Ini video dari India, bukan 'pelarian Rohingya jual sayuran beracun di pasar Selangor'

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Khamis 13/04/2023 pukul 13:47
  • Dikemas kini pada hari Khamis 13/04/2023 pukul 14:02
  • Durasi bacaan 4 minit
  • Oleh: Syafique SHUIB, AFP Malaysia, AFP India
Sebuah video telah ditonton ratusan kali selepas dikongsi bersama dakwaan palsu bahawa ia menunjukkan pelarian Rohingya merendam sayur-sayuran dalam bahan kimia untuk menjadikannya kelihatan segar sebelum dijual di Pasar Selayang, Selangor. Klip itu ternyata telah tersebar sejak sekurang-kurangnya 2021, dan AFP juga mendapati video itu dirakam di India. Orang dalam video itu bercakap bahasa Marathi, bahasa yang digunakan secara meluas di negeri Maharashtra di India -- bukan bahasa Rohingya. Klip yang lebih panjang menunjukkan motosikal dengan nombor plat dari sebuah bandar di Maharashtra.

Klip berdurasi satu minit dan 45 saat itu disiarkan pada 28 Mac 2023 di Facebook di sini, di mana ia telah ditonton lebih daripada 100 kali.

Rakaman itu menunjukkan ikatan sayur-sayuran direndam dalam baldi cecair sebelum ia kelihatan secara perlahan menjadi lebih hijau.

Kapsyen dalam bahasa Melayu bermula dengan teks: "PERHATIAN/WARNING

“SAYUR RACUN MELAMBAK KAT PASARAN TERUTAMA WARGA ROHINYA YANG JUAL," dan diakhiri dengan: "Pasti kan utk tidak membeli dari mereka ini. Menggunakan bahan kimia utk menyegarkan sayur sayuran. Walaupun murah!"

Diterjemahkan ke bahasa Melayu, perenggan dalam bahasa Inggeris dalam kapsyen itu berbunyi: "Tonton bagaimana sayur-sayuran dibuat segar dengan menggunakan bahan kimia dalam 105 saat.

“Itulah sebabnya arbuda (kanser) semakin berkembang. Dalam 105 saat, sayur-sayuran dan buah-buahan disegarkan oleh bahan kimia penyebab kanser.

“TEKNIK INI DIGUNAKAN OLEH ROHINGYA DI PASAR SELAYANG YANG MENJUAL SAYUR DI TEPI JALAN."

Image
Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 12 April 2023

Siaran itu dikongsi berikutan laporan berita pada Februari 2023 bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sedang mempertimbangkan untuk menempatkan penguat kuasa di Pasar Borong di Kuala Lumpur dan Pasar Borong Selayang untuk menghalang peniaga haram daripada komuniti Rohingya daripada beroperasi.

Menurut angka Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR), kira-kira 106,500 orang Rohingya telah mendaftar dengan agensi itu sebagai pelarian dan pencari suaka di Malaysia.

Pelarian Rohingya tidak dibenarkan bekerja dan tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan kerajaan, seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan. Oleh kerana itu, ada yang terpaksa bekerja secara haram untuk mencari rezeki.

Video itu telah ditonton lebih daripada 350 kali selepas ia turut disiarkan bersama tuntutan serupa dalam bahasa Inggeris, bahasa Cina dan bahasa Melayu di Facebook di sini, di sini, di sini dan di sini.

Walau bagaimanapun, tuntutan itu adalah palsu.

Video dirakam di India

Gabungan carian imej terbalik dan carian kata kunci mendapati video yang lebih panjang telah disiarkan pada saluran YouTube dengan nama Mana Family Trends pada 22 Julai 2021.

Kapsyen dwibahasa Inggeris dan Telugu setelah diterjemahkan berbunyi: "Lihat cara sayur-sayuran berdaun kering dibuat dengan mencelupkannya ke dalam bahan kimia."

Video tulen berdurasi lebih empat minit, dan video dalam siaran palsu bermula dari minit 2:20 video tulen.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran yang mengelirukan (kiri) dan video YouTube tulen (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran yang mengelirukan (kiri) dan video YouTube tulen (kanan)

Menurut wartawan semakan fakta AFP di New Delhi, dalam video itu, orang ramai kedengaran bercakap dalam bahasa Marathi, bahasa yang digunakan secara meluas di Maharashtra, sebuah negeri di sebelah barat India.

Rakaman yang lebih panjang menunjukkan motosikal diletakkan di latar belakang. Pada minit 1:55, ia menunjukkan nombor plat satu motosikal yang bermula dengan huruf "MH 15". Menurut dokumen dari jabatan kenderaan bermotor Maharashtra, MH 15 ialah nombor untuk plat lesen yang dikeluarkan di bandar Nashik.

Rakaman berbeza yang diambil di Nashik, seperti ini dan ini, menunjukkan kenderaan dengan nombor plat yang sepadan dengan yang dilihat dalam video.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran yang mengelirukan (atas) dan video yang diambil dalam Nashik (tengah dan bawah):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran yang mengelirukan (atas) dan video yang diambil dalam Nashik (tengah dan bawah)

Sebahagian daripada video itu digunakan dalam laporan berita seorang wartawan di Nashik tentang pihak berkuasa yang memeriksa pasar dan pembekal sayur di Mumbai dan kawasan berdekatan untuk menghentikan penggunaan bahan kimia berbahaya dalam sayur-sayuran. Laporan itu disiarkan oleh Zee News, saluran berita India berbahasa Hindi, pada 29 Julai 2021.

'Bukan di Pasar Selayang'

Dalam kenyataan akhbar kepada AFP pada 6 April 2023, Jabatan Pertanian Malaysia mengatakan bahawa kejadian itu tidak berlaku di Pasar Selayang "jika dilihat dari bahasa yang digunakan dan nombor pendaftaran motorsikal dalam video tersebut".

Kenyataan itu turut dimuat naik di laman Facebooknya pada hari yang sama.

AFP sebelum ini menafikan dakwaan palsu mengenai pelarian Rohingya di Malaysia di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami