Ini video ciptaan digital dan tidak menunjukkan 'serangan peluru berpandu Kinzhal Rusia di Ukraine'

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Satu video telah ditonton ribuan kali setelah dikongsikan dengan dakwaan bahawa ia menunjukkan Rusia menyerang Ukraine dengan peluru berpandu Kinzhal pada 2022. Walau bagaimanapun, dakwaan itu tidak benar. Meskipun Rusia mengaku menggunakan senjata sedemikian di Ukraine, video itu sebenarnya adalah ciptaan digital artis kesan visual.

Sebuah video dimuat naikkan di Facebook di sini pada 19 Jun 2022.

Video berdurasi 17 saat itu menunjukkan sebuah objek jatuh ke tanah dan diikuti dengan kilatan cahaya dan awan cendawan.

Semasa letupan berlaku dalam video itu, seseorang kedengaran menjerit dalam bahasa Inggeris di sebalik kamera.

Keterangan video itu menyatakan: "Kelajuan peruru.kinzhal Rusia 12.000 km sejam ia itu 10 pantas dari bunyi, memusnahkan 136 kaki depo peluru dlm tanah Ukraine, berita baru ku baca dari wartawan America, x Malaysia army dapat memahami erti sebuah peperangan.(????bagai mana jika rusia bergabung dgn cina????????????) dalam perperangan seterusnya."

Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan, diambil pada 7 Julai 2022

Kinzhal, yang bererti "pisau belati" dalam bahasa Rusia, adalah peluru berpandu balistik milik Rusia.

Moscow mengakui telah melepaskan peluru berpandu hipersonik Kinzhal di Ukraine, dengan peluru berpandu Kinzhal pertama ditembak pada Mac 2022 untuk menyerang tapak penyimpanan senjata berhampiran sempadan Ukraine dengan Romania.

Video itu telah ditonton lebih daripada 5,200 kali setelah dikongsikan dengan dakwaan serupa di sini dan sini.

Video itu telah dikongsi bersama dengan dakwaan dalam bahasa Inggeris di Facebook, di Instagram, di Twitter, di TikTok dan di YouTube.

Video itu juga beredar dengan dakwaan dalam bahasa Hungary, bahasa Belanda, bahasa Sepanyol dan bahasa Portugis.

Walau bagaimanapun, dakwaan itu tidak benar.

Carian kata kunci menemui video serupa yang dimuat naikkan oleh saluran YouTube bernama InsanePatient2 pada 28 Februari 2022.

Video itu bertajuk: "Bagaimana jika Rusia Memulakan Perang Nuklear? #shorts".

Keterangan saluran tersebut berbunyi: "VFX... itu sahaja," merujuk kepada kesan visual yang dijana komputer.

Video yang sama turut dimuat naikkan ke akaun TikTok InsanePatient2 di sini pada hari yang sama, juga dengan kapsyen: "Bagaimana jika Rusia Memulakan Perang Nuklear?"

Dalam keterangannya, terdapat pautan ke laman web ini yang memaparkan pelbagai rakaman audiovisual stok yang boleh dimuat turun untuk digunakan dalam penciptaan video-video VFX.

Dalam segmen komen dalam siaran TikTok itu, InsanePatient 2 menulis: "kepada semua individu berotak licin yang berfikir saya cuba memperbodohkan orang ramai, secara bulat-bulat perkataan 'bagaimana jika" tertulis dalam tajuk. dapatkanlah bantuan."

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin antara video dalam catatan media sosial yang mengelirukan (kiri) dan video asal di YouTube (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin antara video dalam catatan media sosial yang mengelirukan (kiri) dan video asal di YouTube (kanan)

Kedua-dua akaun YouTube dan TikTok miliknya memuat naikkan video-video lain hasil kesan visual yang dijana komputer.

InsanePatient2 juga menggunakan semula latar belakang daripada video itu dalam klip-klip yang lain.

Latar belakang yang sama boleh diperhatikan dalam video ini, bertajuk "Bulan Terhempas ke Bumi!", yang disiarkan di saluran YouTube yang sama pada 4 Mac 2022.

Klip itu juga menunjukkan bagaimana adegan tersebut dicipta.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin antara video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video bulan (kanan), dengan ciri-ciri yang sama dibulatkan oleh AFP:

Perbandingan tangkapan skrin antara video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video bulan (kanan)

Sementara itu, suara lelaki yang digunakan dalam video "perang nuklear" juga muncul dalam klip ini, bertajuk "Bagaimana jika dua planet bertembung?", yang dimuat naikkan di saluran YouTube yang sama pada 28 Januari 2022.

Sebelum ini, AFP telah membongkar satu lagi dakwaan palsu yang menggunakan video yang sama, tetapi mengatakan bahawa ia menunjukkan "serangan bom vakum Rusia di Ukraine".

Ukraine conflict