Catatan keliru dakwa saintis Jepun Yoshinori Ohsumi mengesyorkan berpuasa untuk mengubati kanser
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Isnin 12/12/2022 pukul 06:44
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP India, AFP Malaysia
- Terjemahan dan adaptasi Uzair RIZVI
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Catatan itu dikongsi di Facebook di sini pada 25 November 2022.
Ia menampilkan gambar saintis Jepun Yoshinori Ohsumi, pemenang Hadiah Perubatan Nobel 2016.
Kapsyen panjang catatan itu sebahagian berbunyi: "Berbahagia bagi yang gemar berpuasa Isnin Khamis / Manfaatnya dikupas oleh Pemenang Hadiah Nobel dari Jepun sebagai berikut : ...
"Ilmuwan bernama Yoshinori Ohsumi ini telah membuktikan dan menemukan bahwa ketika seseorang lapar (PUASA) dalam jangka waktu tidak kurang dari 8 jam dan tidak lebih dari 16 jam, maka tubuh akan membentuk protein khusus di seluruh tubuh yang disebut autophagisom...
"Autophagisom tersebut boleh diandaikan sebagai suatu penyapu raksasa yang mengumpulkan sel-sel mati yang tidak berguna dan boleh membahayakan tubuh untuk dikeluarkan... / Sel-sel mati ini banyak dihasilkan oleh sel kanser dan sel berbentuk kuman (virus atau bakteria) penyebab penyakit... / Protein autophagisom tersebut menghancurkan dan memakan sel-sel berbahaya tersebut, lalu mengeluarkannya...
"Sebagai kesimpulan dari riset ini, doktor Yoshinori Ohsumi menyarankan agar seseorang boleh menjalani praktik melaparkan diri (PUASA) dua atau tiga kali dalam seminggu.
"Penelitian ini telah memenangkan penghargaan NOBEL KEDOKTORAN kepada dokter Yoshinori Ohsumi atas riset yang ia namakan AUTOPHAGI.
"Bagi Muslim, disunnahkan puasa Isnin dan Khamis, dan diwajibkan bagi yang berpuasa selama 1 bulan di Bulan Ramadhan... Artinya bahwa konsep AUTOPHAGI sesungguhnya sudah disarankan sejak 15 abad yang lalu oleh Rasulullah SAW..."
Ohsumi memenangi Hadiah Nobel Perubatan pada 2016 untuk kerjanya mengenai autophagy -- satu proses di mana sel "memakan diri mereka sendiri".
Proses ini penting untuk degradasi teratur dan kitar semula bahagian sel yang rosak. Kegagalannya dipercayai bertanggungjawab terhadap penuaan dan kerosakan sel.
Ohsumi menggunakan yis pembuat roti untuk mengenal pasti gen penting untuk autophagy.
Dia kemudiannya menerangkan mekanisme asas untuk autophagy dalam yis dan menunjukkan bahawa jentera canggih yang serupa digunakan dalam sel manusia.
Tuntutan itu juga dikongsikan di sini, di sini, di sini dan di sini.
Dakwaan serupa juga beredar dalam bahasa Inggeris, bahasa Thai dan bahasa Romania.
AFP sebelumnya telah menafikan catatan Facebook serupa berbahasa Perancis yang telah dikongsikan puluhan ribu kali.
Menjawab tuntutan itu, pegawai perhubungan awam di Institut Teknologi Tokyo, di mana Ohsumi kini menjadi profesor, memberitahu AFP pada 27 Oktober 2022 bahawa beliau tidak membuat kenyataan seperti itu.
Bahaya untuk pesakit
AFP bercakap dengan beberapa pakar perubatan yang mengatakan berpuasa tidak disyorkan untuk pesakit kanser.
Lucile Espert, penyelidik autophagy dan jangkitan di Pusat Penyelidikan Saintifik Kebangsaan di Perancis, memberitahu AFP pada 6 Oktober 2022: "Puasa dari semasa ke semasa tidak membahayakan organisma, dan kemungkinan kerana autophagy ia tidak negatif.
"Tetapi untuk mengatakan bahawa ia menyembuhkan penyakit adalah berbahaya."
Laurent Chevallier, perunding pemakanan di Hospital Universiti Montpellier di Perancis, secara berasingan berkata pada 6 Oktober 2022: "Dalam onkologi, pesakit berkurangan zat dengan lebih cepat. Apabila anda kekurangan zat makanan, ia memburukkan lagi patologi jadi ia boleh menyebabkan kemudaratan."
Pierre Sonveaux, profesor dan pakar dalam penyelidikan kanser eksperimen dari Universiti Katolik Louvain di Belgium, memberitahu AFP pada tarikh yang sama bahawa pesakit kanser harus mengelak daripada membuat perubahan pada diet mereka.
"Jika anda menukar diet anda, anda mesti berbincang dengan doktor anda," kata beliau.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami