Video yang dimanipulasi secara digital ini bukanlah 'letusan Gunung Semeru'

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.
 

Satu video telah ditonton ribuan kali di pelbagai catatan media sosial dengan dakwaan ia menunjukkan letusan Gunung Semeru di Indonesia. Walau bagaimanapun, dakwaan itu tidak benar. Video itu dihasilkan secara digital daripada gabungan imej letusan Gunung Calbuco di Chile dan foto Air Terjun Tumpak Sewu, di kaki Gunung Semeru.

Video berdurasi tujuh saat yang menunjukkan gunung berapi mengeluarkan asap tebal telah dimuat naikkan pada 25 Julai 2022 di Facebook di sini, di mana ia telah ditonton lebih daripada 10,000 kali.

Kapsyennya menyatakan: "Letusan Gunung Berapi Semeru di Jawa Timur, Indonesia". 

Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan, diambil pada 29 Julai 2022

 

Video itu telah ditonton lebih daripada 600 kali setelah turut dikongsi dengan dakwaan serupa di Facebook di sini dan di sini.

Video itu tersebar beberapa minggu selepas  Gunung Semeru, gunung tertinggi di Pulau Jawa, meletus ratusan kali sejak akhir Jun 2022, seperti yang dilaporkan di sini dan di sini.

Video itu pernah beredar dengan dakwaan dalam bahasa Indonesia, bahasa Inggeris, bahasa Cina dan bahasa Perancis apabila Gunung Semeru meletus pada bulan Disember 2021. 

Walau bagaimanapun, dakwaan itu tidak benar. 

Carian imej terbalik di Google menemui video ini, yang dimuat naikkan di TikTok pada 15 Jun 2021. 

Diterjemahkan daripada bahasa Vietnam, kapsyen video itu berbunyi: "Sila gunakan dua perkataan untuk menggambarkan imej landskap semula jadi ini."  

Letusan gunung berapi di Chile

Carian imej terbalik menggunakan Yandex menjumpai foto ini di laman web stok foto Alamy. 

Dirakam oleh jurugambar Cesar Santana, tajuk imej itu ialah: "Letusan Gunung Berapi. Letusan gunung berapi Calbuco di Patagonia Chile pada siang hari. April 2015". 

Lokasi telah diberi sebagai "Puerto Montt, Región de los Lagos, Chile".

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin antara video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan imej Alamy (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin antara video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan imej Alamy (kanan)

Seperti yang dijelaskan oleh akaun Twitter penyemak fakta HoaxEye, animasi letusan gunung berapi nampaknya telah dibuat menggunakan aplikasi seperti Motionleap.

AFP telah menerbitkan dua gambar menunjukkan letusan Gunung Calbuco pada 22 April 2015, di sini dan di sini, yang menunjukkan gumpalan abu dan banjaran gunung yang serupa.

Air terjun di Jawa Timur

Bahagian bawah video dalam catatan yang mengelirukan itu menggunakan foto lama Air Terjun Tumpak Sewu di Jawa Timur, yang diterbitkan pada tahun 2020.

Carian imej terbalik menggunakan Yandex menemui foto ini, yang dimuat naik di laman web bahan reka bentuk grafik Lovepik.com pada 7 Mac 2020.

Tajuk foto tersebut ialah: "Foto Udara Kumpulan Air Terjun Sewu Indonesia".

Air Terjun Tumpak Sewu terletak di kaki Gunung Semeru, Jawa Timur. 

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin foto dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan foto Lovepik.com (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin foto dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan foto Lovepik.com (kanan)

Pemandangan serupa Air Terjun Tumpak Sewu dari udara juga pernah diambil oleh jurugambar lain, seperti di sini, di sini dan di sini.

Kristianto, penyelaras pasukan pengurangan bahaya gunung berapi di Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia, mengesahkan bahawa video itu tidak menunjukkan gunung berapi di Jawa Timur itu.

“Berkaitan dengan video di atas, terdapat gambar Air Terjun Tumpak Sewu dengan latar belakang gunung meletus, tetapi yang pasti latar belakang gunung yang meletus itu bukan Gunung Semeru,” katanya kepada AFP pada 12 Disember 2021. 

Video AFP ini, yang dimuat naikkan pada 7 Disember 2021, menunjukkan letusan Gunung Semeru.

AFP pernah membongkar dakwaan-dakwaan tidak sahih yang lain tentang letusan Gunung Semeru pada tahun 2021 di sini dan pada tahun 2020 di sini