Video orang masuk Islam selepas kuliah Zakir Naik dirakam pada 2016, bukan pada acara Piala Dunia 2022

Satu video beredar bersama dakwaan palsu bahawa ia menunjukkan "empat lelaki memeluk Islam" selepas mendengar Zakir Naik, pendakwah kontroversial asal India, pada acara Piala Dunia 2022 di Qatar. Tetapi rakaman itu -- yang telah dilihat ribuan kali -- telah diedarkan dalam talian sejak sekurang-kurangnya 2016 dalam catatan mengenai penukaran agama Islam di Doha, ibu negara Qatar, pada tahun itu dalam majlis yang diketuai Naik.

Video berdurasi 30 saat itu dikongsi di sini di Facebook pada 22 November 2022, dua hari setelah Piala Dunia FIFA bermula di Doha, Qatar.

Kapsyen catatan itu berbunyi: "#FifaQatar2022 / Empat orang mengisytiharkan masuk Islam di hadapan Sheikh Zakir Naik."

Rakaman yang telah ditonton lebih dari 100 kali itu menunjukkan empat lelaki berdiri di atas pentas bersama seorang lelaki memakai jubah berwarna putih (dua dari kiri) dan seorang lagi lelaki berpakaian sut hitam dan berkopiah (paling kiri).

Lelaki berbaju hitam itu boleh didengari dalam video itu mengucap kalimah syahadat, dan empat lelaki di sebelah kanan kelihatan mengulangi bacaan yang sama.

Image
Tangkapan skrin siaran mengelirukan, diambil pada 30 November 2022

Zakir Naik, pendakwah televisyen asal India yang kini tinggal di Malaysia, menimbulkan pelbagai kontroversi kerana membuat kenyataan tidak sensitif tentang kaum.

Video itu telah ditonton lebih dari 2.400 kali setelah beredar dengan dakwaan serupa di Telegram di sini.

Tangkapan skrin video dikongsikan dengan tuntuan serupa di Facebook di sini dan sini.

Rakaman video itu muncul pula dalam catatan bahasa Indonesia, bahasa Inggris, bahasa Bengali, bahasa Hindi dan bahasa Urdu.

Tuntutan itu, bagaimanapun, adalah palsu.

Gabungan pencarian kata kunci dan carian imej terbalik di Google menemui rakaman yang sama di sini, yang diciapkan Jaber Al-Harmi, bekas editor Al-Sharq, surat akhbar Qatar, pada 27 Mei 2016.

Diterjemahkan daripada bahasa Arab, kapsyen itu berbunyi: "Empat orang mengisytiharkan memeluk Islam selepas ceramah Dr Zakir Naik di Katara, Qatar."

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran mengelirukan (kiri) dan video di ciapan Al-Harmi (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran mengelirukan (kiri) dan video di ciapan al-Harmi (kanan)

Acara yang sama dengan penampilan Zakir Naik, bertajuk "Adakah Tuhan Itu Wujud?", telah dihebahkan di sini oleh Katara.net, laman web Katara Cultural Village.

Katara Cultural Village, yang berpangkalan di Doha, disokong oleh keluarga diraja Qatar.

Laman Twitter rasmi laman web itu memuat naik gambar menerusi beberapa ciapan persediaan untuk acara itu di sini dan di sini.

Al Jazeera Arabic menerbitkan laporan pada 27 Mei 2016 yang memuatkan video serupa dari acara yang sama. Diterjemahkan daripada bahasa Arab, tajuk laporan itu berbunyi: "Saksi: 4 orang mengisytiharkan masuk Islam selepas ceramah oleh Zakir Naik di Doha."

"Empat orang mengumumkan kemasukan mereka ke dalam Islam hari ini, Khamis, selepas kuliah bertajuk 'Adakah Tuhan Itu Wujud?' di Katara, Doha, oleh Zakir Naik, pendakwah Islam India," tulis perenggan pertama laporan itu.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami