Ini adalah foto paip air di Thailand, bukan di Malaysia

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.
  

Imej paip air yang separa tersumbat telah dikongsikan ribuan kali di pelbagai catatan Facebook berserta dakwaan bahawa ia menunjukkan keadaan infrastruktur air yang teruk di Malaysia. Gambar paip yang terhakis itu tulen, namun ia dirakam di Thailand beberapa tahun lalu.

Gambar paip air yang menjijikkan itu dimuat naikkan di sini di Facebook pada 14 Ogos 2022, di mana ia kemudiannya dikongsikan lebih daripada 3,000 kali.

Sebahagian daripada kapsyennya menyatakan: "Beginilah rupa paip air yang membawa air ke rumah anda."

Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 23 Ogos 2022

Imej itu telah dikongsikan lebih daripada 2,000 kali setelah turut disebar berserta dakwaan serupa di Facebook di sini, di sini dan di sini.

Komen-komen pada catatan Facebook mencadangkan banyak orang percaya bahawa foto itu menunjukkan water paip di Malaysia.

"Inilah yg kerajaan katakan air bersih whalhal dlm batang paip tu penuh kerat," kata satu pengguna Facebook.

Seorang lagi menulis: "Patut la banyak rakyat Malaysia ni ke hospital, rupanya mcm ni air yg kita guna.."

Berikut tangkapan skrin komen pengguna Facebook: 

Tangkapan skrin komen pengguna Facebook

Walau bagaimanapun, dakwaan itu tidak benar.

Carian imej terbalik menemui catatan bertarikh 1 Mei 2017 ini di akaun Facebook milik Metropolitan Waterworks Authority (MWA), atau Pihak Berkuasa Kerja Air Metropolitan, di Thailand, yang meliputi kawasan metropolitan Bangkok. 

Catatan MWA itu merujuk kembali kepada catatan ini, yang dimuat naikkan seorang warga Bangkok pada 16 April 2016. 

Catatan MWA tahun 2017 itu mengatakan bahawa saluran paip air itu tidak lagi digunakan sejak April 2016, selepas ia dialihkan dari Lat Krabang, pinggir bandar timur Bangkok. Ia menambah bahawa bahan kekuningan di dalam saluran paip itu terbentuk selepas masa yang lama akibat zarah-zarah yang terdapat dalam air.

MWA menjelaskan bahawa walaupun paip itu tersumbat tetapi air di dalam paip adalah berkualiti baik dan air daripada paip tersebut telah dikumpul untuk pengujian oleh saintis.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin gambar daripada catatan yang mengelirukan (kiri) dan gambar asli di catatan Facebook tahun 2016 (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin gambar daripada catatan yang mengelirukan (kiri) dan gambar asli di catatan Facebook tahun 2016 (kanan)

Sebelum ini, pada tahun 2019, AFP telah membongkar dakwaan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Perancis yang mengatakan foto paip itu berasal daripada negara-negara di benua Afrika.