Wakil KFC di Indonesia dan Malaysia berkata "promosi kupon" itu adalah palsu. ( AFP / Jean-Francois Monier)

Catatan tidak sahih di Facebook menyasarkan pelanggan dengan promosi KFC palsu

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Catatan Facebook yang telah dikongsi ribuan kali mendakwa bahawa rangkaian restoran makanan segera Amerika KFC akan memberi kupon percuma kepada pelanggan di Malaysia untuk menyambut ulang tahun ke-71. Walau bagaimanapun, promosi itu adalah penipuan. Syarikat yang mengendalikan KFC di Malaysia menggesa para pelanggan untuk mengabaikan skim tersebut, yang tidak disebut dalam saluran komunikasi rasmi jenama itu. KFC sedang meraikan ulang tahun yang ke-70 pada tahun 2022, bukan yang ke-71.

Catatan teks berserta pelbagai gambar yang menunjukkan logo KFC dimuat naikkan di sini di Facebook melalui laman "KFC Malaysia" pada 7 September 2022, di mana ia telah dikongsi lebih daripada 1,000 kali.

Keterangan catatan mengelirukan itu berbunyi: "Untuk meraikan 71 tahun @KFC, kami menghantar kupon kepada mereka yang berkongsi dan menulis 'Love KFC'. Sebelum 9 September jam 4 petang. Setiap baucar boleh digunakan di mana-mana KFC untuk mendapatkan tiga baldi ayam PERCUMA!."

Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan, diambil pada 26 September 2022

Promosi skim serupa telah dikongsikan lebih daripada 4,900 kali selepas muncul di sini, di sini, di sini dan di sini, dalam laman Facebook "KFC Fans" atau "KFC Malaysia" berbeza, yang disiarkan antara pertengahan Ogos dan pertengahan September 2022.

Promosi seperti ini juga beredar di Facebook di Indonesia seperti di sini.

Wakil KFC di Malaysia dan Indonesia berkata "promosi kupon" itu tidak sahih.

Amaran kepada pengguna

QSR Brands (M) Holdings, syarikat yang mengendalikan KFC di Malaysia, mengeluarkan amaran ini dan ini untuk menggesa para pelanggan agar "berhati-hati dengan sebarang komunikasi yang menawarkan promosi menarik yang tidak berkaitan dengan KFC Malaysia, pada setiap masa" dan "tidak berkongsi sebarang maklumat peribadi".

Ia berkata laman Facebook "KFC Malaysia" dan "KFC Fans" yang mempromosikan penipuan itu adalah "palsu".

Amaran itu menambah lagi bahawa orang ramai boleh "rujuk laman web rasmi KFC Malaysia dan saluran media sosial rasmi dengan tanda biru untuk berita terkini dan promosi berterusan yang sah".

Tiada satu pun laman Facebook "KFC Fans" dan "KFC Malaysia" menampilkan lencana pengesahan biru. Malah, akaun-akaun tersebut tidak muncul dalam laman web rasmi -- ciri-ciri akaun-akaun penipu.

Tiada kesan promosi yang dikatakan di laman web KFC Malaysia serta akaun media sosial rasminya seperti Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube.

Justinus Dalimin Juwono, pengarah PT Fast Food Indonesia, syarikat yang mengendalikan KFC di Indonesia, berkata skim itu adalah penipuan.

"Promosi itu tidak benar. Itu bukan dari PT Fast Food Indonesia," katanya kepada AFP.

Beliau meminta para pelanggan untuk "mengabaikan" catatan-catatan itu, yang menurutnya tidak berkaitan dengan jenama tersebut.

Promosi juga tidak disebut di laman web KFC Indonesia ataupun akaun rasminya di Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube.

Tambahan pula, KFC membuka restoran pertamanya pada 4 Ogos 1952, berhampiran Salt Lake City, Utah, lalu menjadikan tahun 2022 ulang tahun ke-70 syarikat itu dan bukan ke-71, seperti yang didakwa oleh catatan-catatan tersebut.

Laman Facebook yang menyamar sebagai syarikat untuk mempromosikan penipuan biasanya meminta para pengguna berkongsi dan mengulas pada catatan, dan kadangkala untuk mendedahkan butiran peribadi.

Sebelum ini, AFP pernah membongkar tawaran penipuan untuk pelbagai benda daripada donat percuma dan pemberian wang tunai percuma kepada kad hadiah petrol dan data internet percuma.