'Laporan berita' tentang ucapan Mat Sabu mengenai isu kekurangan telur ialah rekaan
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Khamis 22/12/2022 pukul 10:44
- Dikemas kini pada hari Khamis 22/12/2022 pukul 12:24
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Menteri cap ayam," tulis catatan yang muncul di sini dalam kumpulan Facebook dengan lebih daripada 14,000 ahli.
Catatan yang dimuat naikkan pada 7 Disember 2022 berkongsi apa yang kelihatan seperti tangkapan skrin Facebook dari saluran berita Astro Awani.
Kapsyen yang konon dikatakan catatan Facebook Astro Awani itu berbunyi: "Punca kekurangan bekalan telur dikenal pasti akibat dari dari ayam yang bermasalah."
Tangkapan skrin juga menampilkan apa yang kelihatan sebagai tajuk artikel berita Astro Awani dan gambar Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu, alias Mat Sabu.
"Bekalan telur kurang kerana ayam enggan bersetubuh," bunyi tajuk utama itu.
Tuntutan diedarkan selepas Mat Sabu mengeluarkan kenyataan di Facebook pada 6 Disember 2022 bahawa Malaysia akan mengimport telur sebagai langkah sementara untuk mengatasi kekurangan telur dalam negara.
Peruncit telah dilaporkan menyalahkan kekurangan ladang ternakan yang mengurangkan pengeluaran kerana kenaikan harga jagung dan kacang soya, dua bahan utama untuk makanan ayam.
Tuntutan itu diedarkan pula dalam catatan Facebook ini, ini, ini dan ini.
Sesetengah pengguna Facebook kelihatan percaya bahawa Mat Sabu benar-benar membuat komen itu.
"Cakap Bodoh..." tulis seorang pengguna. sementara yang lain berkata: "Adoiii... Mcm tu je jawapan ny hampeh tul lh mat sabu ni."
Walau bagaimanapun, tuntutan itu mungkin dimaksudkan sebagai satira.
Versi terawal yang ditemui AFP adalah di laman Facebook bernama Alam Maya Tiga, yang sering memuat naikkan meme mengejek Pakatan Harapan.
Catatan yang bertarikh 6 Disember 2022 itu telah dikongsi lebih daripada 450 kali.
Laporan berita rekaan
Pencarian kata kunci di Facebook menemukan catatan asli dimuat naikkan di sini di laman Facebook Astro Awani pada 6 Disember 2022, dengan kapsyen: "Namun, tiada pengumuman berhubung harga telur lebih murah seperti yang diumumkan PM Anwar semalam (Isnin)."
Catatan itu berkongsi pautan laporan Astro Awani bertajuk: "Sumber luar dikenal pasti untuk tampung bekalan telur - Mat Sabu."
Pada 8 Disember 2022, Astro Awani berkata di laman Facebooknya bahawa ia tidak melaporkan Mat Sabu membuat kenyataan itu.
"Astro AWANI tidak pernah mengeluarkan laporan seperti yang tular di media sosial. Laporan ini dipercayai disunting oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Ia menyertakan tangkapan skrin yang dikongsi dalam catatan yang mengelirukan, dengan setem merah berbunyi: "PALSU".
AFP tidak menemui sebarang jejak artikel yang dikongsi di pelbagai catatan Facebook mengelirukan di laman web Astro Awani.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan membantah tuntutan itu dalam kenyataan berasingan pada 8 Disember 2022.
"Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan ingin merujuk kepada posting yang tular di media sosial bertajuk 'BEKALAN TELUR KURANG KERANA AYAM ENGGAN BERSETUBUH', maklumat melalui akaun media sosial tersebut adalah PALSU. Untuk makluman, ini merupakan suntingan akaun palsu dan bukan akaun rasmi Astro AWANI," katanya.
"Orang ramai diminta agar tidak menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat yang tidak pasti atau palsu."
Menurut kumpulan hak haiwan RSPCA Australia, ayam akan bertelur dengan atau tanpa ayam jantan. "Tanpa ayam jantan, telur ayam anda tidak subur, jadi tidak akan berkembang menjadi anak ayam," katanya.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami