Seorang wanita berjalan di sepanjang Pintasan Saloma di Kuala Lumpur pada 3 Julai 2020. ( AFP / Mohd Rasfan)

Catatan palsu mendakwa 'Malaysia mempunyai hutang kedua terbesar di Asia selepas Sri Lanka'

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.
 

Catatan Facebook yang dikongsi ratusan kali mendakwa Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran bahawa Malaysia mempunyai "hutang kedua terbesar di Asia selepas Sri Lanka". Walau bagaimanapun, dakwaan tersebut tidak benar. Pertubuhan itu tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian dan hutang Malaysia juga bukan yang kedua terbesar di Asia.

Dakwaan itu diterbitkan di Facebook di sini pada 13 Julai 2022, di mana ia telah dikongsi lebih daripada 90 kali.

Catatan itu termasuk pautan ini ke laman web bernama Worlddebtclocks.com, yang nampaknya menunjukkan hutang negara Malaysia melebihi 696.8 bilion ringgit.

Sebahagian kapsyennya menyatakan: "*AMARAN TAHAP MERAH NI*

"*Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah memberi amaran bahawa Malaysia berada dalam dilema ekonomi yang besar. Negara hutang kedua terbesar di Asia Selepas Sri Lanka adalah Malaysia.*"

Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 16 Ogos 2022

 

Dakwaan itu beredar berikutan kejatuhan kerajaan Sri Lanka pimpinan Presiden Gotabaya Rajapaksa dan Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa pada 9 Julai 2022 selepas krisis ekonomi negara itu mencetuskan protes dan menyebabkan 22 juta orang menghadapi gangguan bekalan elektrik berpanjangan selama berbulan-bulan, inflasi yang kian meningkat dan kekurangan makanan, bahan api dan petrol, lapor AFP di sini.  

Tuntutan itu telah dikongsikan lebih daripada 100 kali selepas ia turut muncul di sini, di sini dan di sini di Facebook.

Dakwaan itu juga beredar dalam bahasa Inggeris di sini dan sini, di mana ia telah dikongsikan lebih daripada 400 kali.  

Namun, dakwaan itu tidak benar.

Sehingga 17 Ogos 2022, carian kata kunci di Google di sini tidak menemui laporan rasmi atau liputan berita yang boleh dipercayai tentang IMF memberi amaran kepada Malaysia mengenai krisis hutangnya.

Tiada krisis hutang

Carian di laman web IMF di sini tidak menemui sebarang kebimbangan mengenai tahap hutang Malaysia.

Siaran akhbar daripada organisasi itu mengenai kerjanya di Malaysia, yang diterbitkan pada 28 April 2022, mengunjurkan ekonomi negara itu akan "teguh dalam jangka sederhana", dengan kenaikan 5.75 peratus didorong oleh permintaan luar dan dalam negeri disebabkan pengurangan sebahagian besar sekatan Covid-19 dan kadar vaksinasi yang tinggi.

Walau bagaimanapun, IMF juga menyatakan bahawa pandemik itu boleh membawa kepada "kerugian KDNK yang tetap" dan pemulihan ekonomi yang tidak sekata, dengan risiko yang lebih banyak akibat krisis pandemik yang berterusan dan perang di Ukraine.

Menteri Kewangan Zafrul Aziz menggunakan akaun Facebooknya untuk menafikan tuntutan tersebut, dengan memuat naikkan penerangannya di sini pada 15 Julai 2022.

Catatan tersebut mengandungi tangkapan skrin catatan mengelirukan yang bertanda perkataan "PALSU".

Sebahagian keterangan catatan itu berbunyi: "IMF TIDAK PERNAH menyatakan Malaysia mengalami masalah ekonomi, sebaliknya mereka yakin dengan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia. Baru-baru ini, IMF telah menyuarakan keyakinan bahawa KDNK negara akan berkembang pada kadar 5.75% tahun ini.

"Banyak negara di Asia mempunyai kadar hutang yang lebih tinggi dari Malaysia. Antaranya negara maju seperti Jepun dengan kadar hutang sebanyak 263.1% daripada KDNK dan jiran kita Singapura dengan kadar hutang sebanyak 132.8% daripada KDNK. Kalau nak dibandingkan, hutang Sri Lanka ialah 107.2% daripada KDNK berbanding Malaysia pada kadar 63.4% sahaja. Adakah Jepun dan Singapura juga bakal bankrap lebih awal dari Malaysia?"

Zafrul juga memberikan penjelasannya dalam bentuk video di sini, yang dimuat naikkan pada hari yang sama.  

 

KDNK merujuk kepada keluaran dalam negeri kasar atau gross domestic product (GDP).

Di bawah ialah carta IMF yang menunjukkan hutang kerajaan pusat empat negara itu sehingga 2020:    

Tangkapan skrin carta hutang kerajaan pusat (peratus daripada KDNK) ( IMF)

Anggaran hutang rasmi Malaysia terkini adalah lebih tinggi daripada jumlah yang ditunjukkan dalam catatan yang mengelirukan itu. 

Hutang negara Malaysia mencecah 979.8 bilion ringgit, atau 63.4 peratus daripada KDNK, pada akhir tahun 2021, kata Kementerian Kewangan kepada Dewan Rakyat pada Mac 2022.

Hutang itu meningkat kepada 1.045 trilion ringgit, atau 63.8 peratus daripada KDNK, pada akhir Jun 2022, kata Kementerian Kewangan pada 21 Julai. 

Sian Fenner, ketua ahli ekonomi di firma penasihat global Oxford Economics, memberitahu AFP bahawa pelbagai metrik berbeza digunakan untuk menentukan sama ada sesebuah negara mampu membayar hutangnya dan sama ada tahap hutangnya mampan.

Menurut Fenner, faktor yang boleh menyebabkan penurunan penarafan kredit termasuk: peratusan hutang awam KDNK; jumlah hutang luar negara berbanding hutang dalam negara, kerana hutang dalam mata wang asing boleh menyebabkan ekonomi tidak stabil jika terdapat perubahan dalam sentimen pelabur asing; dan nisbah rizab asing kepada import.

"Perlu diambil perhatian bahawa program rangsangan fiskal besar yang dilaksanakan [di Malaysia] sejak 2020 adalah perlu untuk mengurangkan kesan pandemik dan kini menyokong pemulihan negara. Tetapi ia telah membawa kepada peningkatan dalam tahap hutang. Nisbah kos pembayaran hutang kepada hasil Malaysia juga meningkat," katanya.

Walau bagaimanapun, prospek pertumbuhan Malaysia yang kukuh dan harga minyak yang lebih tinggi mengurangkan risiko penurunan penarafan kredit, manakala negara juga berada dalam kedudukan kukuh untuk terus membayar hutangnya, kata Fenner.

Agensi penarafan kredit global termasuk Moody's, Fitch Ratings dan S&P Global Ratings menyatakan ekonomi Malaysia kekal stabil.

Hutang Malaysia bukanlah yang kedua tertinggi di Asia.

Data yang tersedia secara umum menunjukkan bahawa Jepun dan China mempunyai hutang berjumlah trilion dolar Amerika berbanding hutang Malaysia yang hanya mencecah tahap bilion.