Tumbuhan yang mengandungi cannabidiol (CBD) di Caudan, barat Perancis, pada 6 Julai 2022. ( AFP / Loic Venance)

Dakwaan mengelirukan tentang manfaat kesihatan ganja menyebar di Facebook

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Pelbagai catatan di Facebook yang telah dikongsi puluhan kali mendakwa bahawa minyak cannabidiol (CBD) boleh menyembuhkan beberapa penyakit seperti Alzheimer dan diabetes. Walau bagaimanapun, siaran itu mengelirukan. Tiada bukti bahawa ganja atau derivatifnya boleh menyembuhkan penyakit ini, tetapi ia boleh digunakan untuk meringankan keadaan tertentu, menurut pakar kesihatan. Mereka memberitahu AFP penggunaan ganja untuk tujuan perubatan harus dipantau oleh penyedia penjagaan kesihatan.

Catatan itu dikongsi di Facebook di sini pada 11 Mac 2022. 

Antara kapsyen catatan tersebut adalah seperti berikut: “Minyak CBD yang banyak terdapat drp spesis Hemp adalah penyembuh kepada pelbagai gejala penyakit. / Selain tanpa efek psikoaktif, ia berperanan anti-radang & agen terapeutik yang menjanjikan pelbagai rawatan daripada gangguan keradangan sehingga melegakan kesakitan.

"Antara manfaat CBD, ia dapat melegakan kesakitan kesan Antipsikotik. ... / Mengurangkan Kebimbangan. ... / Membantu Melawan Kanser. ... / Melegakan Rasa Loya. ... / Boleh Merawat Sawan dan Gangguan Neurologi /Mengurangkan Diabetes. ... / Menggalakkan Kesihatan Kardiovaskular...serta banyak lagi....."

Catatan tersebut turut disertakan sebuah infografik yang menunjukkan pelbagai maanfaat produk ganja, yang antaranya boleh merawat Alzheimer, kencing manis, kanser, kemurungan,  dan banyak lagi.

Tangkapan skrin siaran Facebook yang mengelirukan, diambil pada 20 Julai 2022.

Ekstrak ganja meliputi rangkaian luas produk yang umumnya mengandungi kepekatan tinggi kanabinoid, bahan kimia yang terdapat dalam tumbuhan kanabis. Ini boleh dijual dalam bentuk pepejal atau cecair, yang kemudiannya boleh diletakkan di bawah lidah menggunakan semburan atau penitis.

Psikoaktif tetrahydrocannabinol (THC) adalah kanabinoid yang paling terkenal, manakala cannabidiol (CBD) tidak menghasilkan euphoria atau "high" tetapi telah terbukti berkesan untuk pelbagai keadaan seperti kebimbangan atau insomnia.

Di bawah seksyen 6B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, kanabis tidak boleh ditanam di Malaysia. 

Namun, Kementerian Kesihatan bakal membenarkan penggunaan beberapa produk perubatan mengandungi kanabis atau  ganja dikenali sebagai cannabidiol (CBD) pada tahun 2023, lapor akhbar Utusan Malaysia

Walau bagaimanapun, produk CBD hanyah boleh diperoleh melalui preskripsi dan bukan dibeli di kaunter.

Sementara itu, pada 9 Jun 2022, negara jiran Thailand melonggarkan undang-undangnya dan membenarkan pengguna untuk memiliki dan menanam ganja di bawah garis panduan baharu, lapor AFP di sini.

Catatan dengan dakwaan serupa turut dikongsi di Facebook di sini, di sini, di sini dan di sini.

Dakwaan itu beredar pula dalam bahasa Thai di sini.

Bagaimanapun, pakar kesihatan mengatakan dakwaan itu mengelirukan.

'Bukti tidak mencukupi'

Dr Thira Woratanarat, profesor bersekutu perubatan pencegahan di Universiti Chulalongkorn di Thailand, hanya mengulas mengenai CBD yang sah.

Beliau berkata kebanyakan penyakit dan keadaan yang disebut dalam tuntutan itu belum terbukti boleh dirawat dengan bahan tersebut.

Thira berkata ia merupakan rawatan alternatif yang terbukti untuk pesakit yang menjalani kemoterapi, pesakit cerebral palsy, sakit kronik dan mengurangkan sawan.

"Ia bukan pengganti tetapi boleh digunakan sebagai alternatif sekiranya ubat utama tidak tersedia," kata Thira, yang juga menyatakan bahawa CBD telah terbukti selamat dan berkesan dalam skop terhad.

Walau bagaimanapun, keadaan lain -- seperti Alzheimer, diabetes, kemurungan dan HIV yang disebut dalam catatan yang mengelirukan -- belum terbukti secara klinikal boleh dirawat dengan CBD.

Beliau menggesa pesakit yang ingin mengambil CBD untuk manfaat kesihatan yang dikatakan untuk mendapatkan nasihat perubatan.

Bukan untuk rawatan kanser langsung

Dr Nicha Zungsontiporn, pensyarah dari bahagian onkologi Chulalongkorn University dan King Chulalongkorn Memorial Hospital di Bangkok, memberitahu AFP bahawa ekstrak daripada ganja tidak boleh digunakan untuk merawat kanser secara langsung.

Nicha berkata: "CBD digunakan untuk membantu pesakit yang mengambil ubat kanser atau kemoterapi.

"Ia tidak digunakan sebagai rawatan langsung untuk pesakit kanser, tetapi digunakan untuk mengurangkan kesan sampingan proses rawatan," tambahnya, yang mungkin termasuk loya dan kurang selera makan.

Sementara itu, Thira memberi amaran bahawa penggunaan CBD setiap hari boleh membawa kepada pergantungan bahan.

"Penggunaan berterusan akan mengakibatkan peningkatan toleransi badan kita, yang boleh membawa kepada keperluan untuk dos yang lebih tinggi."