Arnold Schwarzenegger tidak tidur di jalan selepas ditolak oleh hotel
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Rabu 22/06/2022 pukul 07:25
- Dikemas kini pada hari Rabu 22/06/2022 pukul 08:39
- Durasi bacaan 5 minit
- Oleh: AFP Arab Saudi, AFP Perancis, AFP Indonesia, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Foto bintang filem Amerika Syarikat dan bekas gabenor California Arnold Schwarzenegger yang kelihatan dibaluti beg tidur hijau dan tertidur di kaki patung yang terukir dengan nama pertamanya telah dikongsi ribuan kali di media sosial sejak tahun 2017. Catatan itu mendakwa bahawa Schwarzenegger terpaksa tidur di jalan selepas dinafikan penginapan di hotel yang memiliki patung itu. Dakwaan itu tidak benar. Walaupun Schwarzenegger ialah lelaki dalam foto itu, beliau mengambil gambar itu sebagai gurauan pada tahun 2016.
Foto pelakon Hollywood dan bekas gabenor California Arnold Schwarzenegger telah dikongsikan di sini di Facebook pada 30 Disember 2021.
Sebahagian keterangan catatan itu menyatakan: "Pelakon terkenal dunia Arnold Schwarzenegger menyiarkan gambar dirinya tidur di jalan di bawah patung gangsa yang terkenal, dan sedihnya menulis 'bagaimana masa telah berubah' ...
"Sebab dia menulis frasa itu bukan sahaja kerana dia sudah tua, tetapi kerana ketika dia gabenor California dia melantik sebuah hotel dengan patungnya.
Kakitangan hotel memberitahu Arnold, 'pada bila-bila masa anda boleh datang dan mempunyai bilik yang disediakan untuk anda.' apabila Arnold meletak jawatan sebagai gabenor dan pergi ke hotel, pentadbiran enggan memberi dia bilik yang berhujah bahawa dia harus membayarnya, kerana mereka sangat memerlukan.
"Dia membawa beg tidur dan berdiri di bawah patung itu dan menjelaskan apa yang ingin disampaikannya: 'Ketika saya berada di posisi penting, mereka selalu memuji saya, dan ketika saya kehilangan posisi ini, mereka lupa tentang saya dan tidak menunaikan janji mereka. Jangan percaya kedudukan anda atau jumlah wang yang anda miliki, mahupun kuasa anda, atau kecerdasan anda, ia tidak akan bertahan lama.'"
Foto itu telah dikongsikan lebih daripada 1,800 kali setelah muncul dengan dakwaan serupa di Facebook setidaknya sejak tahun 2017, seperti di sini, di sini, di sini, di sini dan di sini.
Ia juga dimuat naikkan di Instagram di sini dan Twitter di sini.
Walau bagaimanapun, dakwaan tersebut tidak benar.
Imej itu sebenarnya pertama kali diterbitkan oleh Schwarzenegger sendiri.
Melalui carian imej terbalik menggunakan TinEye, AFP menemui foto itu dalam artikel ini yang diterbitkan dalam talian oleh People, majalah berita selebriti Amerika Syarikat (AS), pada 15 Januari 2016.
Artikel itu bertajuk: "Arnold Schwarzenegger Memuat naikkan Foto Lucu Dirinya ... Di Sebelah Patung Dirinya."
Laporan People itu menjelaskan bahawa pelakon Amerika tersebut memuat naikkan foto itu di sini di akaun Instagramnya yang disahkan pada 15 Januari 2016, dengan kapsyen "Bagaimana masa telah berubah".
View this post on Instagram
AFP juga menemui foto yang sama di akaun Facebook dan Twitter milik Schwarzenegger.
E! Berita, laman berita hiburan AS, turut membuat liputan mengenai gambar Schwarzenegger di sini dan berkata pelakon itu menulis kapsyen Instagram tersebut sebagai jenaka.
Menurut artikel People, gambar itu diambil di hadapan Pusat Konvensyen Greater Columbus di Ohio, di AS.
Patung yang didirikan sebagai penghormatan kepada Schwarzenegger itu boleh dilihat di Google Maps di sini.
Bertentangan dengan dakwaan dalam catatan media sosial yang tidak sahih, patung itu tidak berada di hadapan sebuah hotel.
Menurut People dan E! News, Schwarzenegger telah mengambil gambar tersebut semasa berada di Columbus untuk penggambaran filem "478", yang kemudiannya dikeluarkan di bawah tajuk "Aftermath".
Walaupun imej itu sahih, cerita yang dikongsikan di media sosial mengenai Schwarzenegger tidak mempunyai tempat berteduh adalah tidak benar.
Selebriti Amerika kelahiran Austria pada tahun 1947 itu jauh daripada papa kedana. Kekayaan Schwarzenegger dianggarkan kira-kira $300 juta hingga $400 juta, menurut beberapa laman web yang melaporkan kekayaan dan nilai bersih seperti di sini, sini, sini, dan sini.
AFP pernah membongkar dakwaan yang sama dalam bahasa Inggeris, bahasa Indonesia, bahasa Perancis dan bahasa Arab.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami