Mi segera 'perisa sup tulang babi' dengan logo halal ini tak mengandungi produk daging, menurut senarai ramuan

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Imej bungkusan mi segera "perisa sup tulang babi" dengan logo halal telah dikongsi ribuan kali selepas beredar di pelbagai catatan media sosial. Pengguna media sosial mempersoalkan kredibiliti status halal itu. Ini mengelirukan. Mengikut senarai ramuan, mi segera itu tidak mengandungi daging haiwan, termasuk daging babi. Nippon Asia Halal Association (NAHA), yang mengeluarkan pensijilan, juga mengesahkan produk mi itu vegan dan halal. Bagaimanapun, NAHA turut menambah bahawa berikutan permintaan mereka, pengeluar mi Jepun itu telah memanggil balik mi itu kerana menyalahgunakan perkataan "babi" pada pembungkusan.

Gambar pembungkusan mi segera itu disiarkan pada 20 September 2002 di di sini, di mana ia telah dikongsi lebih daripada 1,300 kali.

Pembungkusan mengandungi frasa dalam bahasa Inggeris: "TONKOTSU / Perisa Sup Tulang Babi" dengan logo halal.

Dalam gambar tersebut, perkataan "PORK" (babi) dan logo halal dibulatkan dengan warna oren.

Sudut kanan atas pembungkusan tertera: "MADE IN JAPAN".

Kapsyen itu berbunyi: "Kepada yg suka sgt Japanese Food. Berhati2 lah."

Tangkapan skrin siaran mengelirukan, diambil pada 6 Oktober 2022

Foto yang sama telah dikongsikan lebih daripada 6,500 kali selepas muncul bersama dakwaan serupa di sini, di sini, di sini dan di sini.

Komen-komen pada pelbagai catatan tersebut menunjukkan banyak yang percaya bahawa mi segera itu mengandungi daging babi walaupun mempunyai logo halal.

Satu komen berbunyi: "Mereka tak menghormati islam. sesuka hati guna tanda halal."

“Baik jgn makan makanan ala2 Jepon ... sumber yg belom diketahui ... makanan melayu kan banyak lagi nak makan benda yg sah2 tulisan kat situ ... bila masok dlm badan apa pon tak boleh ... so fikir2kan laa," kata satu lagi komen di Facebook.

Tangkapan skrin komen daripada pengguna Facebook, diambil pada 3 Oktober 2022

Gambar itu juga beredar dengan dakwaan dalam bahasa Inggeris.

Ia juga dimuat naikkan di Twitter dengan ciapan dalam bahasa Indonesia, yang menuduh Majelis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan sijil halal.

Bagaimanapun, dakwaan itu mengelirukan.

Senarai bahan-bahan

Carian kata kunci menjumpai siaran Facebook berbahasa Thai di sini, bertarikh 17 Ogos 2022, yang mengandungi foto pembungkusan mi segera yang sama.

Di bahagian komen siaran yang sama, pentadbir laman Facebook itu berkongsi foto senarai ramuan yang terletak di belakang pembungkusan. Komen yang ditulis dalam bahasa Thai, diterjemahkan secara longgar sebagai: "Oh, ia memberi tumpuan kepada kesihatan."

Menurut senarai ramuan, mi atau asas sup tidak mengandungi sebarang produk daging, termasuk daging babi.

Di bawah ialah tangkapan skrin senarai ramuan di belakang pembungkusan, seperti yang disiarkan oleh pentadbir halaman Facebook.

Tangkapan skrin senarai ramuan mi segera yang terletak di belakang pembungkusan, diambil pada 3 Oktober 2022

Mi segera itu dihasilkan oleh Kobayashi Noodle yang berpangkalan di Jepun, dan dipasarkan di bawah siri produk "Gluten Free Meister", yang boleh dilihat di laman Facebook mereka di sini.

"Siri Ramen Segera Gluten Free Meister menawarkan tiga perisa asli Jepun iaitu Tonkotsu berkrim (vegetarian), Shoyu klasik (vegan) dan Miso bold (vegan)," kata syarikat itu di Facebook.

Syarikat itu menjual mi segera Tonkotsu di Amazon.com di sini, memasarkannya sebagai produk "Vegan/Halal/Tanpa MSG", dengan senarai ramuan yang sama dengan yang ditunjukkan di atas.

Bagaimanapun, menurut penyenaraian Amazon, mi segera Tonkotsu "tidak tersedia pada masa ini".

Logo Halal

Melihat lebih dekat pada pembungkusan menunjukkan bahawa di bawah perkataan "HALAL" terdapat cetakan kecil bertulis: "Nippon Asia Halal Association".

Nippon Asia Halal Association (NAHA) -- salah satu badan pensijilan halal di Jepun -- menyediakan garis masa kejadian itu di laman Facebook mereka di sini pada 23 Ogos 2022.

Selepas NAHA dimaklumkan mengenai isu itu oleh seorang pelanggan Thailand beragama Islam pada 19 Ogos 2022, mereka menghubungi Kobayashi Seimen, syarikat pengeluar mi, untuk meminta mereka "memanggil semula semua produk dari pasaran".

NAHA berkata walaupun "produk itu halal dan vegan", syarikat itu menggunakan perkataan "perasa sup tulang BABI" pada pembungkusan "untuk tujuan pemasaran", tetapi "pelabelan jenis ini tidak dibenarkan mengikut piawaian Halal NAHA."

Kenyataan itu menambah bahawa pada 22 Ogos 2022, berikutan permintaan NAHA, syarikat itu memaklumkan kepada mereka tentang penarikan balik semua produk yang mengandungi logo halal NAHA dari semua pasaran.

AFP telah menafikan beberapa dakwaan berhubung isu makanan halal seperti ini, ini, ini dan ini.

14 Oktober 2022 Artikel ini dikemas kini untuk membetulkan terjemahan produk "Gluten Free Meister".