Ini video bendera gedung serbaneka di Sweden, bukan 'bendera Pakatan Harapan di China'
Sebuah video telah ditonton ribuan kali selepas ia dikongsi dengan dakwaan palsu bahawa ia menunjukkan bendera Pakatan Harapan berkibar di China. Video itu mula tersebar menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 di bulan November 2022. Bagaimanapun, video itu sebenarnya menunjukkan bendera sebuah gedung serbaneka Sweden dan klip itu dirakam di Stockholm, ibu negara Sweden -- bukan China.
Video yang menunjukkan deretan bendera merah berkibar di atas bangunan, telah disiarkan di Facebook di sini pada 18 November 2022, sehari menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.
"Bendera PH dah berkibar dgn gah di ngara China," baca kapsyen siaran itu. "Boleh fikir secara tersirat. Ini belum mrk menang lagi."
Dalam klip itu, seorang lelaki kedengaran bercakap dalam bahasa Kantonis, berkata: "Hidup Harapan" dan "kita pasti akan menang pada 19 November."
Video berdurasi 44 saat itu telah ditonton lebih daripada 730 kali.

"PH" merujuk kepada Pakatan Harapan, yang terdiri daripada beberapa parti, termasuk Democratic Action Party (DAP).
Semasa kempen pilihan raya Malaysia, lawan politik melabelkan DAP sebagai "parti pro-komunis", menyebabkan tindakan undang-undang daripada seorang ahli parlimen DAP.
Berikutan kebuntuan politik lima hari selepas keputusan yang tidak muktamad, Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 24 November 2022, menandakan kemenangan bagi Pakatan Harapan.
Pada hari pilihan raya, video itu masih terus disebarkan bersama tuntutan serupa di Facebook, seperti di sini, di sini dan di sini, di mana ia mendapat tontonan lebih daripada 2,100 kali.
Walau bagaimanapun, tuntutan itu adalah palsu.
Gedung serbaneka di Sweden
Melihat lebih dekat siaran video, bendera merah itu memaparkan nama rangkaian gedung beli-belah Sweden, bukan Pakatan Harapan.
Bendera yang kelihatan pada tanda sembilan saat video memaparkan teks "Åhléns" (kiri bawah) dan bukan "Harapan" (kanan bawah), seperti yang dipaparkan pada logo gabungan itu.

Carian kata kunci menemukah bahawa Åhléns ialah nama rangkaian gedung serbaneka di Sweden.
Pada tanda 15 saat rakaman itu, boleh dilihat logo kedai Sweden dipasang pada papan nama besar.
Imej gedung serbaneka Åhléns di Stockholm boleh dilihat di Google Street View, yang diambil di bulan Mei 2016, dan sepadan dengan apa yang terlihat di dalam video.
Restoran Tang, yang terlihat dalam video, juga boleh dilihat di Google Street View di sini.