Ini video tarian ritual di kuil Hindu di India, bukan azan dilaungkan 'di kuil di Malaysia'

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Isnin 06/02/2023 pukul 07:25
  • Dikemas kini pada hari Isnin 06/02/2023 pukul 10:39
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Sebuah video telah ditonton berjuta-juta kali di Facebook dan TikTok bersama dakwaan palsu bahawa ia menunjukkan penganut Hindu melaungkan azan di sebuah kuil di Malaysia. Klip itu sebenarnya dirakam di Kerala, sebuah negeri di bagian selatan India. Lafaz azan adalah sebahagian daripada persembahan tarian ritual yang dipanggil Theyyam, yang kadangkala mempamerkan watak Muslim.

Klip yang disiarkan di Facebook pada 18 Januari 2023 itu menunjukkan seorang lelaki melaung azan di sebelah seseorang yang memakai topeng dan kostum.

"Ini kaum Hindu apa?? Kenapa laungkan Azan seperti Muslim??" tulis kapsyen itu. "Tolong dapatkan info di negeri mana kuil ini agar tindakan dapat diambil oleh pihak Majlis Agama kerana seolah2 mempersendakan agama Islam..!!!"

Video berdurasi satu minit dan 30 saat itu telah ditonton lebih daripada 600 kali.

Image
Tangkapan skrin siaran mengelirukan, diambil pada 2 Februari 2023

Video itu turut disiarkan bersama tuntutan serupa di Facebook di sini, di sini dan di sini, serta TikTok di sini, di mana rakaman itu telah ditonton lebih daripada 4.5 juta kali.

Komen pada siaran mencadangkan beberapa pengguna percaya kepada tuntutan itu.

"Bagi pihak berkuasa p tengok," tulis satu pengguna Facebook, manakali satu lagi berkata: "Pihak autoriti, pls dont simple ignore! ! !"

Image
Tangkapan skrin komen pengguna Facebook

Walau bagaimanapun, tuntutan itu adalah palsu.

Persembahan tarian ritual di India

Gabungan carian imej terbalik dan carian kata kunci mendapati video yang sama telah disiarkan pada saluran YouTube MediaOne TV, saluran televisyen India berbahasa Malayalam, pada 23 Disember 2022.

Tajuk video bahasa Malayalam itu berbunyi: "Video Theyyam melaungkan azan telah menjadi viral.. Rakaman daripada Kasaragod..."

Menurut kapsyen, video itu menunjukkan "Bapiriyan Theyyam dan Manichi Theyyam membaca azan" dan ia diambil di sebuah kuil Hindu di Kasaragod, sebuah wilayah di Kerala, negeri di selatan India.

Theyyam, satu tarian ritual yang popular di bahagian utara Kerala, dipentaskan oleh kaum Hindu dari kasta rendah. Musim Theyyam berlangsung dari bulan November hingga Mei.

Terdapat lebih daripada 400 tarian Theyyam -- setiap satu dengan muzik, gaya dan koreografi tersendiri. Manichi Theyam dan Bapiriyan (Bappooran) Theyyam adalah bahagian dari Theyyam Muslim, di mana penghibur Hindu memainkan watak Muslim dan melakukan ritual Islam.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran yang mengelirukan (kiri) dan video daripada MediaOne TV (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran yang mengelirukan (kiri) dan video daripada MediaOne TV (kanan)

Menurut risalah yang dikongsikan oleh seorang peminat Theyyam di Twitter, persembahan Manichi-Bapiriyan Theyyam diadakan pada 18 Disember 2022.

Persembahan Theyyam di Kasaragod itu juga dilaporkan secara meluas oleh media Kerala yang lain, seperti di sini, di sini, di sini dan di sini -- dengan banyak laporan memuji persembahan itu sebagai contoh kepelbagaian dan keharmonian agama di rantau ini.

Majoriti penduduk Kerala adalah Hindu (55%), manakala Islam (27%) dan Kristian (18%) merupakan kelompok minoriti yang lumayan besar.

Bukan di Malaysia

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiarkan kenyataan di laman Facebooknya pada 15 Januari 2023, mengesahkan klip itu tidak dirakam di Malaysia.

"Video lelaki laungkan azan dalam ritual agama bukan di Malaysia: MCMC gesa orang ramai elak sebar kandungan sentuh sensitiviti agama " kata kapsyen siaran itu.

MCMC juga menggesa orang ramai supaya tidak berkongsi video tersebut.

“Hasil semakan yang dibuat ke atas video itu mendapati ia berasal dari luar negara dan diviralkan seolah-olah berlaku di Malaysia," tulis kenyataan media itu.

"MCMC menegaskan bahawa video sebegini dilihat sebagai kandungan mengancam yang boleh mengundang ketegangan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini."

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami