyataan di Facebook pada 16 Jun 2022 yang mengatakan video itu berasal daripada kejadian yang berlaku pada tahun 2019 dan syarikat pengendali perkhidmatan feri tersebut juga tidak lagi beroperasi.

AFP tidak menemui sebarang laporan rasmi mengenai feri penumpang Langkawi yang terbakar pada Jun 2022.