Catatan palsu di Facebook dakwa Wan Azizah pegang jawatan yang tidak wujud
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Khamis 09/02/2023 pukul 06:58
- Dikemas kini pada hari Khamis 09/02/2023 pukul 07:07
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Arfa YUNUS, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
“Tahniah diatas perlantikan isteri Anwar ini,” demikian kapsyen catatan Facebook ini, yang dimuat naik pada 30 Januari 2023. "Bapa,emak n anak barulah Rakyat Malaysia faham maksudnya MADANI?"
Catatan yang dikongsi pada laman Facebook dengan lebih 282,000 pengikut itu menunjukkan gambar Wan Azizah Wan Ismail, ahli parlimen Bandar Tun Razak yang juga mantan timbalan perdana menteri.
Teks pada foto tersebut mengucapkan tahniah kepada isteri Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu atas "pelantikan sebagai Pengerusi Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan, Jabatan Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri".
Anwar melancarkan slogan "Membangun Malaysia Madani" pada 19 Januari 2023.
Dakwaan itu dikongsi ketika Anwar berdepan kritikan kerana melantik anak perempuannya Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi.
Walaupun Nurul Izzah berkata beliau tidak dibayar gaji untuk jawatan itu, pemimpin pembangkang menyelar pelantikan itu dan menyifatkannya sebagai nepotisme, satu amalan yang sekian lama dikutuk oleh Anwar.
Catatan Facebook yang sama turut dikongsi di sini, di sini dan di sini.
Catatan palsu itu menerima ratusan komen. Ramai pengguna media sosial dilihat seperti percaya bahawa Anwar telah melantik Wan Azizah sebagai "pengerusi Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan, Jabatan Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri."
"Pemerentah satu keluarga dan saudara mara hebat Malaysia bolih," tulis seorang pengguna Facebook. Sementara seorang lain berkata: "SPRM tak boleh siasat ke....kes lantik anak beranak oleh PM.?" -- merujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Jawatan rekaan
Jawatan "pengerusi Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan, Jabatan Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri" tidak wujud.
Selepas beliau memegang jawatan, Anwar memansuhkan portfolio menteri wilayah persekutuan dan meletakkannya di bawah Jabatan Perdana Menteri, bermaksud kini perdana menteri yang akan menyelia hal-hal berkaitan wilayah persekutuan.
Susulan penstrukturan semula kementerian wilayah persekutuan menjadi sebuah jabatan, kerajaan melantik Rosida Jaafar sebagai ketua pengarahnya.
Dakwaan palsu itu dilihat berpunca susulan sebuah mesyuarat yang dipengerusikan Wan Azizah pada 19 Januari 2023 di Kuala Lumpur untuk ahli parlimen yang mewakili wilayah persekutuan.
"Wan Azizah baru-baru ini diminta untuk mempengerusikan mesyuarat untuk ahli parlimen Wilayah Persekutuan dan mereka berharap untuk mewujudkan sekretariat -- bukan jawatankuasa atau majlis di bawah mana-mana agensi kerajaan -- untuk menguruskan isu berbangkit di kawasan masing-masing dengan lebih baik," setiausaha politik perdana menteri Azman Abidin memberitahu AFP pada 2 Februari 2023.
"Wan Azizah sendiri adalah ahli parlimen yang berkhidmat di wilayah persekutuan jadi tidak ada masalah untuk beliau mempengerusikan mesyuarat sebegitu. Tetapi dakwaan pada poster itu adalah palsu kerana mesyuarat itu tidak dibuat melalui mana-mana agensi atau jabatan kerajaan."
Azman berkata bahawa Anwar tidak melantik isterinya untuk apa-apa jawatan di Jabatan Perdana Menteri dan tidak bercadang untuk berbuat demikian.
Jabatan Penerangan Kuala Lumpur juga menolak dakwaan palsu itu dalam catatan Facebook pada 30 Januari 2023.
"Setiausaha Politik Perdana Menteri NAFI khabar angin pelantikan Dr Wan Azizah Wan Ismail di Jabatan Perdana Menteri," katanya.
Saluran televisyen RTM turut menerbitkan laporan semakan fakta yang menyangkal dakwaan itu.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami