Kadet sekolah Malaysia membawa bendera kebangsaan. ( AFP / Manan Vatsyayana)

Pakar undang-undang menolak tuntutan catatan media sosial 'jahil' tentang 'syarat menjadi warganegara Malaysia'

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Pelbagai catatan yang beredar di Facebook mendakwa seseorang mestilah sama ada beragama Islam, berbangsa Melayu atau berasal daripada rantau Asia Tenggara untuk layak mendapat kerakyatan Malaysia. Namun begitu, dakwaan itu tidak benar. Baik kaum mahupun agama bukan syarat untuk kewarganegaraan di Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan. Malah seorang pakar undang-undang memanggil dakwaan itu "jahil dan berprasangka".

Dakwaan itu dikongsi dalam bentuk imej di Facebook di sini pada 9 Jun 2022.

Kapsyennya menyatakan: "Sedangkan warga asing tahu ini adalah syarat menjadi warganegara Malaysia

"Mengapa orang cina dan india malaysia tidak mahu terima."

Teks dalam imej itu menyatakan: "SYARAT MENJADI WARGANEGARA MALAYSIA

"1) Asia tenggara yaitu (serumpun melayu / keturunan melayu). Syarat ada kerakyatan anak yang lahir dimalaysia (anak warganegara) yang bukan Islam tidak perlu masuk Islam

"2) Nusantara ;: Kerana Malaysia negara Islam Warga asing suami isteri Islam syarat ada kerakyatan anak yang lahir dimalaysia (anak warganegara)

"3) orang cina dan india bukan dari ASIA TENGGARA tidak boleh menjadi warganegara hanya penduduk tetap. Tidak boleh berpolitik kerana pendatang asing KECUALI masuk Islam atau kahwin dengan orang melayu Islam anak warganegara". 

Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 18 Julai 2022

Dakwaan itu beredar ketika kes yang mendapati wanita warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warganegara asing tidak berhak memberikan kewarganegaraannya kepada anak-anak mereka dijangka mendapat keputusan daripada Mahkamah Rayuan pada 5 Ogos 2022.

Kes ini berlanjutan apabila kerajaaan mencabar keputusan Mahkamah Tinggi yang memutus bahawa pengiktirafan kewarganegaraan melalui jantina ibu bapa adalah tidak mengikut perlembagaan pada September 2021.

Dakwaan itu juga dikongsikan di Facebook di sini, sini dan sini

Walau bagaimanapun, dakwaan itu tidak benar.

Perlembagaan Persekutuan tidak memasukkan kaum atau agama sebagai syarat untuk mendapat kerakyatan.

'Pandangan jahil, populis'

"Catatan Facebook itu boleh difahami sebagai campuran kejahilan, pandangan populis, dan menaruh prasangka terhadap perkauman dan keagamaan," kata Dr Shad Saleem Faruqi, profesor emeritus di Fakulti Undang-undang Universiti Malaya.

"Di bawah Perlembagaan Persekutuan, kaum dan agama tidak ditetapkan di mana-mana sebagai syarat kewarganegaraan. Berjuta-juta orang bukan Melayu dan bukan Islam adalah rakyat negara ini," katanya kepada AFP pada 2 Julai 2022.

Pakar perlembagaan itu menolak dakwaan bahawa seseorang itu mestilah terdiri daripada bangsa Melayu daripada Asia Tenggara atau Nusantara.

Malaysia telah lama mengelompokkan orang aslinya di bawah kategori yang sama dengan orang etnik Melayu yang dipanggil "bumiputera" -- frasa yang tidak digunakan dalam perlembagaan -- tetapi Shad Saleem berkata penduduk yang berada di negeri Sabah dan Sarawak mungkin mempersoalkan idea "keturunan Melayu" ini.

Dakwaan bahawa warga asing yang beragama Islam akan layak mendapat kewarganegaraan adalah "sangat tidak jelas dan kebanyakannya salah", kata Shad Saleem, sambil menambah bahawa agama tidak menjamin kewarganegaraan.

Menjadi warganegara Malaysia

Jasmine Wong, sekutu kanan di firma guaman MahWengKwai & Associates, menjelaskan empat cara untuk menjadi warganegara Malaysia.

Yang pertama ialah kewarganegaraan melalui undang-undang, yang juga dipanggil kewarganegaraan berdasarkan kelahiran dan keturunan. 

Ini termasuk: orang yang dilahirkan di Malaysia kepada salah seorang ibu atau bapa yang merupakan warganegara atau penduduk tetap pada masa kelahirannya; orang yang lahir di luar negara kepada bapa yang merupakan warganegara dan kelahirannya didaftarkan dalam tempoh satu tahun; seseorang yang dilahirkan di Singapura kepada seorang ibu atau bapa yang merupakan warganegara; dan seseorang yang dilahirkan di Malaysia tetapi yang tidak dilahirkan sebagai warganegara mana-mana negara lain. 

"Terdapat pelbagai isu dengan tafsiran undang-undang di atas dan kewarganegaraan bukanlah perkara yang mudah," katanya kepada AFP.

Kaedah kedua ialah melalui pendaftaran: isteri warga asing yang berkahwin dengan suami warganegara Malaysia, tinggal di Malaysia sekurang-kurangnya dua tahun dan berkelakuan baik; sesiapa di bawah umur 21 tahun dengan salah seorang ibu atau bapa yang merupakan warganegara; atau mana-mana kanak-kanak di bawah umur 21 tahun sekiranya terdapat "keadaan khas". 

Namun, Wong menyatakan bahawa "keadaan khas" tidak ditakrifkan di mana-mana.

Shad Saleem juga berkata kaedah ini tidak terbuka kepada lelaki warga asing yang berkahwin dengan wanita warganegara Malaysia.

Seseorang juga boleh menjadi warganegara melalui penaturalisasian, di mana kerajaan boleh memberikan kewarganegaraan jika orang itu telah menetap di Malaysia selama sekurang-kurangnya 10 tahun dan berhasrat untuk tinggal secara kekal di negara ini, berkelakuan baik dan mempunyai pengetahuan yang memadai tentang bahasa Malaysia.

Kaedah terakhir ialah kewarganegaraan melalui "penggabungan wilayah" di mana sesiapa yang merupakan penduduk di tanah yang diperolehi Malaysia akan diberikan kewarganegaraan, yang menurut Wong tidak lagi relevan hari ini.

Tetapi, beliau berkata undang-undang kewarganegaraan yang rumit bermakna mahkamah tempatan dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah mengambil pendekatan dan tafsiran berbeza semasa memutuskan sama ada untuk memberikan kewarganegaraan kepada seseorang.

Penyertaan politik

Walaupun terdapat dakwaan bahawa orang berketurunan India dan Cina dihalang daripada berpolitik, Malaysia mempunyai parti politik berdasarkan etnik-etnik tersebut, seperti Kongres India Malaysia (MIC) dan Persatuan Cina Malaysia (MCA).

Menurut Shad Saleem, dakwaan tersebut "tidak berdasarkan undang-undang tetapi adalah nakal dan berbaur perkauman".