Gambar penjara Switzerland disalahtafsirkan sebagai sel penjara VIP untuk Najib Razak
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Jumaat 26/08/2022 pukul 14:25
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Gambar yang dikatakan menunjukkan "sel penjara VIP" telah dikongsi di Facebook di sini pada 24 Ogos 2022.
Kapsyen cataran itu berbunyi: "Makcik semalam nangis2 ingatkan kat Nabi rupanya Najib. Makcik oo
"Makcik,penjara VIP selesa makcik bukan macam penjara orang biasa,takut Penjara Vip ni lagi selesa dari rumah makcik. Politik je makcik jangan taksub sangat."
Catatan itu dimuat naikkan sehari selepas mahkamah tertinggi mengekalkan hukuman penjara 12 tahun ke atas bekas perdana menteri Najib Razak atas tuduhan rasuah dalam skandal kewangan 1MDB pada 23 Ogos 2022.
Beliau terus dibawa dari Mahkamah Persekutuan di Putrajaya ke Penjara Kajang.
"Makcik" di catatan Facebook itu merujuk kepada para penyokong Najib yang memberi tampil memberi sokongan di Mahkamah Persekutuan pada hari itu.
Imej itu telah dikongsikan lebih daripada 4,700 kali setelah beredar di Facebook di sini, di sini dan di sini; dan di Twitter di sini dan di sini.
Komen-komen pada siaran itu mencadangkan beberapa pengguna percaya bahawa foto itu menunjukkan bilik penjara yang menempatkan Najib.
"Tiada apa-apa yang baru, dijangka ini akan diberikan kepada VIP," kata satu pengguna Facebook. "Jadi seperti cuti sehingga hari dia akan diampunkan...?"
"Dah macam hotel. Untung lah jadi banduan kayangan, sebab itu ke penjara, lagi OK," kata seorang lagi.
Bagaimanapun, sindiran bahawa Najib akan dipenjarakan di dalam sel penjara "VIP" seperti yang ditunjukkan dalam gambar adalah palsu.
Penjara Switzerland
Carian imej terbalik di TinEye, diikuti carian kata kunci di Google, AFP dapat mengesan foto asli diterbitkan kepada Keystone-SDA, agensi akhbar Switzerland.
Tajuk gambar dalam bahasa Jerman itu berbunyi: "Penjara Switzerland 'Champ-Dollon'".
Keterangan bahasa Perancis foto itu berbunyi: "Pemandangan sel untuk tiga banduan di penjara tambahan baharu, semasa perasmian tambahan itu, pada 25 Julai 2011 di Thonex, berhampiran Geneva".
Di bawah ialah perbandingan foto yang digunakan dalam siaran mengelirukan (kiri) dan foto asli daripada Keystone-SDA (kanan):
Gambar serupa boleh dilihat di laman web Reuters di sini.
Kapsyen Reuters juga mengatakan foto itu menunjukkan sel tiga orang di penjara Champ-Dollon dan diambil pada 25 Julai 2011.
Layanan di penjara
Jabatan Penjara Malaysia menolak tuntutan itu di laman Facebook mereka pada 24 Ogos 2022.
Siaran itu mengandungi pautan kepada dakwaan yang mengelirukan itu, dengan kapsyen seperti berikut: "Hentikan penyebaran maklumat palsu".
Teks yang ditindih pada foto itu bertulis "Palsu".
Video Najib diiringi kenderaan polis menuju ke penjara Kajang dikongsi secara meluas di media sosial dan dimuat naik di laman YouTube milik The Star di sini.
Beberapa komen mengatakan Najib sudah menerima layanan istimewa kerana "masuk penjara pun ada escort" dan dibawa ke penjara "naik kereta mewah".
Bagaimanapun, Jabatan Penjara memberitahu portal berita Inggeris tempatan Free Malaysia Today bahawa Najib tidak akan menerima sebarang layanan istimewa dan bahawa semua banduan akan dilayan sama.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami