Sijil vaksin yang dikongsi dalam talian adalah dari 1906, kata ahli sejarah

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Jumaat 29/07/2022 pukul 04:53
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Indonesia, AFP Malaysia
Foto sijil vaksin telah dikongsi dalam pelbagai catatan di Facebook bersama dakwaan bahawa ia menunjukkan "sijil vaksin tertua di dunia" yang dikeluarkan pada 1721 di bawah Empayar Uthmaniyah. Walau bagaimanapun, tuntutan itu adalah palsu. Ahli sejarah memberitahu AFP bahawa dokumen itu, kebanyakannya ditulis dalam bahasa Turki Uthmaniyah, bertarikh dari 1906 — dan bukan sijil vaksin tertua di dunia.

Catatan itu dikongsi di Facebook di sini pada 4 Jun 2022.

Kapsyen catatan tersebut sebahagian berbunyi: "Sijil vaksin yang tertua di dunia ini dipercayai bertulis pada tahun 1721, yang dikeluarkan oleh Kerajaan Empayar Uthmaniyah di Turki dahulu .

"Selepas satu abad baru Edward Jenner klaim yang dia orang pertama jumpa vaxx ni hehehe."

Catatan itu memaparkan gambar dokumen dengan teks dalam bahasa Perancis yang berbunyi "Sijil Vaksin" manakala selebihnya ditulis dalam bahasa Turki Uthmaniyah.

Image
Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 28 Julai 2022

Empayar Uthmaniyah memerintah banyak bahagian di Timur Tengah, Eropah Timur dan Afrika Utara selama lebih enam abad sebelum Republik Turki diisytiharkan pada tahun 1923.

Gambar yang sama telah dikongsi dengan dakwaan serupa di Facebook di sini dan di sini.

Imej dan dakwaan itu beredar pula dalam bahasa Indonesia di Facebook, Twitter dan TikTok.

Walau bagaimanapun, tuntutan itu adalah palsu.

Pelbagai pakar berkata sijil vaksin dikeluarkan pada tahun 1906, dan bukan pada tahun 1721 seperti yang didakwa oleh dakwaan yang mengelirukan.

Benjamin Fortna, profesor sejarah dan pengarah Fakulti Pengajian Timur Tengah dan Afrika Utara di University of Arizona, berkata tahun di bahagian bawah sijil sepadan dengan 1906 dalam kalendar Gregorian.

"Tarikh yang diberikan pada penghujung dokumen menyatakan 27 Agustos 1322, yang diberikan dalam kalendar Rumi (suria pentadbiran Uthmaniyah)," katanya kepada AFP, sambil menambah bahawa dia menggunakan penukaran kalendar dalam talian yang disediakan oleh Turkish Historical Society (Turk Tarih Kurumu).

"Apa yang jelas dokumen itu bertarikh 1906," katanya.

Renee Worringer, profesor bersekutu dalam sejarah Islam dan Timur Tengah di University of Guelph di Kanada dan pengarang buku "A Short History of the Ottoman Empire", juga memberitahu AFP bahawa tahun di bahagian bawah sijil ialah 1322, yang "kemungkinan besar" sepadan dengan 1906 dalam kalendar Gregorian.

Nukhet Varlik, profesor bersekutu sejarah di Rutgers University di New Jersey dan pengarang buku "Plague and Empire in the Early Modern Mediterranean World: The Ottoman Experience, 1347-1600", bersetuju tarikh pada kalendar Gregorian ialah 1906.

Menurut Varlik, teks pada sijil itu menunjukkan ia diberikan kepada seorang lelaki beragama Kristen Ortodoks Yunani berusia 22 tahun dari Istanbul yang mendapat vaksin ketiga, walaupun tidak disebutkan jenis vaksin yang diterima.

"Kita tahu bahawa banyak vaksin yang berbeza terhadap penyakit berjangkit (contohnya cacar, wabak, taun, tipus, rabies, dan lain-lain ) telah diberikan" pada masa itu, kata Varlik.

Beliau berkata sijil vaksin itu "sudah tentu bukan yang tertua di dunia" dan menunjuk kepada kajian yang menyerlahkan contoh dokumen vaksinasi Uthmaniyah dari 1903.

Jewish Museum Berlin berkata sijil vaksinasi tertua dalam arkib mereka ialah "sijil vaksinasi cacar lembu" yang dikeluarkan pada 1844 kepada seorang lelaki yang dilahirkan di sebuah bandar yang kini sebahagian daripada Republik Czech.

AFP sebelumnya menafikan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Indonesia dakwaan mengelirukan bahawa vaksin pertama di dunia dibangunkan di bawah Empayar Uthmaniyah.

Laporan AFP itu menyatakan bahawa doktor Inggeris Edward Jenner menciptakan vaksin cacar pertama, yang juga merupakan vaksin pertama yang berjaya dihasilkan, pada 1796.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami