
Dakwaan tak disahkan tentang 'kekuatan' Omicron XBB berbanding Delta beredar di Facebook
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Selasa 22/11/2022 pukul 09:29
- Dikemas kini pada hari Khamis 24/11/2022 pukul 08:54
- Durasi bacaan 4 minit
- Oleh: AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Siaran mengelirukan telah dikongsi di sini di Facebook pada 1 November 2022.
Catatan itu berbunyi: "Berita Dari Singapura! / Semua orang dinasihatkan untuk memakai topeng kerana virus coronavirus varian COVID-Omicron XBB baharu.
"Ini adalah berbeza, virus ini mematikan dan tidak mudah dikesan dengan betul:-
"Gejala virus novel COVID-Omicron XBB adalah seperti berikut:- 1. Tiada batuk. 2. Tiada demam.
"Hanya akan ada banyak:- 3. Sakit sendi. 4. Sakit kepala. 5. Sakit leher. 6. Sakit pinggang atas. 7. Pneumonia. 8. Umumnya tidak mempunyai selera makan.
"Sudah tentu, COVID-Omicron XBB adalah 5 kali lebih kuat daripada varian Delta dan mempunyai kadar kematian yang lebih tinggi daripada Delta.
"Ia mengambil masa yang lebih singkat untuk keadaan mencapai tahap keterukan yang melampau, dan kadangkala tiada gejala yang jelas. / Mari lebih berhati-hati!"

Pada Oktober 2022, Singapura melaporkan peningkatan kes Covid-19 terutamanya disebabkan oleh penyebaran subvarian Omicron XBB.
"Di Singapura, XBB kini menjadi subvarian utama yang beredar dalam komuniti, menyumbangkan 54 peratus daripada kes tempatan pada minggu 3 hingga 9 Oktober, daripada 22 peratus minggu sebelumnya," kata Kementerian Kesihatan Singapura dalam satu kenyataan pada Oktober 15 2022.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pada 31 Oktober 2022 bahawa empat kes subvarian Omicron XBB telah direkodkan di Malaysia.
Tuntutan mengelirukan itu juga muncul di sini, di sini, di sini dan di sini.
Pengguna Facebook dari negara berbeza, seperti Malaysia, Singapura, Filipina, Myanmar, India dan Amerika Syarikat, juga berkongsi catatan serupa dalam bahasa Inggeris, yang mendakwa bahawa varian XBB "5 kali lebih beracun" dan "mempunyai kadar kematian yang lebih tinggi " daripada varian Delta.
Dakwaan itu juga beredar dalam bahasa Indonesia, bahasa Cina dan bahasa Korea.
'Maklumat mengelirukan'
Dr Thira Woratanarat, profesor madya perubatan pencegahan di Chulalongkorn University di Thailand, memberitahu AFP siaran itu berkongsi "maklumat mengelirukan".
"Mengikut pengetahuan semasa, kami biasanya membandingkan kelebihan pertumbuhan varian baru muncul dengan strain sedia ada yang beredar, dan beberapa parameter diambil kira seperti kebolehtransmisian, risiko jangkitan semula, dan pengelakan imun. Sukar untuk mengatakan bahawa yang ini lebih kuat daripada yang sebelumnya kerana istilah 'kuat' atau 'beracun' mempunyai makna yang tidak spesifik," katanya pada 4 November 2022.
Beliau juga berkata negara yang mempunyai kadar jangkitan XBB yang tinggi seperti Singapura dan India tidak menunjukkan sebarang perbezaan ketara dalam keparahan atau kematian daripada strain Omicron sebelumnya.
Ian Jones, profesor virologi dari Reading University di Britain, merujuk AFP kepada kenyataan ini oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bertarikh 27 Oktober 2022, khususnya bahagian berikut: "Kedua-dua sublineage kekal sebagai sebahagian daripada Omicron, yang terus menjadi varian kebimbangan."
Sublineage kedua merujuk kepada subvarian Omicron BQ.1.
"Setiap bentuk baharu SARS-CoV-2 yang beredar berlaku kerana sedikit lebih mudah menular tetapi itu tidak sama dengan keterukan, dan pemerhatian yang paling biasa ialah lebih mudah menular dikaitkan dengan penyakit yang lebih rendah," katanya kepada AFP pada November 4, 2022.
Ketika ditanya mengenai tahap keterukan simptom seperti yang disebut dalam catatan yang mengelirukan, Jones berkata: "Simptom jangkitan kekal serupa dengan mana-mana jangkitan saluran pernafasan atas yang lain, dan vaksinasi kekal sebagai cara paling terjamin untuk mengurangkan sebarang risiko."
'Terlalu awal'
Kedua-dua pakar secara berasingan memberitahu AFP bahawa masih "terlalu awal" untuk mana-mana kajian semakan rakan sebaya diterbitkan mengenai subjek subvarian baharu.
Walau bagaimanapun, Jones menunjuk kepada kertas pracetak ini, yang mengatakan XBB lebih berpotensi untuk mengelak imun daripada BQ.1 dan induknya BA.5.
Menurut tulisan yang diterbitkan di The Conversation, XBB telah dianggarkan mempunyai risiko kemasukan ke hospital 30 peratus lebih rendah berbanding dengan BA.5, berdasarkan angka yang diberikan Kementerian Kesihatan Singapura.
"Walau bagaimanapun, kami belum mempunyai data untuk menyokong ini dari negara lain, jadi ini mungkin berubah apabila XBB menjadi lebih meluas," tulisan itu juga menyatakan.
Thira merujuk kepada kajian ini yang melihat gejala spesifik varian Covid-19.
"Omicron dikaitkan dengan pelaporan yang rendah bagi kehilangan atau perubahan deria bau dan rasa, dan pelaporan lebih tinggi bagi simptom seperti selsema dan influenza," katanya.
Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) telah berulang kali menafikan dakwaan yang mengelirukan tentang Omicron XBB.
Dalam satu kenyataan pada 11 Oktober 2022, ia berkata bahawa "terdapat ... tiada bukti XBB menyebabkan penyakit yang lebih teruk. Setakat ini, sebahagian besar pesakit terus melaporkan gejala ringan seperti sakit tekak atau demam ringan, terutamanya jika mereka telah diberi vaksin."
"MOH juga tidak melihat peningkatan dalam kematian COVID-19 sepanjang sebulan sebelumnya," katanya pada 14 Oktober 2022.
Kementerian Kesihatan Malaysia menafikan dakwaan itu dalam catatan mengelirukan di laman Twitter rasminya pada 1 November 2022.
Ciapan itu berbunyi: "Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius terhadap penyebaran maklumat palsu yg tular di media sosial baru-baru ini berkaitan 'COVID-19 OMICRON XBB' yg boleh mengundang kepada kekeliruan fakta tanpa pembuktian secara saintifik oleh pihak yg tidak bertanggungjawab."
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius terhadap penyebaran maklumat palsu yg tular di media sosial baru-baru ini berkaitan "COVID-19 OMICRON XBB" yg boleh mengundang kepada kekeliruan fakta tanpa pembuktian secara saintifik oleh pihak yg tidak bertanggungjawab. pic.twitter.com/9G2mGQgoqz
— KKMalaysia (@KKMPutrajaya) November 1, 2022
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami