Pemandangan umum menunjukkan Menara Berkembar Petronas dan pelbagai bangunan komersial lain, seperti yang dilihat dari Menara KL di Kuala Lumpur pada 24 Julai 2020. ( AFP / Mohd Rasfan)

Laporan lama Wall Street Journal mengenai rasuah di Malaysia disebar semula dalam talian

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Pelbagai catatan Facebook berkongsi tangkapan skrin satu artikel yang menyatakan "menurut Wall Street Journal, Malaysia adalah negara paling korup di dunia untuk menjalankan perniagaan pada 2022". Tangkapan skrin tersebut termasuk carta kedudukan yang dikreditkan kepada akhbar Amerika itu dan Transparency International, badan pemerhati anti-rasuah. Namun begitu, dakwaan itu tidak benar. Laporan Wall Street Journal itu sebenarnya diterbitkan pada tahun 2012. Tinjauan yang ditunjukkan dalam laporan itu telah dihentikan, kata badan pemerhati anti-rasuah antarabangsa tersebut kepada AFP.  

Tangkapan skrin artikel daripada laman web bernama The Coverage telah diterbitkan di Facebook di sini pada 26 Jun 2022, di mana ia telah dikongsi melebihi 170 kali.

Tajuk artikel itu berbunyi: "Wall Street Journal: Malaysia Menduduki Tangga Pertama Di Dunia Sebagai Negara Paling Korup Untuk Menjalankan Perniagaan". 

Carta yang disertakan bertajuk "Kos Menjalankan Perniagaan - Peratusan syarikat yang mengatakan rasuah daripada pesaingnya telah merugikan perniagaan mereka pada tahun lalu."

Teks pada akhir laporan tersebut nampaknya mengkreditkan maklumat tersebut kepada Transparency International dan surat akhbar kewangan Wall Street Journal.

Keterangan catatan itu menyatakan: "AKHIRNYA DPT JUGAK PINGAT EMAS.."

Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 21 Julai 2022

Malaysia telah dilanda pelbagai skandal rasuah sebelum ini, termasuk skim 1MDB bernilai berbilion dolar yang menyumbang kepada kejatuhan bekas Perdana Menteri Najib Razak pada tahun 2018. 

Tangkapan skrin itu beredar dengan dakwaan serupa dalam bahasa Malaysia di sinisini dan sini.

Ia juga muncul dengan dakwaan dalam bahasa Inggeris di sini di Facebook dan di sini, di mana ia telah dikongsi lebih daripada 4,000 kali.

Walau bagaimanapun, dakwaan itu tidak benar.

Laman web umpan klik (clickbait) The Coverage telah menerbitkan laporan yang serupa tentang Malaysia menduduki tempat pertama tinjauan rasuah sekurang-kurangnya dua kali pada tahun 2022 -- pada Januari dan Jun -- tetapi dengan tajuk berita yang berbeza.

Kedua-dua laporan tersebut memberi kredit kepada Wall Street Journal dalam laporannya.

Carian kata kunci menjumpai laporan ini, diterbitkan oleh Wall Street Journal pada 11 Disember 2012.

Diterjemahkan dari bahasa Inggeris, laporan itu bertajuk: "Malaysia Menjuarai Kedudukan Rasuah."

Laporan itu memetik tinjauan di kalangan eksekutif korporat oleh badan pemerhati anti-rasuah antarabangasa Transparency International, yang mendapati 50 peratus di Malaysia telah menjawab ya apabila ditanya sama ada mereka berpendapat "mereka telah kehilangan kontrak pada tahun yang lepas kerana pesaing mereka membayar rasuah".

Laporan Wall Street Journal itu juga menyertakan carta yang sama seperti yang diterbitkan dalam artikel-artikel The Coverage. 

Laporan-laporan The Coverage adalah hampir sama dengan artikel Wall Street Journal tersebut.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin bagi carta dan artikel dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan laporan Wall Street Journal dari tahun 2012 (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin bagi carta dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan carta Wall Street Journal asal dari tahun 2012 (kanan)
Perbandingan tangkapan skrin bagi artikel dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan laporan Wall Street Journal asal dari tahun 2012 (kanan)

Artikel The Coverage versi Januari 2022 juga mengandungi pautan kepada video Wall Street Journal dari 2012 mengenai rasuah di Malaysia.

Indeks rasuah

Transparency International memberitahu AFP pada 11 Julai 2022 bahawa kali terakhir ia menjalankan tinjauan di kalangan para ahli perniagaan untuk Indeks Pembayar Rasuah (Bribe Payers Index) adalah pada November 2011.

AFP mendapati Transparency International telah menerbitkan catatan blog di sini pada September 2012 dan mengemas kininya sebulan kemudian di sini dengan pautan kepada set data lengkap, yang kemudiannya digunakan dalam laporan Wall Street Journal.

Jurucakap Shubham Kaushik berkata organisasi itu "memutuskan untuk menghentikan tinjauan tersebut kerana isu pembiayaan dan demi memberi tumpuan kepada isu-isu yang lebih selaras dengan matlamat sokongan kami".

Organisasi yang berpusat di Berlin itu masih menerbitkan Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perceptions Index), yang pada tahun 2021 meletakkan Malaysia di kedudukan 62 daripada 180 negara.

Denmark, Finland dan New Zealand adalah negara-negara yang paling kurang kegiatan rasuah di kedudukan teratas indeks, manakala Sudan Selatan berada pada kedudukan terbawah dalam senarai itu di tangga ke-180.