Imej matahari, yang diambil dari kapal angkasa The Solar Orbiter pada 30 Mei 2020. ( Solar Orbiter/EUI/ESA/NASA / -)

Fenomena aphelion tidak memberi kesan kepada suhu ataupun kesihatan manusia, kata para pakar

Siaran yang dikongsi ratusan kali di Facebook mendakwa bahawa cuaca sangat sejuk di bumi akan terjadi sehingga 22 Ogos 2022 kerana "fenomena aphelion", peristiwa di mana jarak matahari dan bumi terjauh. Siaran itu juga mendakwa peristiwa itu akan menyebabkan orang jatuh sakit. Tetapi dakwaan ini adalah palsu. Para pakar mengatakan bahawa aphelion adalah kejadian tahunan yang tidak memberi kesan kepada suhu bumi ataupun kesihatan manusia.
   

Catatan itu dimuat naikkan pada 19 Jun 2022 di Facebook di sini, di mana ia telah dikongsikan lebih dari 630 kali. 

Keterangan catatan itu berbunyi: “Mulai hari ini hingga 22 Ogos tahun ini, ia akan menjadi lebih sejuk berbanding tahun-tahun sebelumnya. Mereka memanggilnya fenomena Aphelion.

"Mulai esok jam 05.27 kita akan mengalami FENOMENA APHELION , di mana Bumi akan berada sangat jauh dari Matahari. Kita tidak dapat melihat fenomena itu, tetapi kita dapat merasakan kesannya. Ini akan berlangsung sehingga Ogos 2022 .

"Kita akan mengalami cuaca sejuk lebih daripada cuaca sejuk sebelum ini yang akan memberi kesan kepada selsema, batuk, sesak nafas dan lain-lain. Oleh itu, marilah kita sama-sama tingkatkan imun dengan banyakkan minum vitamin atau supplement supaya imunisasi kita kuat. Jarak dari Bumi ke Matahari ialah 5 minit cahaya atau 90,000,000 km . Fenomena aphelion hingga 152,000,000 km . 66% lagi."

Image
Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 10 Ogos 2022

Aphelion berlaku apabila bumi berada pada titik paling jauh dari matahari -- biasanya kira-kira 152 juta kilometer jauhnya. 

Dakwaan yang sama telah dikongsikan lebih dari 400 kali setelah turut muncul di Facebook di sini, di sini, di sini dan di sini.

Tuntutan serupa turut beredar dalam bahasa Indonesia, bahasa Inggeris, bahasa Sepanyol dan bahasa Portugis.

Tetapi dakwaan itu adalah palsu.

Fenomena tidak mempunyai kesan ke atas suhu

Biasanya, jarak antara bumi dan matahari adalah kira-kira 150 juta kilometer -- bukan 90 juta kilometer, seperti didakwa catatan mengelirukan. 

Dua ahli berkata kepada AFP bahawa aphelion -- acara tahunan yang berlangsung tahun ini pada 4 Julai 2022 -- tidak mempunyai kesan ke atas suhu bumi dan kesihatan manusia.

Image
Tangkapan skrin imej yang menunjukkan aphelion 2021. Gambar: NASA

Menurut Andrea Sanchez, ahli astronomi di Institut Fizik, Fakulti Sains di Uruguay, berkata walaupun benar bahawa jarak antara bumi dan matahari berubah semasa aphelion, "perubahan itu sangat minimum" dan tidak cukup ketara untuk memberi kesan kepada suhu bumi.

"Kita mengalami aphelion setiap tahun," kata Sanchez. "Selalu ada kekeliruan, orang-orang percaya bahawa musim dipengaruhi oleh jarak antara bumi dan matahari. Tetapi bukan itu yang berlaku."

Genevieve Soucail, ahli astronomi di Institut Penyelidikan Astrofizik dan Planetologi (IRAP), di Toulouse, Perancis, sependapat dengan Sanchez. 

Peralihan kepada aphelion atau perihelion (titik yang paling hampir dengan matahari di laluan badan angkasa yang mengorbit) "menjana perbezaan kecil dalam fluks bercahaya [yang diterima oleh bumi], tetapi ini adalah sangat minimum dan tidak dikaitkan sama sekali dengan perbezaan cuaca,” kata Soucail.

Menurut kedua-dua pakar itu, perubahan dalam suhu bermusim berlaku kerana variasi dalam insolasi suria -- iaitu tenaga matahari yang sampai ke bumi -- terhasil daripada kecondongan paksi putaran planet kita.

Ini “menentukan bahawa semasa musim tertentu, [planet bumi] menerima lebih banyak sinaran suria di hemisfera selatan, dan semasa musim lainnya, [fenomena yang sama] berlaku di hemisfera utara,” kata Sanchez.

Soucail berkata bahawa "suhu purata pada musim panas di hemisfera utara adalah lebih tinggi daripada di hemisfera selatan," walaupun "bumi lebih jauh dari matahari semasa musim panas di hemisfera utara dan ... perihelion dicapai apabila musim panas di hemisfera selatan."

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan kepada AFP pada 1 Julai 2022 bahawa ia tidak menerbitkan sebarang kajian tentang aphelion dan kemungkinan menjejaskan kesihatan.

Dakwaan tentang aphelion dan kesannya pada suhu bumi sudah bertahun-tahun beredar di media sosial. AFP sebelumnya menerbitkan semakan fakta tentang dakwaan serupa pada tahun 2018. 

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami