Orang ramai berjalan melepasi patung Merlion di Singapura pada 24 Mac 2022. ( AFP / Roslan Rahman)

Catatan media sosial palsu berkongsi sekatan pandemik 2021 Singapura sebagai 'baru untuk 2022'

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Satu imej telah dikongsi berulang kali di Facebook oleh pengguna di Singapura bersama-sama dakwaan bahawa langkah penjarakan sosial baru akan diperkenalkan pada Ogos 2022. Ini tidak benar. Imej itu pada asalnya dimuat naikkan ke akaun media sosial rasmi kerajaan Singapura pada tahun 2021. Bukan semua langkah-langkah yang diterangkan dalam infografik itu berkuat kuasa pada masa kini, menurut garis panduan terkini kerajaan Singapura.

Infografik itu dikongsikan di Facebook di sini pada 18 Julai 2022.

Infografik berbahasa Inggeris itu berbunyi: "Langkah-langkah Berbeza untuk Persekitaran Berisiko Tinggi", di mana peraturan berlainan diguna pakai untuk dua kumpulan yang berbeza -- iaitu orang yang telah divaksinasi sepenuhnya dan orang yang tidak menerima vaksin -- "Dari 10 Ogos".

Kapsyennya menyatakan: "Kan da start balik.."

Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 25 Julai 2022

Singapura melonggarkan sekatan virusnya di awal tahun 2022, seperti yang dilaporkan di sini dan sini.

Penduduk Singapura tidak perlu lagi memakai topeng muka apabila berada di luar, manakala had saiz kumpulan dinaikkan kepada 10 pada Mac 2022, meningkat daripada lima sebelum ini, dan kemudiannya pada April 2022 tiada had yang dikenakan.

Singapura telah mengalami peningkatan kes Covid -- Kementerian Kesihatan negara itu telah memberi amaran sebelum ini pada akhir Jun 2022 bahawa peningkatan itu didorong sebahagian besarnya oleh subvarian Omicron.

Pada 5 Julai 2022, Menteri Kesihatan Singapura Ong Ye Kung memberitahu parlimen bahawa kerajaan tidak akan menolak penguatkuasaan sekatan pandemik yang "lebih ketat" pada masa depan, tetapi ia akan berusaha untuk "mengelakkannya".

Imej yang sama turut dikongsikan dengan dakwaan serupa di sini, sini dan sini.

Dakwaan itu, bagaimanapun, tak benar.

Carian kata kunci untuk topik yang sama mendapati infografik itu diterbitkan di Gov.sg, halaman Facebook rasmi kerajaan Singapura, pada 10 Ogos 2021.

Diterjemahkan dari bahasa Inggeris, kapsyen catatan itu menyatakan: "Mulai 10 Ogos 2021, langkah pengurusan keselamatan berdasarkan status vaksinasi (VDS) akan diperkenalkan untuk persekitaran berisiko lebih tinggi.

"Individu yang telah divaksin sepenuhnya akan dapat mengambil bahagian dalam lebih banyak aktiviti, termasuk menjamu selera di kedai F&B, serta aktiviti sukan dalaman tanpa topeng muka.️

"*Pembetulan: Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah boleh dimasukkan ke dalam kumpulan 5 orang di kedai F&B jika mereka dari rumah yang sama."

Infografik yang sama turut dikongsi di akaun Twitter rasmi kerajaan Singapura di sini pada 10 Ogos 2021.

Sebagai respons kepada catatan yang mengelirukan, kerajaan Singapura berkata bahawa infografik yang lama sedang disebarkan semula dengan dakwaan palsu.

"Versi infografik Gov.sg yang telah disunting sedang beredar dalam talian. Ia mendakwa bahawa langkah pengurusan keselamatan VDS akan berkuat kuasa pada 10 Ogos 2022," menurut catatan yang diterbitkan di halaman Facebook kerajaan Singapura pada 19 Julai 2022.

“Ini adalah palsu dan mengelirukan, dan kami menggalakkan orang ramai untuk tidak mengongsikannya.

"Infografik itu sebenarnya dihasilkan dan disebarkan tahun lepas, pada 10 Ogos 2021, sebagai sebahagian daripada pengumuman Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian mengenai Langkah Pengurusan Keselamatan COVID-19 pada masa itu."

Jurucakap Kementerian Komunikasi dan Maklumat Singapura, yang mengendalikan halaman Facebook Gov.sg, secara berasingan memberitahu AFP: "Kami sedar tentang infografik yang mengelirukan itu, dan ia telah ditangani di sini.

"Orang ramai dinasihati untuk merujuk kepada saluran rasmi kerajaan untuk maklumat yang disahkan dan dikemas kini."

Langkah-langkah penjarakan sosial terkini telah disiarkan di halaman Facebook kerajaan Singapura dan halaman Facebook Kementerian Kesihatan Singapura pada 22 April 2022.

COVID-19