Ini imej wanita kaum Ainu dari Jepun, bukan 'ratu lanun Ching Shih dari China'

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Gambar hitam putih seorang wanita telah dikongsi ratusan kali dalam catatan media sosial yang mendakwa ia menunjukkan ratu lanun Ching Shih dari China, yang aktif pada awal abad ke-19. Walau bagaimanapun, dakwaan itu tidak benar. Foto itu sebenarnya menunjukkan seorang wanita dari suku kaum Ainu, yang tinggal di Pulau Hokkaido di Jepun. Gambar itu mungkin diambil pada awal abad ke-20, menurut para pakar.

Foto hitam putih seorang wanita dimuat naikkan di Facebook di sini pada 20 Mac 2021, di mana ia telah dikongsikan lebih daripada 440 kali.

Kapsyennya menyatakan: "Siapakah dia sebenarnya dan bagaimana seorang wanita boleh menguasai Laut China Selatan?"

Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 2 September 2022

Kapsyen itu juga menyertakan pautan ke satu laporan bertajuk "Ching Shih: Ratu lanun Asia yang digeruni."

Lanun Cina Ching Shih -- nama yang bermaksud "isteri Ching" dalam bahasa Kantonis -- mendominasi pantai wilayah Guangdong di tenggara China pada dekad pertama abad ke-19.

Ching Shih ialah seorang pelacur bernama Shih Yang apabila dia bertemu dengan lanun tempatan bernama Ching I, atau Cheng I. Selepas berkahwin dengannya pada tahun 1801, dia menyertai suaminya untuk memerintah armada lanun Bendera Merah. Selepas kematian Ching I pada tahun 1807, dia mengambil alih kedudukannya sebagai ketua mereka.

Pada kemuncak kuasanya, Ching Shih -- juga dikenali sebagai Cheng I Sao, atau "isteri Cheng I" -- mengetuai sekitar 70,000 lanun menaiki 1,200 kapal, jauh lebih besar daripada tentera empayar China dan armada Sepanyol.

Dia juga terkenal kerana mengekalkan kod undang-undang yang ketat untuk lanunnya: mencuri dari penduduk kampung atau dari perbendaharaan komunal dan serangan seksual terhadap tawanan boleh dihukum sehingga mati.

Ratu lanun itu bersara pada tahun 1810 selepas menerima tawaran pengampunan daripada kerajaan dinasti Qing dan meninggal dunia pada tahun 1844 pada usia 69 tahun.

Foto itu tersebar bersama dakwaan serupa di sini di Facebook pada tahun 2022 dan di sini di Instagram pada tahun 2020.

Ia juga muncul berserta dakwaan dalam bahasa Inggeris, bahasa Indonesia, bahasa Perancis, bahasa Itali, bahasa Sepanyol, bahasa Portugis dan bahasa Sweden.

Walau bagaimanapun, dakwaan mengenai imej itu tidak benar.

Carian imej terbalik terhadap foto tersebut menemui imej yang sama di laman web foto stok Alamy, yang mengenal pasti wanita itu sebagai seseorang daripada kaum Ainu, suku orang asli yang kebanyakannya tinggal di Pulau Hokkaido, di utara Jepun.

Foto itu dikreditkan kepada CPA Media, sebuah syarikat di Thailand milik orang British yang mempunyai perpustakaan stok pelbagai imej sejarah dan kontemporari dari Asia.

CPA Media juga telah mendigitalkan koleksi mereka dalam perpustakaan imej dalam talian yang dipanggil "Pictures from History", atau "Gambar dari Sejarah".

Dengan menaip kata kunci "wanita Ainu" dalam laman web mereka di sini, AFP menemui foto itu yang diberi tajuk: "Jepun: Wanita Ainu, Hokkaido, c. 1900".

Di bawah ialah tangkapan skrin foto di laman web Pictures from History:

Tangkapan skrin foto di laman web Pictures from History

Ketika dihubungi AFP, David Henley, pengarah urusan CPA Media, mengatakan: "Wanita dalam gambar itu memakai kostum Ainu, saya tidak dapat melihat sebab apa pun Ching Shih memakai kostum ini."

Kaum Ainu

Kazuyoshi Otsuka, profesor emeritus di Muzium Etnologi Kebangsaan, yang terletak di bandar Osaka, Jepun, dan pengarang buku "Ainu, Kaihin to Mizube no Tami" (Ainu: Penduduk Tepi Laut dan Tepi Air), mengesahkan bahawa gambar itu menunjukkan seorang wanita asli suku kaum Ainu.

Wanita itu "memakai pakaian dengan motif Ainu, yang biasa dijumpai di wilayah Iburi di Hokkaido, termasuk Shiraoi," kata Otsuka kepada AFP. "Pakaian dan barang kemas yang dipakai oleh wanita dalam gambar ini mencadangkan bahawa dia memakai pakaian rasmi Ainu."

Pekan Shiraoi, yang kini menjadi lokasi Muzium Ainu Negara, telah lama menjadi pusat pelancongan berkaitan kaum Ainu walaupun sebelum Perang Dunia II.

Otsuka berkata lagi gambar itu mungkin diambil antara tahun 1900-an dan 1930-an -- "dari akhir zaman Meiji hingga permulaan zaman Showa" -- untuk digunakan sebagai poskad pelancong.

"Satu poskad pelancong yang masih wujud yang dikeluarkan di Shiraoi menunjukkan sosok wanita yang sama dengan kapsyen berbahasa Jepun '宮本アサ子' (Asako Miyamoto)," jelasnya sambil menunjukkan nama itu ditulis dalam warna putih di bahagian kiri atas gambar, seperti di sini pada Yahoo! Auctions Japan -- laman web lelong Yahoo! di Jepun.

Di bawah ialah tangkapan skrin poskad pelancong di Yahoo! Auctions Japan:

Tangkapan skrin poskad pelancong di Yahoo! Auctions Japan

Wanita itu dipercayai mempunyai pertalian dengan Ekashimatoku Miyamoto (1876-1958), seorang orang tua Ainu yang terkenal, profesor itu berkata, "tetapi pada ketika ini sukar untuk menentukan sama ada dia adalah anak perempuannya atau saudaranya atau lainnya."

Otsuka menyimpulkan dakwaan bahawa wanita dalam gambar itu adalah ratu lanun dari China Ching Shih tidak "padan secara kronologi" dan "hubungan itu patut ditolak".