
Ini video jambatan hanyut akibat banjir di China pada 2021, bukan di Johor pada 2023
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Selasa 11/04/2023 pukul 09:15
- Dikemas kini pada hari Selasa 11/04/2023 pukul 09:33
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Arfa YUNUS, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Jambatan Labis, Johor", tulis kapsyen catatan TikTok ini, yang dikongsikan pada 1 Mac 2023.
Catatan itu memuat naikkan video sebuah jambatan dihanyutkan arus deras. Video berdurasi 20 saat itu telah ditonton lebih daripada 4,500 kali.

Video itu dikongsi pada hari yang sama banjir besar melanda Johor, termasuk Labis.
Di antara enam negeri yang dilanda banjir besar pada Mac 2023, Johor merupakan negeri yang paling terkesan teruk. Banjir tersebut mengakibatkan sekurang-kurangnya lima orang maut manakala puluhan ribu penduduk terpaksa berpindah keluar dari rumah.
Video itu telah ditonton 900 kali selepas turut dikongsi dengan dakwaan serupa pada 1 Mac 2023 di TikTok di sini, di Facebook di sini dan sini, serta di Twitter di sini.
Ia juga beredar dalam catatan bahasa Inggeris pada Februari 2023, dimana sesetengah pihak mendakwa klip itu diambil di Barberton, bandar di Afrika Selatan, manakala yang lain mendakwa ia dirakam di Barberton, bandar di negeri Ohio, Amerika Syarikat.
Namun, semua dakwaan tersebut adalah palsu.
Carian imej terbalik dan carian kata kunci menemui video serupa yang diterbitkan oleh syarikat pelesenan video Newsflare bertajuk: "Jambatan keluli dihanyutkan oleh air sungai paras tinggi di selatan China".
Menurut kapsyen, ia dirakam di bandar Nanping, di wilayah Fujian, China, pada 28 Jun 2021, ketika sebuah jambatan keluli runtuh dan hanyut di Sungai Mayang semasa banjir.
Video berdurasi 50 saat dari Newsflare itu diambil dari sudut yang sedikit berbeza tetapi menunjukkan detik yang sama apabila jambatan itu dihanyutkan.
Video dalam catatan palsu itu adalah imej cermin pada rakaman Newsflare.
Di bawah ialah perbandingan tangkap layar dalam video palsu (kiri) dan video tulen daripada Newsflare (kanan) -- dengan beberapa ciri sepadan ditandakan oleh AFP:

Menurut laporan berita tempatan China di sini dan sini, jambatan keluli itu adalah satu daripada dua jambatan yang musnah akibat banjir yang melanda Nanping pada 28 Jun 2021 -- beberapa jam selepas hujan lebat melanda secara tiba-tiba dan menyebabkan paras air Sungai Mayang, di daerah Tancheng, meningkat.
Lokasi jambatan keluli yang runtuh itu boleh dikesan ke Kampung Kaoting, Nanping, seperti yang dipaparkan di Google Earth di sini.

Perbandingan secara dekat tangkapan skrin Google Earth dan video palsu itu menunjukkan bahawa rakaman tersebut telah diterbalikkan.
Di bawah ialah perbandingan tangkap layar video dalam catatan palsu (kiri) dan tangkapan skrin Google Earth (kanan) -- dengan ciri serupa ditandakan oleh AFP.

Kamarul Zaman Mamat, ketua Polis Johor, berkata jambatan runtuh yang dilihat dalam video yang dikongsi di TikTok bukan dari Johor dan memberi amaran kepada orang ramai mengenai implikasi undang-undang kerana berkongsi dan menyebarkan maklumat palsu.
"Polis Kontinjen Johor mengesahkan kejadian tidak berlaku di negeri Johor dan dipercayai telah berlaku di luar negara," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada 1 Mac 2023.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami