Orang ramai beratur di sebuah farmasi Government Pharmaceutical Organisation, atau Pertubuhan Farmaseutikal Kerajaan, di Bangkok pada 14 Januari 2022. ( AFP / Lillian Suwanrumpha)

Dakwaan tidak sahih bahawa paracetamol mengandungi virus Machupo tersebar meluas dalam talian

Pelbagai siaran Facebook telah berkongsi dakwaan bahawa paracetamol, ubat penahan sakit, mengandungi virus Machupo, yang berpotensi menyebabkan demam hemoragik yang boleh mengancam nyawa. Namun begitu, dakwaan itu palsu. Para pakar kesihatan menolaknya sebagai "tidak benar" dan menjelaskan bahawa virus itu tidak dapat bertahan dalam tablet. Produk berkenaan, dipanggil P-500, juga tidak dijual di Malaysia.

Satu catatan dimuat naikkan di Facebook di sini pada 21 Mei 2022.

Keterangannya menyatakan: "Berhati-hati membeli ubat ada P.500 paracetamol kerana ada virus berbahaya .”

Teks yang tertindih di atas gambar tab ubat demam atau ubat tahan sakit paracetamol P-500 menyatakan: "AMARAN URGENT! Berhati-hati untuk tidak mengambil paracetamol yang ditulis P / 500. Ia adalah paracetamol yang baru, sangat putih dan berkilat, doktor menasihati bahawa ia mengandungi virus 'Machupo', dianggap sebagai salah satu virus yang paling berbahaya di dunia, dengan kematian yang tinggi kadar. Sila kongsi mesej ini, dengan semua orang di senarai kenalan anda serta keluarga, dan menyelamatkan nyawa atau nyawa …. Saya telah melakukan bahagian saya, kini giliran anda … ingat bahawa Tuhan membantu mereka yang membantu orang lain & diri sendiri! Teruskan seperti yang diterima."

Image
Tangkapan skrin catatan Facebook mengelirukan, ditangkap pada 28 Jun 2022

 

Dakwaan serupa, yang juga dimuat naikkan di Facebook pada Mac 2022, telah beredar selama bertahun-tahun, seperti pada tahun 2021, 2020, 2019, 2018 dan 2017.

Dakwaan itu turut dikongsi dalam bahasa Thai dan bahasa Burma.

Walau bagaimanapun, para pakar kesihatan memberitahu AFP bahawa dakwaan tersebut "tidak benar".

Virus Machupo

Virus Machupo menyebabkan demam hemoragik Bolivia yang mempunyai kadar kematian antara 5 dan 30 peratus, menurut Pertubuhan Kesihatan Pan-Amerika (PAHO).

Para pakar memberitahu AFP bahawa adalah "mustahil" untuk tablet paracetamol mengandungi virus.

"Saya boleh mengesahkan dakwaan ini adalah palsu," kata Alisara Sangviroon Sujarit, pensyarah dalam sains farmaseutikal di Universiti Chulalongkorn di Thailand.

Beliau memberitahu AFP: "Untuk menghasilkan satu tablet, keadaan mestilah sangat kering. Virus itu memerlukan persekitaran lembap dan suhu yang rendah untuk membiak. Jadi itulah sebabnya virus tidak dapat bertahan dalam persekitaran seperti ini.

"Selain itu, syarikat farmaseutikal perlu melakukan pemeriksaan kualiti, yang menjadikannya mustahil bahawa ubat akan mengandungi sebarang virus."

Thanaporn Chobsri, ahli farmasi di Government Pharmaceutical Organization, atau Pertubuhan Farmaseutikal Kerajaan, di Thailand, bersetuju dan memanggil dakwaan itu sebagai "berita palsu".

"Terdapat peraturan ketat oleh pengeluar farmaseutikal tentang cara menghasilkan ubat. Adalah mustahil bahawa terdapat virus dalam tablet paracetamol," katanya kepada AFP.

P-500 tidak tersedia di Malaysia

Menurut sistem pendaftaran produk dan perlesenan Bahagian Regulatori Farmasi Negara di bawah naungan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tiada jenama paracetamol bernama P-500 dalam senarai ubat yang berdaftar di Malaysia.

Susulan carian kata kunci selanjutnya, AFP mendapati rujukan terdekat kepada nama ubat tersebut hanya dijual daripada pengeluar yang berpusat di India – seperti di sini dan sini.

Tambahan lagi, KKM pernah menafikan dakwaan yang sama pada tahun 2017 di sini, apabila berita mengelirukan yang sama mula tular, namun gambar kotak ubat yang tersebar adalah berbeza.

Pada tahun yang sama, Health Sciences Authority, atau Lembaga Sains Kesihatan, di Singapura juga menyangkal dakwaan yang serupa di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami