Seorang wanita hamil menunjukkan sijil vaksinasinya selepas menerima dos vaksin Covid-19 Moderna di Asuncion, Paraguay, pada 11 Jun 2021. ( AFP / Norberto Duarte)

Penulis Amerika Naomi Wolf secara palsu mendakwa ibu hamil yang dapat vaksin Covid menyebabkan 'kematian bayi'

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Klip video penulis buku Amerika Naomi Wolf, yang mendakwa bahawa "terdapat kematian bayi" pada bayi yang dilahirkan oleh ibu yang mendapat vaksin Covid-19, telah ditonton ratusan kali di pelbagai catatan Facebook. Tetapi dakwaan itu palsu. Kenyataan doktor bercanggah dengan dakwaan Wolf, dan beberapa kajian menunjukkan bahawa vaksinasi terhadap Covid-19 semasa kehamilan adalah selamat.

Video yang menampilkan penulis buku AS Naomi Wolf dalam episod War Room Pandemic, podcast yang dihoskan oleh Steve Bannon -- bekas penasihat White House saat Donald Trump menjadi presiden AS -- dikongsi di Facebook di sini pada 1 Jun 2022.

Video berdurasi satu minit dan 26 saat itu telah ditonton lebih daripada 190 kali.

Antara kapsyen catatan tersebut mengulangi dakwaan Wolf, seperti berikut: "- Bayi yang menyusu jatuh sakit akibat ibu yang diberi vaksin, dan sekurang-kurangnya seorang telah meninggal dunia.

"Daripada 270 wanita yang hamil dalam ujian Pfizer, 236 daripada rekod peserta hilang, tetapi daripada 34 wanita yang tinggal, 28 daripada bayi mereka meninggal dunia.

"- Di Scotland, dua kali ganda bilangan bayi meninggal dunia. Di Ontario, Kanada, 86 bayi meninggal dunia (purata lima atau enam setahun), dan kematian dalam kalangan ibu yang divaksin meningkat 34% di Israel."

Tangkapan skrin siaran mengelirukan, diambil pada 22 Jun 2022

Wolf telah diharamkan daripada Twitter pada tahun 2021 kerana menghantar tweet maklumat yang salah mengenai vaksin Covid-19. Bannon juga telah diharamkan daripada platform.

Klip itu dikongsi dengan dakwaan serupa di Facebook di sini dan di sini.

Rakaman video yang sama juga beredar dengan klaim dalam bahasa Inggeris di sini dan sini, di mana ia telah ditonton lebih daripada 250 kali.

Angka kematian kelahiran bayi mengelirukan

Dakwaan mengenai "86 bayi lahir mati" sebelum ini dikongsi pada akhir 2021, dengan angka itu dikatakan berasal dari Waterloo, di wilayah Ontario, Kanada.

Dua hospital besar di rantau Waterloo berkata dakwaan mengenai peningkatan kelahiran mati itu adalah palsu, seperti yang dilaporkan oleh laman berita tempatan CityNews Kitchener pada 27 November 2021.

Menurut laporan itu, Dr Peter Potts, ketua kakitangan bersama di Grand River Hospital dan St. Mary's General Hospital, berkata 12 kelahiran mati telah berlaku pada tahun itu.

Angka itu jauh lebih rendah daripada 86 kelahiran mati, angka yang disebut Wolf dalam klip dan siarannya di laman surat berita Substack pada 30 Mei 2022.

Grand River Hospital, hospital terbesar di rantau Waterloo, memuat naik ciapan di Twitter pada 27 November 2021:

"Kejadian kelahiran mati di Rantau Waterloo adalah tragis, tetapi kekal stabil antara 0.2 dan 0.4 peratus, lebih rendah daripada purata kebangsaan."

Terdapat 21 kematian bayi baru lahir di Scotland pada September 2021, kadar 4.9 bagi setiap 1,000 kelahiran -- peningkatan daripada kadar purata lebih dua bagi setiap 1,000 kelahiran.

Walau bagaimanapun, Dr Sarah Stock, yang mengetuai kajian kebangsaan berhubung kehamilan Covid-19 , memberitahu BBC bahawa vaksin bukan faktor.

Dan kajian di Israel, yang diterbitkan di bulan Februari 2022, menemui bahwa vaksinasi Covid-19 Pfizer/BioNTech semasa kehamilan tidak dikaitkan dengan hasil yang memudaratkan zuriat.

'Tidak berasas'

Ian Jones, profesor virologi di Universiti Reading di Britain, memberitahu AFP dakwaan bahawa vaksin Covid-19 meningkatkan komplikasi kehamilan adalah tidak berasas sama sekali.

“Seperti yang kita tahu sekarang daripada skala pelancaran vaksin, beribu-ribu wanita hamil telah diberi vaksin dan tiada risiko dikenal pasti,” katanya menerusi e-mel.

Jones juga berkata penyusuan susu ibu adalah digalakkan kerana antibodi ibu adalah sumber perlindungan untuk bayi baru lahir.

“Jika seorang ibu telah diberi vaksin, antibodi pelindung yang dihasilkannya akan berpindah kepada anak dalam susu ibu. Perkara yang sama akan berlaku jika ibu mempunyai Covid sebelum hamil."

Dr Thira Woratanarat, profesor perubatan pencegahan di Universiti Chulalongkorn di Thailand, memberitahu AFP terdapat bukti yang semakin ketara bahawa vaksin Covid-19 selamat untuk wanita hamil.

Beliau memetik kajian yang diterbitkan pada Jun 2022 yang menunjukkan tiada kaitan antara vaksinasi ibu dan kejadian buruk akut yang serius dalam tempoh 42 hari selepas suntikan.

Beliau juga memberitahu AFP bahawa penyusuan susu ibu adalah cara untuk wanita yang diberi vaksin memberikan imuniti kepada bayi mereka, memetik kajian AS yang menunjukkan bahawa vaksinasi pada wanita hamil memberi kesan positif kepada bayi mereka.

Kathryn Gray, pakar perubatan ibu-janin di Brigham dan Women's Hospital di Boston, sebelumnya memberitahu AFP bahawa dia "sangat pasti" terus mengesyorkan vaksin Covid-19 kepada pesakit hamilnya.

Dia merujuk kepada meta-analisis pada tahun 2022 daripada 23 kajian yang menyimpulkan: "Vaksinasi mRNA Covid-19 semasa kehamilan nampaknya selamat dan dikaitkan dengan pengurangan kelahiran mati."

Pfizer memberitahu AFP dalam e-mel pada 17 Jun 2022 bahawa mereka belum menyelesaikan kajian mereka tentang kesan vaksin Covid-19 mereka terhadap wanita hamil.

Sebaik sahaja vaksin mereka disyorkan secara global untuk digunakan oleh wanita hamil, "tiada lagi justifikasi untuk penerusan kajian terkawal plasebo ini," kata syarikat itu.

Bertentangan dengan dakwaan, pelbagai kajian, seperti ini, ini dan ini, mendapati ibu hamil yang tidak diberi vaksin menghadapi risiko lebih tinggi untuk mengalami kematian bayi bila terkena jangkitan Covid-19.

Laman perikasa fakta Health Feedback pernah menafikan dakwaan yang serupa dari Wolf di sini.

AFP telah menafikan dakwaan lain yang tidak tepat mengenai kesan vaksin Covid-19 terhadap kehamilan di sini dan di sini.

VAKSIN COVID-19