Video animasi dikongsikan dengan dakwaan palsu tentang 'ikan duyung sebenar'

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.
  

Empat video makhluk misteri dengan ekor ikan panjang tersebar dalam catatan Facebook dan TikTok yang mendakwa mereka menunjukkan "ikan duyung sebenar". Keempat-empat video itu telah ditonton jutaan kali. Namun, klip-klip itu adalah hasil ciptaan digital dua artis kesan khas dari Nicaragua. Sebelum ini, karya mereka yang lain juga disalahgambarkan sebagai kehidupan sebenar.

Video pertama dimuat naikkan pada 14 April 2022 di TikTok di sini, di mana ia telah ditonton lebih daripada 35,800 kali.  

Teks yang tertindih pada video berbunyi: "VIRAL" dan "Penampakan Sosok Ikan Duyung Asli India". 

Tangkapan skrin catatan mengelirukan pertama, diambil pada 10 Ogos 2022

Rakaman itu juga dimuat naikkan di Facebook di sini dan di sini

Video kedua, yang menunjukkan satu makhluk berekor dengan rambut panjang yang bertenggek di atas batu, telah ditonton lebih daripada 3.7 juta kali setelah dikongsikan di sini di Facebook pada 23 Julai 2022.

Teks yang tertindih pada video berbunyi: "makhluk apa ni?” dan keterangannya menyatakan: "apa benda ni".

Tangkapan skrin catatan mengelirukan kedua, diambil pada 8 Ogos 2022

Video itu telah ditonton lebih daripada 540,000 kali setelah dikongsikan dengan dakwaan serupa di Facebook di sini dan sini

Video ketiga yang menunjukkan makhluk yang serupa sedang duduk di atas struktur konkrit yang terletak di tasik telah ditonton lebih daripada 500 kali selepas dikongsikan di sini di Facebook pada 1 April 2022.

Kapsyennya menyatakan: "Mama Sya cerita ikan duyung cantik tapi" diikuti oleh emoji sedih dan keliru berfikir. 

Tangkapan skrin catatan mengelirukan ketiga, diambil pada 9 Ogos 2022

Video itu juga tersebar di Facebook di sini dan di TikTok di sini, di mana ia telah ditonton lebih daripada 188,700 kali. 

Video keempat, yang memaparkan satu makhluk merangkak di atas batu besar, dimuat naikkan di TikTok di sini pada 3 Oktober 2021.

Kapsyennya menyatakan: “terserempak dengan duyung diatas batu tanpa sengaja”.

Tangkapan skrin catatan mengelirukan keempat, diambil pada 19 Ogos 2022

Video itu telah ditonton lebih daripada 26,800 kali. 

Keempat-empat video itu juga beredar dengan dakwaan yang sama dalam pelbagai bahasa, seperti bahasa Tagalog, bahasa Cinabahasa Inggeris dan bahasa Indonesia

Walau bagaimanapun, keempat-empat video tersebut merupakan hasil ciptaan digital.

Ikan duyung CGI

Carian imej terbalik bagi tangkapan skrin daripada video dan carian kata kunci menggunakan Google mendapati klip tersebut telah dimuat naikkan sebelum ini di saluran YouTube JJPD Productions.

Saluran itu, yang mempunyai lebih daripada 440,000 pelanggan, kerap menyiarkan video kesan khas yang nampaknya menunjukkan makhluk mitos.

Huraian saluran itu berbunyi: "Kami ialah dua saudara-beradik YouTuber dari Nicaragua, pencipta video kesan khas, video pertemuan paranormal, filem pendek fiksyen, kisah seram dan banyak lagi."

Ketika dihubungi AFP, Jose Joaquin Perez, salah seorang pencipta di sebalik saluran itu, berkata dia dan saudaranya Jimmy Jose Perez membuat video-video yang beredar di media sosial.

"Semua video dan makhluk dicipta semula secara digital menggunakan program CGI (imej janaan komputer) tertentu. Ikan duyung itu tidak nyata, ia adalah filem pendek paranormal untuk hiburan," katanya.

Video pertama

Klip pertama diambil daripada video yang lebih panjang yang disiarkan di salurannya pada 1 September 2019.

"Ini adalah video paranormal yang kami cipta untuk menghiburkan orang," tulis sebahagian keterangan berbahasa Sepanyol itu.

"Semua imej yang ditunjukkan adalah rekaan semata-mata.

"Video CGI (Imej Janaan Komputer)."

Saluran YouTube itu juga menerbitkan video berasingan pada tahun 2020 yang menerangkan bagaimana animasi ikan duyung tersebut dicipta. 

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin bagi video mengelirukan pertama (kiri) dan video asal tahun 2019 (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin bagi video mengelirukan pertama (kiri) dan video asal tahun 2019 (kanan)

Video kedua

Video kedua dimuat naikkan di saluran YouTube JJPD Productions pada 16 Julai 2022.

Tajuknya dalam bahasa Sepanyol berbunyi: "Ikan duyung yang menakutkan ditangkap dalam video 2022 - Nyata atau mitos?"

Kapsyennya menyatakan video itu dibuat menggunakan imej janaan komputer.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin bagi video mengelirukan kedua (kiri) dan video asal tahun 2022 (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin bagi video mengelirukan kedua (kiri) dan video asal tahun 2022 (kanan)

 

Video ketiga

Klip ketiga diambil daripada satu lagi video JJPD Productions yang dimuat naik pada 15 Februari 2021, bertajuk: "Ikan Duyung yang Mengejutkan Dirakam dengan Kamera di Lagun Xiloa di Nicaragua - dalam Kehidupan Sebenar 2021."

Kapsyennya menjelaskan bahawa video yang dijana komputer itu dicipta oleh Jose Joaquin Perez dan Jimmy Jose Perez.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin bagi video mengelirukan ketiga (kiri) dan video asal Februari 2021 (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin bagi video mengelirukan ketiga (kiri) dan video asal Februari 2021 (kanan)

 

Video keempat

Video keempat diambil daripada rakaman yang disiarkan di saluran YouTube tersebut pada 15 Julai 2021.

Tajuk video berbahasa Sepanyol itu berbunyi: "Ikan duyung menakutkan ditangkap kamera di Lagun Tiscapa di Nicaragua - Fakta atau mitos?"

Dalam kapsyen video juga diisi dengan penjelasan bahawa klip itu dibuat dengan CGI.

 

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin bagi video mengelirukan keempat (kiri) dan video asal Julai 2021 (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin bagi video mengelirukan keempat (kiri) dan video asal Julai 2021 (kanan)

Klip keempat itu turut dipaparkan dalam video kompilasi ini, dengan tajuk: "5 Teratas - Ikan Duyung Ditangkap Oleh Rakaman / kamera dalam kehidupan sebenar (palsu?)".

Video yang dimuat naik ke saluran JJPD Paranormal, saluran YouTube mereka yang lain, pada April 2022 juga memberikan maklumat yang sama dalam bahasa Inggeris: bahawa video-video tersebut adalah video CGI yang mereka buat untuk tujuan hiburan.

AFP pernah membongkar catatan yang menyalahgambarkan video daripada saluran YouTube yang sama, termasuk di sini dan di sini.

19 Ogos 2022 Artikel ini telah dikemas kini untuk menambah satu lagi video yang mengelirukan dan bukti yang berkaitan untuk membongkarkannya.