Laporan berita RTM palsu kongsi dakwaan tentang 'bomoh boleh tarik wang tunai'
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Selasa 04/04/2023 pukul 09:19
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Arfa YUNUS, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Video berdurasi dua minit itu telah dikongsi di Facebook di sini pada 22 Januari 2023, di mana ia telah ditonton lebih daripada 180 kali.
Ia bermula dengan seorang penyampai wanita memperkenalkan buletin berita untuk program Conty News RTM.
Rakaman itu kemudian dipotong kepada klip yang menunjukkan longgokan wang kertas 50 dan 100 ringgit.
Pada saat ke-27, kedengaran suara lelaki berkata: " Masyarakat telah dikacau oleh Syeh Muhammad Rasyid yang mampu membuat pengeluaran wang ajaib. Ternyata selama ini ritual keluar wang ajaib benar-benar wujud. Tetapi ini hanya boleh dilakukan oleh seseorang yang berilmu tinggi bernama Syeh Muhammad Rasyid."
Dia kemudiannya mempromosikan bomoh tersebut: "Sebab itu kami, dari team (pasukan) berita bagi Conty News, ingin menyampaikan kepada semua orang yang mempunyai masalah ekonomi seperti: ingin menambah perniagaan, mempunyai hutang, ingin memiliki rumah atau mempunyai masalah ekonomi kewangan yang lain boleh menghubungi Syeh Muhammad Rasyid di nombor WhatsApp 081-356-698-770."
Kapsyen catatan itu juga mempromosikan kemahiran "rohani metafizik" Syeh Muhammad Rasyid dan menggesa orang ramai menghubunginya melalui nombor WhatsApp.
Video yang sama turut dikongsi di Facebook di sini.
Identiti "Syeh Muhammad Rasyid" tidak dapat dikenal pasti.
Nombor WhatsApp yang dikongsi dalam video dan catatan itu adalah akaun perniagaan yang menggunakan talian telefon Indonesia.
Apabila dihubungi AFP, individu yang mengendalikan nombor itu meminta maklumat peribadi termasuk nama penuh, alamat rumah dan salinan kad pengenalan.
Satu lagi video, yang dikatakan segmen daripada Berita Pagi Sarawak RTM, telah dikongsi di sini dan sini, bersama-sama dakwaan serupa tentang bomoh berbeza yang juga "boleh menarik wang sihir". Klip satu minit setengah itu telah mendapat jumlah tontonan lebih daripada 1,900 dalam kedua-dua siaran.
Kedua-dua video palsu menampilkan format yang sama: penyampai berita tulen muncul pada permulaan dan penghujung klip, dengan klip memaparkan longgokan wang tunai ditunjukkan di pertengahan video.
Video palsu pertama
Carian di saluran YouTube rasmi RTM mendapati video palsu pertama menggunakan segmen berita tulen yang dimuat naik oleh penyiar rasmi itu pada 28 Oktober 2022.
Dalam segmen lima minit setengah, penyampai radio Yoyo Ainlaina Baharuddin membuka dengan berita tentang Yang di-Pertuan Agong menggesa rakyat kelaur mengundi dalam pilihan raya umum yang diadakan pada 19 November 2022.
Yoyo Ainlaina kemudian meneruskan dengan pelbagai berita lain, seperti tambahan bantuan Amerika Syarikat untuk Pakistan yang terkesan banjir teruk, peningkatan kes tuberkulosis di dunia dan pengambilalihan Twitter oleh jutawan Amerika Elon Musk. Beliau kemudian menutup dengan kemas kini bola sepak mengenai Liga Europa UEFA.
Dalam berita asal, tidak disebut mengenai mana-mana bomoh, skim buat duit atau Syeh Muhammad Rasyid.
Video palsu kedua
Satu lagi carian di saluran YouTube rasmi RTM mendapati video palsu kedua menggunakan segmen berita yang asalnya dimuat naik oleh syarikat penyiaran itu pada 1 Januari 2023.
Sepanjang segmen 11 minit dan 16 saat itu, penyampai berita Lidya Yusreena Abdul Ellias berkongsi pelbagai berita tempatan, seperti pembangunan pelabuhan Sarawak serta sambutan Krismas dan Tahun Baru di sebuah kampung di Sarawak.
Tidak disebutkan mana-mana bomoh mahupun sebarang skim mencari wang dalam segmen berita ini.
Di tengah-tengah antara permulaan dan penutup berita itu, terlihat beberapa klip video longgokan wang tunai, termasuk video YouTube dari Indonesia yang bertajuk: "Pertama kali melihat uang 1.5 juta Ringgit Malaysia".
Suara dijana komputer
AFP menggunakan Narakeet untuk menukar audio pertuturan dalam laporan palsu kepada teks bertulis. Kami kemudian memasukkan semula teks itu ke Narakeet untuk menghasilkan versi penceritaannya sendiri. Dengan pilihan perisian "Adipati" diaktifkan, audio yang terhasil dalam kedua-dua video terdengar sama dengan suara dalam video yang disunting.
AFP sebelum ini menafikan dakwaan serupa yang melibatkan bomoh di Indonesia. Penipuan ini telah dikongsi dalam laporan palsu yang direka daripada siaran dua syarikat media Indonesia, Tribunnews dan Liputan 6.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami